Pembaharuan Hidup Dari Tuhan

553

“Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula. Sekali lagi, kamu akan mengambil tamburin dan menari dengan gembira.”
– Yeremia 31:4

Ketika TUHAN mahu memimpin semula bangsa Israel kembali ke negeri mereka, Yerusalem, maka TUHAN memberikan firman kepada mereka dan antara inti daripada firman-Nya adalah bahawa bangsa Israel akan dipulihkan semula menjadi bangsa yang kuat dan dihormati, bahkan bangsa Israel akan memiliki sukacita yang baharu dari TUHAN! Sejarah penggunaan tamburin iaitu sebagai simbol kepada alat muzik yang digunakan untuk upacara berunsur sukacita. Maka, TUHAN dengan nyata menjanjikan bahawa musim baharu bangsa Israel di tanah Yerusalem akan ‘dinaiktaraf’ daripada keadaan sebelumnya; dari keadaan merempat di tanah asing dan penuh sengsara kepada keadaan senang dan penuh sukatcita di tanah sendiri. Tidak ada hal, manusia, kerajaan atau peristiwa yang dapat membatasi kedaulatan TUHAN untuk memulihkan bangsa Israel. Meskipun bangsa ini sentiasa sombong dan keras kepala sehingga berani memberontak kepada TUHAN sepanjang masa, tetapi TUHAN tidak pernah lalai dalam menunaikan janji-Nya kepada bangsa ini. Janji yang telah TUHAN ikat bersama kepada bangsa leluhur Israel iaitu Abraham (Kejadian 15:1, 5, 7, 13-14, 18-21). Janji-janji yang TUHAN tawarkan kepada Abraham masih digenapi tanpa gagal walau sekalipun.

Demikianlah hidup baharu yang TUHAN janjikan kepada bangsa Israel ketika mereka akan kembali ke Yerusalem. Banyak aspek yang akan dipulihkan oleh TUHAN di dalam kehidupan bangsa ini. TUHAN tidak pernah kehabisan cara untuk memberkati mereka, TUHAN tidak pernah terpuruk dalam kemiskinan idea untuk memulihkan mereka, bahkan TUHAN tidak pernah mengemis daripada bangsa lain untuk melindungi bangsa Israel. Tidak pernah sekalipun TUHAN kekurangan satu apapun untuk memberikan kehidupan yang baharu kepada bangsa Israel. Meskipun, ramai penafsir mengatakan bahawa Israel maju dan kuat dari dahulu sehingga sekarang kerana mereka adalah golongan pintar, tafsiran itu sebenarnya lebih berbentuk logik akal sahaja. Jika TUHAN mengkehendaki, maka segala kebijaksanaan serta kepintaran mereka boleh sahaja dikalahkan oleh-Nya dengan sabda yang keluar dari mulut-Nya sahaja. Sejarah Alkitab membuktikan bahawa bangsa-bangsa berusaha menentang TUHAN (termasuk bangsa Israel) dengan menggunakan kepintaran mereka, tetapi akhirnya mereka sendiri yang mendapat masalah lalu binasa. TUHAN tidak pernah terbatas dalam segala kewujudan yang DIA miliki.

Begitu juga dengan kehidupan kita ketika ini. Apabila kita berada di dalam kekuasaan TUHAN, kita sebenarnya sedang berada di dalam tahun pembaharuan hidup di dalam-Nya. Apabila kita berada di dalam kekuasaan TUHAN, kita sebenarnya sedang mengalami pemulihan di dalam kehidupan kita. Jika kita mengalami kemerosotan kualiti rohani hidup kita, maka TUHAN yang MAHA TAHU sentiasa membaharui kehidupan rohani kita. Jika kita sedang mengalami pergumulan dalam kehidupan ekonomi kita, jangan pernah melupakan TUHAN kerana TUHAN sedang membaharui sumber pendapatan kita. Mungkin sahaja waktu TUHAN tidak akan sama dengan waktu yang kita inginkan dalam mendapatkan sumber ekonomi, tetapi satu perkara yang sama adalah, TUHAN tetap sama dahulu dan selamanya; TUHAN yang memberkati bangsa-bangsa di seluruh dunia sejak berzaman lamanya adalah TUHAN yang sama memberkati anda dan saya.

Ketika TUHAN mahu memulihkan keadaan rohani kita, TUHAN mungkin sahaja akan berkomunikasi langsung dengan kita dan mendidik kita secara peribadi seperti Paulus yang bersekutu dengan Yesus selepas matanya dipulihkan. Atau, TUHAN mungkin saja boleh gunakan orang lain, sesebuah peristiwa atau saluran lain untuk mendidik kita. TUHAN tidak pernah habis cara dalam mendidik kita agak kerohanian kita bertumbuh. Ketika kita merasakan kita sudah jatuh miskin dan hilang sumber pendapatan, kita mungkin sahaja tidak mampu mencari pekerjaan atau menawarkan khidmat peribadi sebagai usaha menjana pendapatan, tetapi TUHAN pasti menggunakan cara lain seperti bantuan daripada kerajaan, pinjaman daripada rakan dan keluarga, kempen kutipan derma komuniti dan banyak cara lagi untuk menghulurkan bantuan kepada kita. Jangan kita mempersoalkan alasan TUHAN menggunakan pendekatan-pendekatan yang berbeza dalam membawa pembaharuan hidup kita. Sebaiknya, persoalkan sejauh mana kita mengimani kedaulatan dan kekuasaan TUHAN dalam janji-janji yang DIA sudah tawarkan kepada kita.

TUHAN juga tidak perlu disogok dengan janji-janji kita dalam usaha kita untuk mendapatkan pembaharuan hidup. TUHAN sendiri akan menawarkan berkat-Nya kepada kita sehingga akhirnya kita akan memahami bahawa sesungguhnya TUHAN memberikan janji kepada kita sebagai landasan kepada kita menikmati berkat-berkat-Nya. Selama TUHAN berkenaan kepada kita, selama itu kita tidak akan dibiarkan hidup di tahap yang lama. Selama TUHAN masih berkenaan kepada kita, di tahun 2021 ini, kejarlah kebenaran firman-Nya dan kerjakanlah kebenaran-kebenaran itu. Firman Tuhan dalam Matius 12:46-50 dan Matius 7:21-23 jelas menunjukkan bahawa TUHAN sendiri memberikan jaminan bahawa ada imbal balas daripada setiap tindakan kita apabila kita meresponi landasan kehidupan yang TUHAN sudah tawarkan kepada kita. Selama TUHAN masih berkenan, maka carilah kebenaran didalam-Nya, terimalah kebenaran itu dan milikilah Yesus Kristus sebagai satu-satunya TUHAN yang benar dan satu-satunya TUHAN yang menyelamatkan. Hanya melalui YESUS KRISTUS, kita akan dapat menikmati pembaharuan-pembaharuan dalam hidup kita. Di luar Yesus Kristus, hanya ada kebinasaan. Gagahilah tahun 2021 ini dengan langkah bangga kerana Yesus Kristus ada dalam hidup anda! Haleluyah!

Berjalanlah bersama Yesus, maka engkau menemukan rumput yang hijau.
Berehatlah bersama Yesus, maka engkau menemukan air tenang.
Berlututlah di bawah kaki Yesus, maka engkau menemukan keselamatan.
Bersama Yesus, anda tidak akan pernah sendirian.
Amin.

– HT Ram Jonathan®