Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini. Sama ada orang bersunat atau tidak, hal ini tidak menjadi soal. Yang penting adalah menjadi manusia baru.
– Galatia 6:14-15

Dalam ayat 11 dari Galatia 6, Paulus memberikan penekanan bahawa dia adalah penulis kepada ajaran yang akan menyusul di ayat-ayat seterusnya. Pengakuan ini penting kerana Paulus hendak menekankan bahawa ajaran yang ditulis dalam surat ini adalah datang daripadanya dan bukan daripada pengajar-pengajar sesat. Kemudian dalam ayat 12, kata ganti diri ‘mereka’ merujuk kepada golongan Yudaisme yang ekstrim terhadap pengajaran Taurat mengenai larangan badani tetapi sebenarnya mereka melakukannya untuk tujuan kesombongan. Ritual-ritual keagamaan lebih menjadi keutamaan mereka tetapi mereka sendiri gagal mematuhi hukum Taurat. Sehingga dalam ayat 14-15, Paulus menonjolkan pendiriannya iaitu dia sesungguhnya lebih berbangga dengan kehidupan baharu akibat daripada pengorbanan yang Yesus telah lakukan untuk menebus manusia daripada dosa. Salib Yesus dijadikan metafora kepada pembebasan manusia daripada dosa dan salib Yesus juga menjadi metafora kepada hidup lama yang telah mati terhadap dunia ini, sebaliknya sudah memiliki hidup baharu di dalam Yesus. Bagi Paulus, bersunat atau tidak bersunat bukan lagi keutamaan kerana sesudah manusia itu hidup percaya kepada Yesus, mereka sudah menjadi manusia baharu. Sehingga akhirnya Paulus memberikan dorongan kepada pengikut Yesus agar mereka tetap teguh dalam pendirian iman mereka kerana akhirnya Paulus percaya bahawa Allah akan mengurniakan mereka kehidupan yang sejahtera dan penuh rahmat.

Pengajaran serta pendirian Paulus dalam hal keimanan kepada Yesus dalam ayat ini telah menjadi antara pautan iman kepada semua orang Kristian dari dahulu sehingga masa kini. Hal ini kerana pengajaran mengenai betapa pentingnya orang Kristian memahami erti daripada penyaliban Yesus yang merupakan antara prinsip awal kepada permulaan proses pertumbuhan iman. Tanpa memahami erti daripada salib dan penyaliban Yesus, orang Kristian mungkin sahaja mudah terperangkap dengan penghinaan dari orang bukan Kristian mengenai kebenaran Yesus yang disalibkan. Penekanan utama yang harus dijadikan perisai iman Kristian mengenai salib Yesus bukan merujuk kepada mempertahankan teori konspirasi individu yang disalibkan, tetapi kebenaran bahawa orang Kristian harus berbangga kerana Yesus mati untuk menebus manusia! Gaya penulisan yang digunakan oleh Paulus dalam ayat 14b, “Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku.” menunjukkan status terus menerus yang dilakukan oleh pelaku dari luar ke dalam hidup manusia. Dalam konteks bahasa seharian, kematian Yesus yang telah berlaku lebih 2,000 tahun dahulu telah menyucikan manusia dari dosa dan Roh Kudus merupakan Peribadi yang membantu manusia untuk hidup suci serta membantu manusia mematikan segala nafsu dan keinginan dosa mereka. Itulah sebabnya sangat penting untuk kita memahami bahawa Roh Kudus adalah peribadi Allah dalam Tritunggal Allah. Meneruskan pekerjaan yang telah Yesus lakukan lebih 2,000 tahun dahulu, menyucikan dan menguduskan hidup manusia terus menerus.

Menjadi manusia baharu merupakan tuntutan yang sangat penting dalam kehidupan orang Kristian. Menjadi manusia baharu bukan sekadar sebuah tujuan tetapi merupakan sebuah proses. Ini kerana, kita bukan selamanya hidup tanpa cabaran dosa dan godaan; setiap hari kita akan berhadapan dengan cabaran dan godaan dunia. Oleh itu, kita dituntut setiap hari untuk memiliki pembaharuan hidup sebagai manusia yang telah percaya kepada Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat. Kegagalan bukanlah pilihan tetapi, kegagalan juga bukan akhir kepada perjalanan hidup Kristian. Oleh itu, sangat penting sebagai manusia baharu dalam Yesus untuk memiliki hubungan peribadi dengan Dia dalam doa dan pemahaman akan kebenaran firman-Nya. Tanpa kedua tindakan ini, proses pembaharuan hidup setiap hari akan berhadapan dengan cabaran tinggi kerana kita tidak menjalani hidup bersama Yesus secara sedar. Ramai orang Kristian pada masa kini sudah lupa bagaimana untuk berdoa, bahkan ada juga di antara orang Kristian yang tidak tahu berdoa. Mungkin ia kedengaran mustahil (tidak tahu berdoa) terjadi tetapi itulah realiti hidup orang Kristian masa kini. Mungkin ia disebabkan oleh kehidupan Kristian mereka yang hanya sekadar ‘ikut-ikutan’; lahir dari keluarga Kristian, mengikuti orang ke gereja, dibaptis kerana mahu melayani atau menjadi Kristian kerana membenci agama lain. Menjadi Kristian tidak harus berbangga dengan tanda-tanda, aturan-aturan atau status pelayanan kita di dalam gereja! Semua itu hanyalah sebuah tanda bahawa status agama anda seorang Kristian, tetapi belum tentu beriman penuh kepada Yesus. Menjadi Kristian harus memiliki iman yang kukuh. Orang beriman tidak semestinya rajin melayani di dalam gereja, memiliki fungsi dalam kepimpinan gereja ataupun menghafal semua aturan gereja. Semuanya harus bermula dari iman dan hikmat kepada Yesus. Jangan menjadi Kristian hanya untuk berlagak sombong kepada orang yang bukan Kristian sambil menuduh mereka sesat. Tetapi, anda sendiri gagal dalam mempraktikkan kasih dan memahami firman Tuhan dengan sebaiknya. Jangan menjadi Kristian sambil menganggap orang lain lebih rendah daripada anda hanya kerana anda berjaya membaca Alkitab berulang kali, tetapi sebenarnya sekadar memenuhi tuntutan peribadi. Orang yang sudah membaca firman Tuhan berulang-kali sepatutnya tidak sewenang-wenangnya mengutip firman Tuhan demi kepentingan peribadi, apalagi demi kesombongan.

Menjadi manusia baharu dalam Yesus menuntut kita untuk memiliki penguasaan diri dan kerendahan hati. Menjadi manusia baharu dalam Yesus tidak memaksa kita menjadi kudus tetapi mengutuk orang lain yang tidak beriman kepada-Nya. Menjadi manusia baharu tidak mengangkat kita menjadi lebih sombong dan memperlekeh sesama manusia di sekeliling kita. Menjadi manusia baharu dalam Yesus bermakna kita siap untuk hidup dipimpin oleh Roh Kudus setiap masa dalam setiap langkah hidup kita. Menjadi manusia baharu dalam Yesus bermakna kita siap untuk mengasihi semua orang termasuk mereka yang membenci kita. Menjadi manusia baharu dalam Yesus bermakna kita siap mengampuni orang yang bersalah terhadap kita. Menjadi manusia baharu di dalam Yesus bermakna kita siap memikul tanggungjawab sebagai garam dan cahaya bagi dunia ini. Oleh itu, marilah kita berusaha menjalani kehidupan sebagai manusia baharu dalam Yesus dengan penuh kerendahan hati. Siap dibentuk dan siap ditegur. Haleluyah!

Yesus yang termulia,
Karya salib-Mu menjadikan aku baharu;
telah menyucikan aku putih seperti salju.
Yesus yang teragung,
Karya salib-Mu menjadikan aku baharu;
telah menuntun aku berjalan sesuai kehendak-Mu.
Yesus yang tersanjung,
Karya salib-Mu menjadikan aku baharu;
telah memberikan aku tujuan hidupku.
Aku hidup untuk memuliakan-Mu!
Amin.

– HT Ram Jonathan®