“Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang.”

– Matius 5:13

Jika kita memahami konsep garam, maka kita akan tahu bahawa garam merupakan bahan yang memiliki banyak fungsi. Antara fungsi lazimnya adalah untuk memberi rasa kepada makanan yang diproses sama ada secara masakan, perapan, peraman dan tujuan kesihatan. Garam secara ringkasnya dapat memberikan keseimbangan pada cairan dan fungsi otot mahukan saraf manusia. Garam membawa perubahan besar terhadap apa juga objek yang diadun bersamanya sama ada dalam tempoh masa yang singkat mahupun jangka masa yang sangat panjang. Dalam erti kata lain, garam sangat memainkan peranan penting dalam diri manusia. Demikian pentingnya garam untuk keperluan harian manusia, maka Yesus dalam khutbah-Nya turut mengambil garam sebagai ilustarasi peranan orang Kristian kerana ianya sangat mudah untuk difahami oleh para pengikut-Nya. Namun, pada bahagian kedua daripada ayat 13 ini, Yesus dicatatkan memberikan peringatan kepada pengikut-Nya bahawa jika garam itu menjadi tawar, maka ia akan dibuang bahkan sangat tidak berguna lagi sehingga hanya akan dipijak oleh orang. Begitu tajam maksud daripada ilustrasi ini sehingga tidak ada satu pun fungsi garam yang telah tawar; tidak akan diambil oleh pengemis, bahkan binatang pun tidak tertarik untuk menjilat garam tawar. Garam yang tawar tidak ada gunanya langsung!

Ilustrasi ini bukan sekadar memberikan peringatan kepada pengikut Yesus pada masa itu, tetapi juga untuk semua orang Kristian pada masa kini. Perhatikan baik-baik pengikut Yesus pada masa itu; majoriti daripada mereka adalah orang miskin, orang tertindas oleh kekerasan politik, orang hilang kepercayaan kepada sistem beragama, orang kaya yang bertaubat bahkan janda-janda yang kehilangan suami. Golongan-golongan ini masih ada di sekeliling kita bahkan tidak sedikit daripada kita terdiri daripada golongan ini. Kita adalah orang Kristian yang seharusnya menjadi garam di dalam kehidupan orang lain. Menjadi Kristian menuntut kita menjadi agen perubahan kepada orang di sekitar kita. Apakah orang di sekitar kita itu adalah sesama Kristian mahupun orang bukan Kristian. Yesus menuntut kita menjadi agen transformasi. Transformasi merujuk kepada perubahan sifat, karakter dan bentuk peribadi seseorang. Maka, dapat kita fahami bahawa kita menjadi agen transformasi yang sangat integral dan holistik kepada orang lain. Harus diakui bahawa sebelum menjadi agen transformasi kepada orang lain, maka syarat utama yang perlu dimiliki sebagai agen adalah kita lebih dahulu mengalami transformasi itu daripada Yesus.

Manusia sentiasa memiliki alasan untuk menolak tangungjawab yang mereka terima. Bahkan, sifat ini juga dimiliki oleh orang Kristian ketika kita dituntut untuk melakukan perintah Yesus iaitu menjadi agen transformasi. Pasti sahaja alasan demi alasan akan diberikan sehingga tanggungjawab utama kita menjadi Kristian tidak lagi kita bawa dimana sahaja kerana sudah terbiasa memberikan alasan. Tetapi dalam khutbah sesi seterusnya oleh Yesus di masa yang sama, Yesus telah mengingatkan para pengikut-Nya bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Bapa di surga akan disingkirkan sendiri oleh Yesus daripada menjadi anggota keluarga-Nya (Matius 7:21- 23). Dalam erti kata lain, jika kita memberikan alasan demi alasan untuk tidak menjadi agen transformasi kepada orang disekitar kita; kita sebenarnya tidak taat kepada perintah Bapa di surga untuk melakukan kehendak-Nya. Maka, orang itu sama seperti garam yang telah menjadi tawar dan tidak ada gunanya untuk disimpan oleh pemiliknya lagi. Saya percaya tidak ada satupun dari kita yang mahu dibuang oleh Bapa di surga hanya kerana kita sibuk memberikan alasan supaya tidak melakukan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kita sebagai orang Kristian! Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama berganding tangan mengupayakan diri kita sebagai orang Kristian yang membawa transformasi kepada lingkungan hidup kita. Marilah kita saling mendorong dalam doa dan memberi nasihat antara satu dengan lain untuk saling menguatkan sehingga akhirnya manusia di dalam lingkungan menikmati kesan ‘garam’ yang ada dalam hidup kita. Haleluyah!

Yesus Kristus,
Engkau tuntunlah kami dalam proses kehidupan kami.
Bukan menjadi garam tawar tetapi menjadi garam yang sentiasa berfungsi sepenuhnya;
Membawa transformasi kepada manusia di lingkungan kami,
Memberikan kehidupan yang bermakna kepada manusia di lingkungan kami.
Ajarilah kami menghitung hari-hari kami sebagai hari untuk mempengaruhi orang lain;
Membawa nama-Mu dimegahkan di dalam kehidupan mereka,
Seperti kami juga sangat bangga memiliki Engkau sebagai Tuhan dan Penyelamat kami.
Amin.