“Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
“Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku.”
– Yohanes 13:34-35
Jika dilihat secara konteks, Yesus dicatatkan ‘berasa gundah’ (Yohanes 13:21) kerana salah seorang daripada murid akan mengkhianati-Nya. Meskipun para murid Yesus saling tidak tahu siapa murid yang dimaksudkan, tetapi di antara mereka saling menuduh antara satu dengan lain. Dalam erti kata lain, para murid Yesus mulai menanam perasaan negatif kepada murid yang mereka mungkin masing-masing ragui. Meskipun murid Yesus bertanya siapa di antara mereka yang akan mengkhianati, Yesus tetap berdiam dan tidak memberikan nama si pengkhianat. Akibat daripada pengumuman Yesus, maka para murid pasti masih memiliki sikap prejudis antara satu sama lain dan membawa kepada sikap membenci. Tidak mustahil mereka akan memiliki perasaan benci kerana pengkhianat itu menyerahkan Yesus, Sang Guru; Mesias; pembebas kepada yang tertindas. Pengkhianat itu bukan sahaja mengkhianati Yesus tetapi mengkhianati murid-murid dan para pengikut-Nya. Namun, Yesus tahu perasaan benci itu tidak baik sehingga akhirnya Yesus memberikan peringatan ulang perintah baharu kepada mereka; kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri (ayat 34). Bahkan, Yesus juga menjelaskan alasan praktikal mengasihi yang Dia ajarkan iaitu supaya semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku (ayat 35).
Memahami ajaran baharu oleh Yesus yang diulang ingat berdasarkan konteks ajaran ini, maka kita tahu bahawa Kristian memiliki Tuhan yang mengajarkan perintah kasih. Dalam erti kata lain, orang Kristian tidak diajar untuk membenci dan tidak memusuhi! Kristian tidak diajar untuk berperang menentang pihak yang memusuhi! Kristian tidak diajar untuk menipu demi kepentingan peribadi! Jika ada suasana di mana orang Kristian perlu menghadapi individu atau pihak yang mahu berkonflik dengan mereka, Yesus telah mengajarkan kepada kita untuk tetap mengasihi musuh kita (Matius 5:44).
Ketika anda dan saya memilih untuk beriman kepada Yesus, maka anda dan saya memiliki keyakinan bahawa ajaran Yesus tentang mengasihi juga harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Jika anda dan saya tidak memiliki iman untuk mengasihi, maka sangat mustahil untuk kita mempraktikkan kasih. Jika anda dan saya percaya bahawa kasih yang kita praktikkan menjadikan kita sebagai murid Yesus, maka segala tindakan kita akan mencerminkan gaya hidup murid Yesus. Apabila anda dan saya mempercayai bahawa kita adalah murid Yesus, maka kita juga percaya bahawa kita harus mengikuti segala tindakan kasih Yesus kerana murid yang baik pasti akan mengikuti tindakan guru yang baik! Agama lain juga mengajarkan penganutnya untuk meneladani tokoh agama mereka, tetapi tidak seperti Kristian; kita bukan sahaja meneladani tokoh Kristian iaitu Yesus, tetapi kita meneladani Yesus iaitu Tuhan dan Penyelamat manusia!
Betapa beruntungnya Kristian kerana dapat meneladani Tuhan dan Penyelamat mereka. Bukan sekadar seorang nabi, Mesias atau pembebas, tetapi Tuhan! Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat, bukan nabi. Jika kita mengikuti Yesus, maka kita pasti berada di jalan yang benar dan menikmati rahmat hidup kekal di syurga. Mengikuti Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat adalah langkah awal untuk kita meneguhkan iman Kristian dan kita tidak akan rugi mengikuti-Nya. Bahkan, bukan sahaja kita akan menikmati gelaran sebagai murid Yesus tetapi kita juga akan menikmati tanggungjawab sebagai duta kerajaan syurga. Kita dituntut untuk menjadi teladan kasih di dalam komuniti setempat, bukan untuk kemegahan kita tetapi untuk kemuliaan Tuhan. Jika kita akhirnya menjadi berkat kepada komuniti setempat, tidak mustahil akan menular kepada komuniti global. Oleh itu, janganlah kita jemu-jemu mengikuti Yesus kerana Dia adalah Tuhan yang penuh dengan kasih! Haleluyah!
– Jonathan Nafesy El RamĀ®