Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus. Di dalam Alkitab tertulis, “Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi, Dia membawa banyak tawanan; Dia memberikan kurnia kepada manusia.”
– Efesus 4:7-8
Dalam dua petikan firman Tuhan ini, kita mendapati bahawa sesungguhnya kurnia Roh adalah pemberian yang diberikan oleh Roh Kudus kepada orang Kristian yang sudah benar-benar lahir baharu (1 Korintus 12:11). Jika kita membaca konteks keseluruhan perikop Efesus 4, kita akan mendapati bahawa Paulus ingin jemaah di Efesus sedar kepentingan mereka untuk bersatu kerana mereka adalah satu tubuh di dalam Kristus (ayat 3) dan Paulus memberikan nasihat bagaimana karakter yang perlu mereka praktikkan iaitu; rendah hati, lemah lembut dan sabar (ayat 2). Ini kerana meskipun Paulus berada di dalam penjara, dia tetap mahu jemaah di Efesus tidak memikirkan kerisauan mereka terhadap keadaan dirinya. Sebaliknya, Paulus mahu mereka memiliki kesatuan sebagai tubuh Kristus. Itulah sebabnya, Paulus menyatakan bahawa setiap orang Kristian menerima kurnia Roh daripada Roh Kudus tetapi di sebalik perbezaan secara individu itu, mereka diperintahkan untuk melaksanakan pelayanan sebagai satu tubuh yang bergerak dengan anggota tubuh yang berperanan sama penting antara satu sama lain. Selepas Paulus menyatakan bahawa kesatuan itu sangat penting, dia lalu menyatakan bahawa semua kurnia yang diberikan oleh Roh kepada umat Allah bertujuan untuk memuliakan Allah; membawa nama Allah di tempat yang tertinggi (ayat 8). Ayat 8 ini sebenarnya merupakan mazmur yang dikutip oleh Paulus dari Mazmur 68:19 yang menceritakan kekuasaan dan kemuliaan Allah yang telah mengalahkan musuh Israel sehingga semua musuh tunduk kepada-Nya dan membawakan hadiah-hadiah menyatakan kemuliaan Allah. Lalu, Paulus ingin menggambarkan kepada jemaah di Efesus bahawa mereka dahulu adalah tawanan dosa tetapi sekarang telah ditebus oleh Yesus lalu diberikan kurnia Roh secara individu. Maka, wajarlah untuk mereka menyembah Allah dan memuliakan-Nya terutamanya dengan menggunakan kurnia-kurnia Roh yang mereka telah terima untuk tujuan pelayanan.
Tidak sepatutnya ada tujuan lain selain daripada memuliakan Allah dan menjadi keluarga Kristus yang bersatu teguh. Antara penyebab kepada pergumulan masalah perpecahan yang berlaku di dalam gereja adalah kerana jemaah saling membelakangi di antara satu sama lain. Jemaah tidak memiliki kesatuan dalam pelayanan meskipun mereka kelihatan bersama-sama dalam sesebuah pelayanan. Mereka mungkin sahaja melakukan aktiviti bersama-sama, bersukaria bersama atau berdoa bersama, tetapi yang malangnya adalah motivasi mereka dalam pelayanan adalah untuk saling bersaing di antara satu sama lain sesuai dengan kurnia Roh yang mereka ada. Tidak keterlaluan juga untuk katakan bahawa ada jemaah yang saling memburukkan sesama mereka demi mendapatkan penghormatan sosial dari jemaah. Jika ini masih sedang berlaku di antara kita di dalam gereja, bertaubatlah kerana sikap ini dibenci oleh Allah (Amsal 16:5, 1 Samuel 2:3; Yesaya 2:17). Melihat perpecahan yang berlaku di Efesus mendorong Paulus untuk mengajarkan mereka tentang hidup sebagai sebuah keluarga yang bersatu. Mereka adalah sebuah keluarga yang dibangunkan atas dasar kasih Kristus sehingga mereka juga harus menunjukkan kesatuan dalam keluarga ini. Jemaah gereja yang sudah mulai menjauhkan diri daripada persekutuan kudus oleh gereja merupakan antara kumpulan yang berpotensi membawa perpecahan dalam keluarga Kristus. Alasannya mudah, mereka tidak lagi mencintai kesatuan dalam tubuh Kristus. Lalu, apa yang ada dalam fikiran dan hati mereka adalah sikap mementingkan diri; tidak mahu hadir dalam persekutuan, gagal menghadiri pelayanan bahkan ada yang melarang keluarganya untuk beribadat kepada Tuhan di dalam gereja. Semua tindakan ini boleh memicu kepada perpecahan sesebuah gereja. Pastor dan barisan pemimpin gereja berperanan penting dalam melihat penyelesaian sewajarnya.
Kita semua juga harus berperanan aktif dalam mengeratkan kesatuan itu. Belajarlah untuk saling membangun iman sesama, saling mendahului dalam memberikan bantuan, saling mendoakan, dan saling menunjukkan kasih. Jika kita memiliki komitmen untuk melakukan tindakan-tindakan tersebut, keluarga Kristus yang bersatu akan terus teguh meskipun halangan datang menerpa mereka; “bersatu teguh, bercerai roboh.” Di tengan-tengah situasi sukar yang sedang kita hadapi semenjak penularan Covid-19 di seluruh dunia, kita di tuntut untuk menunjukkan kesatuan kita dalam membantu di antara satu sama lain. Abaikan perbezaan agama, abaikan perbezaan status sosial dan abaikan prinsip hidup untuk melayani di dalam ruang bangunan ibadat sahaja. Inilah masa untuk kita berganding bahu menunjukkan kepada dunia di sekitar kita bahawa kita adalah keluarga Kristus yang mengasihi orang di sekitar kita. Kita mahu menghulurkan bantuan dalam segala perkara yang mampu kita lakukan, bahkan kita juga menunjukkan teladan bahawa kita adalah rakyat yang menghormati peraturan mengelak daripada jangkitan. Jangan terpengaruh dengan hasutan politik para pemimpin yang mahu kita bereaksi secara negatif terhadap pemimpin negara, tetapi tunjukkanlah kasih kita dengan mendoakan mereka serta menjadi garam dan cahaya dimana sahaja kita berada. Jika hari ini anda belum menjadi sebahagian daripada keluarga Kristus, ambillah peluang untuk berdoa memohon kepada Roh Kudus untuk menyatakan kebenaran Injil bahawa Yesu Kristus adalah Tuhan dan Penyelamat tunggal anda. Milikilah Kristus dalam hidup kita kerana tanpa Kristus, hidup kita selamanya binasa. Haleluyah!
Jadikan kami satu seperti kerinduan-Mu.
Seperti Kau dan Bapa adalah satu.
Jadi kami kami satu seperti kehendak-Mu.
Mengasihi, melayani, memberkati.
– HT Ram Jonathan®