“Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.”

“Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.”
– Yohanes 14:21, 23-24

Perikop terdekat bagi ketiga-tiga ayat di atas adalah dalam Yohanes 14:18-24. Yesus berjanji tidak akan meninggalkan para murid dan pengikut-Nya (ayat 18), sebaliknya Yesus akan menjanjikan Penolong iaitu Roh Kebenaran atau juga kita panggil sebagai Roh Kudus (ayat 16-17). Oleh itu, meskipun Yesus berkata bahawa ‘tidak lama lagi dunia tidak melihat-Ku lagi’ (ayat 19) mereka akan tetap hidup bersama-sama dengan Yesus suatu masa kelak. Bukan sahaja akan hidup bersama dengan Yesus, tetapi memerintah bersama-sama Yesus di dalam kerajaan kekal iaitu Syurga. Sementara menunggu hari kedatangan-Nya untuk membawa mereka semua hidup bersama-sama dengan-Nya, Yesus memberikan penyataan berunsur peringatan amaran kepada mereka. Yesus berkata bahawa hanya mereka yang mengasihi-Nya dan Bapa sahaja yang akan dapat menikmati hidup kekal dan Yesus menyatakan bahawa bukti daripada mereka yang mengasihi-Nya adalah apabila mereka melakukan dan mematuhi perintah-perintah-Nya (ayat 22,23). Sementara mereka yang tidak menurut perintah-Nya adalah bukti bahawa mereak tidak mengasihi-Nya dengan benar (ayat 24). Kasih kepada Yesus harus dibuktikan melalui tindakan dalam mematuhi arahan dan perintah-Nya. Mereka yang tidak patuh dan sengaja melanggar ajaran yang diberikan oleh Yesus adalah sebuah bukti bahawa mereka tidak mengasihi Yesus dengan sungguh-sungguh!

Lalu, kita sebagai orang Kristian pada masa kini seharusnya sedar bahawa sesungguhnya kata-kata Yesus yang dicatatkan oleh Yohanes adalah benar; Yesus ditangkap lalu dibunuh, namun bangkit pada hari ketiga lalu naik ke Syurga untuk duduk memerintah di atas takhta kemuliaan-Nya. Yesus pasti akan datang kembali dan menghadapkan kita semua, termasuk mereka yang telah meninggal dunia untuk diadili-Nya. Jika Yesus bertanya, “Mengapa kamu rasa Aku patut membawa kamu masuk ke dalam kerajaan-Ku?,” apakah jawapan kita? Bukan kerana kebaikan dan budi bahasa atau kehormatan di hadapan manusia yang menjadikan kita layak masuk ke dalam kerajaan-Nya, tetapi kerana kasih-Nya yang telah menyucikan hidup anda dan saya. Harus diakui bahawa kita diselamatkan oleh Yesus dan kerana kita beriman, maka kita tergolong dalam keluarga Kristian. Lalu, apakah sikap kasih menjadi ukuran utama untuk masuk ke dalam kerajaan-Nya? TEPAT! Sikap kasih itulah yang menjadikan kita layak masuk ke dalam kerajaan-Nya; kasih termulia Yesus menyucikan dan menebus kita, kasih termulia Yesus melayakkan kita untuk diakui sebagai anak-anak Allah. Malangnya, menurut pernyataan Yesus dalam Yohanes 14:23a, masih terdapat ‘Kristian luaran’ sahaja tetapi sebenarnya tidak sungguh-sungguh mengasihi Yesus, apalagi mengasihi sesama manusia. Layakkah orang seperti ini menikmati kehidupan kekal? Yesus pernah memberikan perumpamaan mengenai orang Kristian yang setia dan tidak setia; Matius 25:14-30 jelas memberitahu kita bahawa orang yang setia akhirnya telah diberikan tempat untuk makan bersama tuannya, sedangkan hamba yang tidak mematuhi perintah tuannya telah ‘dibuang’ dari rumah tuannya lalu merempat di pinggir jalan dengan keadaan yang menderita kesejukan dan sakit. Maka, kita dapat simpulkan bahawa kasih Yesus dan perintah Yesus harus dipraktikkan seiring.

Kita pada masa kini tidak dapat melihat Yesus secara fizikal, iaitu Yesus yang telah datang ke dunia kepada bangsa Yahudi dan mengajar ribuan orang di hadapan-Nya. Lalu,apakah kita sedang terlepas daripada melakukan misi kasih Yesus dan menganggap bahawa pesanan untuk mengasihi serta setia melakukan perintah-Nya hanya relevan untuk para murid dan pengikut-Nya pada masa itu sahaja? Mohon maaf tetapi perintah untuk mengasihi serta setia melakukan ajaran-Nya adalah juga untuk anda dan saya pada masa kini. Anda dan saya harus berusaha sedaya upaya untuk memupuk sikap mengasihi yang telah Yesus perintahkan untuk kita lakukan. Anda dan saya harus setia mematuhi perintah-Nya dan dengan sengaja mempraktikkan ajaran-ajaran-Nya di dalam kehidupan seharian kita. Kita adalah penerus kepada misi kasih Yesus kepada dunia ini. Misi kasih yang menuntut kita untuk mengetepikan keinginan daging sendiri, tetapi lebih mengutamakan kasih meskipun terhadap mereka yang berniat untuk memusuhi kita. Memperkatakan kasih dan misi kasih Yesus siang dan malam adalah sangat membahagiakan setiap orang. Tiada insan di dunia ini yang dapat melakukan tindakan kasih oleh Yesus terhadap seluruh manusia. Tiada pemimpin agama yang dapat menyatakan kasih yang sesungguhnya kepada penganut agama selain daripada Yesus; memberikan nyawa sebagai ganti untuk menebus seluruh manusia. Oleh itu, adakah di antara kita yang sudah bosan untuk menunjukkan kasih Yesus yang ada dalam diri kita terhadap orang disekeliling kita? Jika ada yang berkata bahawa misinya hidup di dunia ini adalah untuk dirinya sendiri dan untuk kesenangan sementara di dunia ini, maka orang itulah yang paling malang kerana orang itu tidak mengerti sesungguhnya makna kasih sejati yang datang daripada Yesus untuknya.

Selagi ada kesempatan untuk menunjukkan kasih, maka lakukanlah tindakan berlandaskan kasih Yesus. Kerana mereka yang mengasihi Yesus pasti akan patuh melakukan misi-misi yang diberikan kepada mereka; anda dan saya serta orang lain yang belum mengetahuinya. Misi kita adalah bersatu dalam kasih Yesus dan membawakan Berita Baik kepada semua manusia di seluruh dunia ini. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®