Menikmati Kebahagiaan Kekal

203

Mazmur Daud
Ya Tuhan, siapakah yang boleh tinggal di khemah suci-Mu?
Siapakah yang boleh duduk di bukit suci-Mu?
Orang yang hidup tulus dan mengamalkan kebenaran serta berkata benar dalam hatinya,
orang yang lidahnya tidak memfitnah,
dan tidak berbuat jahat kepada orang lain juga tidak mencela temannya,
orang yang membenci mereka yang berkelakuan keji
dan menghormati mereka yang takut akan Tuhan,
orang yang tidak berganjak daripada sumpahnya meski memudaratkan dirinya,
orang yang tidak mengambil bunga daripada pinjaman wangnya
dan tidak makan suap untuk menghukum mereka yang tidak bersalah.
Orang yang melakukan semua ini tidak akan goyah.
– Mazmur 15:1-5

Mazmur singkat ini memiliki keistimewaan yang tersendiri iaitu ia adalah mazmur dari Daud untuk menjelaskan kepada kita jalan ke syurga dan untuk meyakinkan kita mengenai kunci kebahagiaan iaitu hidup kudus dan benar. Kunci utama untuk menikmati syurga hanya satu iaitu melalui Kristus. Matius 19:17 menjadi bukti bahawa Yesus sendiri mengatakan hanya Dia yang akan menjadi jalan menuju ke syurga. Yesus berkata, “Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.” Maka itu juga yang diungkapkan oleh Daud bahawa orang yang boleh duduk kekal di ‘khemah suci di bukit suci’ adalah orang yang tulus hidupnya dan hidup dalam kebenaran. ‘Khemah suci di bukit suci’ adalah metafora untuk rumah kekal semua orang percaya iaitu syurga (Lukas 18:18; KPR 16:30). Lalu, Daud menghuraikan ciri-ciri manusia yang hidup tulus dan mengamalkan kebenaran iaitu; mulut yang tidak memfitnah dan tidak membawa kejahatan kepada orang lain (ayat 3); memiliki iman teguh dan hormati Tuhan serta tidak sukakan kekejian (ayat 4); berintegriti tinggi dan amanah dalam kehidupan pekerjaannya (ayat 5). Ketiga-tiga kumpulan gambaran hidup tulus dan benar ini mewakili kehidupan luaran dan dalaman setiap orang percaya.

Bagaimana dengan anda dan saya? Adakah soalan retorik Daud kepada TUHAN di dalam mazmur ini menjadi soalan yang sama dalam hidup kita? Jika kita mengambil soalan ini secara peribadi, maka kita akan bertanya, “adakah aku boleh tinggal di khemah suci-Mu?” Sama seperti pemimpin Yahudi yang bertanya kepada Yesus dan dicatatkan di dalam Lukas 18:18. Jika kita mengambil soalan ini sebagai soalan peribadi, maka kita mungkin akan takut untuk bertanya kepada TUHAN kerana kita tahu kita tidak mampu hidup suci dan benar sepanjang masa dalam kehidupan kita. Lalu, adakah kecemaran kita ini menjadikan kita seorang yang mudah berputus asa di dalam iman kita? Pastikan anda dan saya tidak putus asa lalu meninggalkan iman Kristian hanya kerana alasan ini. Sebaliknya, marilah kita bersama-sama maju ke hadapan dan berseru kepada TUHAN dan memohon belas kasih-Nya agar setiap saat di dalam hidup kita, kita mengharapkan kekuatan hikmat dan kasih-Nya untuk memimpin kita. Daud dalam lagunya mungkin melihat kefasikan yang terdapat di dalam dirinya sendiri dan kesombongan iman para umat Israel, sehingga akhirnya Daud mulai bertanya secara retorik di dalam lirik lagunya. Lagu ini akhirnya pasti akan dinyanyikan oleh para pemazmur dan secara langsung didengar oleh umat Israel dan pasti mereka akan sedar betapa mereka sudah jauh tersesat dan memerlukan rahmat dan kasih TUHAN untuk memimpin mereka kembali ke jalan menuju syurga. Kita adalah sama seperti mereka, jauh tersesat tetapi telah dipanggil kembali oleh TUHAN untuk masuk ke dalam ‘khemah suci-Nya di bukit suci’ (Lukas 15:4). Jangan memberikan alasan untuk melarikan diri tetapi carilah kekuatan untuk mendekatkan semula diri kepada-Nya.

Sementara kita mengenang akan kehidupan kita yang penuh cabaran ini dan sangat mustahil untuk hidup suci serta benar menurut standard TUHAN, marilah juga mengingati bahaya-bahaya yang kita hadapi di setiap langkah hidup kita di dunia ini. Perhatikan dengan siapa kita bergaul kerana pergaulan yang tidak sihat akan mencemarkan kehidupan kita juga (1 Korintus 15:33). Daud menegaskan pesanan TUHAN bahawa mereka yang hidup suka memfitnah dan melakukan kejahatan terhadap sesama adalah kumpulan yang tidak dapat menikmati kebahagiaan kekal. Kita harus bijaksana memilih sahabat yang boleh membangunkan iman dan bukan meruntuhkan pertahanan iman kita. Jika dari awal kita memilih untuk bergaul dengan kumpulan manusia seperti yang disebutkan dalam ayat 3-5, maka setiap hari di dalam hidup kita akan dihadapkan dengan cabaran mempertahankan kekudusan. Kita mungkin berfikir bahawa kita tidak ada pilihan selain terpaksa bergaul dengan orang-orang keji di masyarakat kita sama ada di pekerjaan, persekolahan atau ruang sosial. Kerana fikiran seperti ini adalah pekerjaan iblis untuk menjerat kita, maka kita memilih untuk tetap berada di sekitar mereka. Mungkin untuk beberapa kali, kita boleh bertahan untuk tidak melakukannya tetapi tidak mustahil kita akan terjebak sama apabila paksaan mengikuti gaya hidup mereka dituruti dengan ugutan dibuang kerja, dipinggirkan dari persahabatan atau dijatuhkan hukuman duniawi lainnya. Oleh itu, usahakanlah untuk memilih lingkungan sihat rohani dan emoasi dari awal untuk menjaga kesucian dan kebenaran hidup kita. Jangan sengaja mencari masalah dan membuat ujikaji sedangkan anda tahu iblis itu sentiasa menyelinap di dalam setiap kesempatan. Jauhilah tipu muslihat iblis dan milikilah keteguhan iman, kerana iman yang benar akan membawa kita kepada nikmati kebahagiaan kekal. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®