“Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut-Ku tidak boleh menjadi murid-Ku.”
– Lukas 14:27

Ilustrasi oleh Yesus seperti dicatatkan pada ayat 28-30 mengajarkan kita bahawa dalam usaha mengikut Yesus, ia adalah sebuah keputusan yang perlu dipertimbangkan sedalam-dalamnya. Mengikut Yesus tidak boleh setengah-setengah atau sebahagian daripada hidup sahaja; mengikut Yesus harus dengan sepenuh jiwa dan roh kita, bahkan dengan seluruh tubuh. Ramai yang menganggap bahawa ilustrasi dalam ayat 26 sangat kejam kerana Yesus seolah-olah mengajar pengikut-Nya untuk membenci keluarga mereka sendiri, tetapi sebenarnya makna daripada ilustrasi ini adalah penegasan prioriti hati kita harus kepada Yesus berbanding hal duniawi lain termasuk hal yang kita anggap sangat penting di dunia ini, termasuk diri kita sendiri. Terlalu ramai keluarga di dunia ini hancur kerana mereka saling membenci di antara satu sama lain, berkonflik tanpa penyelesaian kasih bahkan membunuh diri kerana hilang pengharapan hidup. Hal ini semuanya terjadi kerana mereka menganggap bahawa orang di sekeliling tidak memberi prioriti terhadap mereka atau mereka rasa mereka tidak mampu mengasihi diri mereka lagi. Tetapi, jika kita meletakkan Yesus sebagai sumber kasih dan pusat kasih dalam kehidupan kita, hidup yang penuh dengan cabaran ini pasti akan dapat dilalui dengan lebih baik kerana kita tahu Yesus memimpin kita mengharungi setiap cabaran yang datang!

Untuk itulah juga Yesus meneruskan pengajaran mengenai prioriti mengikuti-Nya dengan menggunakan ilustrasi membangunkan menara (28-29) dan persiapan berperang (ayat 30-32). Seorang yang ingin membangunkan sebuah menara harus bijaksana dalam memperhitungkan anggaran perbelanjaan supaya pembangunan menara tersebut tidak terbengkalai atau mengalami kerugian. Atau, seorang yang merancang strategi perang harus bijaksana menilai kekuatan lawan mereka dan membandingkan dengan kekuatan pasukannya sendiri untuk memastikan kemenangan. Kedua-dua ilustrasi ini mengajarkan kepada murid-murid dan juga untuk kita bahawa seseorang yang mahu mengikuti Yesus harus sungguh-sungguh sedar ada ‘harga’ yang perlu dibayar dan bukannya sekadar mengakui dalam mulut sahaja. Hanya mereka yang benar-benar tahu ‘harga’ dan sanggup mengikuti Yesus sepenuhnya sahaja yang akhirnya akan disebut sebagai murid Tuhan (ayat 33).

Menjadi pengikut Yesus harus menjadi garam yang sentiasa memberikan impak kepada hidup orang lain. Bahkan, ketika kita benar-benar mahu memberikan prioriti untuk berserah penuh kepada Yesus dalam mengikuti-Nya, kita perlu berani berkata “segala sesuatu kukira rugi berbanding mengenal Kristus Yesus, Tuhanku. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu Kristus dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus, perbenaran daripada Allah melalui iman.” (Filipi 3:8-9). Kita harus mengikuti Yesus dengan meninggalkan segala sesuatu yang dunia telah tawarkan meskipun kelihatan tawaran itu nampaknya membawa kegembiraan, tetapi ia sebenarnya adalah sampah sarap seperti kata Paulus. Kita mengikuti Yesus bukan untuk kemegahan atas usaha kita tetapi kerana iman yang Yesus telah sediakan untuk kita melalui kuasa Roh Kudus. Maka, kita harus menjadi garam yang masin dan jangan menjadi garam tawar kerana akhirnya kita tidak berguna lagi (34-35).

Mengikut Yesus adalah sebuah keputusan yang tepat kerana Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat umat. Jika kita berlindung di bawah rahmat Tuhan, maka kita tidak akan takut berhadapan dengan segala bahaya di dunia ini. Daud berkata (Mazmur 23:4) ‘meski aku melangkah di lembah bayangan maut, aku tidak akan takut kepada kejahatan, kerana Engkau ada bersama.’ Kita tidak akan menghadapi semua cabaran hidup di dunia ini sendirian jika kita mengikut Yesus. Seorang raja yang dilindungi setiap masa seperti Daud sahaja mengakui bahawa mengikut Tuhan adalah keputusan tepat kerana dia rasa dilindungi sentiasa, terlebih lagi kita manusia biasa; kita memerlukan Yesus! Semoga kita tetap kuat menghadapi cabaran dunia dan tetap mengikuti Yesus sepanjang umur kita, mengikuti-Nya dengan sepenuh hidup dan bukan sebahagian masa sahaja. Mengikut Yesus adalah keputusan tepat! Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El RamĀ®