
“Bagaimanakah seseorang mendalami atau membaca Alkitab mengikut konteks?”
“Apakah kepentingan melakukan demikian?”
“Apakah bahayanya apabila mengambil ayat Alkitab di luar konteks?”
Membaca petikan-petikan di dalam Alkitab perlu dilakukan mengikut konteks masing-masing. Apabila seseorang membaca satu petikan ataupun ayat Alkitab hanya dengan harfiah atau erti kiasan, banyak masalah yang akan timbul. Di sinilah ajaran sesat dan penyelewengan Firman Tuhan akan berlaku. Untuk memahami konteks di dalam Alkitab, terdapat 4 prinsip yang harus diikuti: secara harfiah (apa yang dinyatakan), latarbelakang sejarah (peristiwa yang berlaku, kepada siapa tulisan itu ditujukan, bagaimana pembaca asal memahami tulisan tersebut), tatabahasa (ayat dan perenggan di mana satu perkataan atau frasa digunakan) dan sintesis (perbandingan ayat/petikan tersebut dengan ayat/petikan lain yang terkandung di dalam Alkitab). Konteks di dalam exegesis (tafsiran kritis) Alkitab adalah salah satu asas yang paling penting.
Setelah mengambil kira harfiah, latarbelakang sejarah, tatabahasa dan sintesis di dalam ayat/petikan tersebut, pembaca harus menumpukan perhatian kepada rangka dan aturan kitab tersebut, diikuti dengan bab dan perenggan. Kesemuanya merujuk kepada “konteks”. Contohnya, ia seperti merujuk kepada Google Maps dan zoom masuk pada sebuah rumah. Kalau tidak mengambil kira persekitaran rumah tersebut dengan gambaran besar, kita tidak akan tahu di mana rumah tersebut terletak, adakah ia di lembah atau di gunung, dan sebagainya.
Mengambil frasa dan ayat Alkitab di luar konteksnya selalu berakhir dengan pentafsiran dan maksud yang salah. Contohnya, 1 Yohanes 4:7-16 menyatakan bahawa “…Allah itu kasih…”. Kalau frasa tersebut ditafsir dari luar konteksnya, seseorang mungkin mengertinya sebagai Allah yang sayang pada semua orang dan persekitaran dengan cinta berahi yang romantik. Tetapi konteks sebenarnya secara harfiah dan dari segi tatabahasa, “kasih” ini merujuk kepada kasih agape. Kasih agape adalah intipati di mana pengorbanan dibuat untuk keuntungan pihak yang lain dan bukannya kasih romantik yang mengharukan.
Dari segi latarbelakang sejarah, Yohanes menulis surat ini kepada orang Kristian di abad pertama supaya mereka pandai membezakan identiti antara pengikut Yesus yang sebenar berbanding dengan guru-guru palsu, dan bukan membabitkan kasih sayang Allah sahaja. Kasih sebenar, iaitu kasih yang mengorbankan dan menguntungkan pihak lain, adalah tanda seorang pengikut Yesus yang sebenar. Barangsiapa yang tidak mengasihi seperti itu tidak mengenal Allah, dan Allah mengasihi kita sewaktu kita masih orang yang berdosa. Kesemuanya adalah sebab-sebab kita perlu saling mengasihi sebagai bukti bahawa kita milik-Nya.
Selain daripada itu, apabila mengambil kira frasa “Allah itu kasih” secara sintesis (di dalam konteks seluruh Alkitab), ia akan mengelakkan pembaca daripada melakukan kesalahan yang kerapkali berlaku, iaitu Allah itu hanya kasih atau kasih-Nya melebihi sifat-sifat Allah yang lain, di mana pandangan tersebut memang salah.
Daripada banyak petikan Alkitab yang lain, kita juga kenal Allah sebagai seorang yang suci, setia, boleh dipercayai, mulia, berbelas kasihan, baik hati, maha kuasa, maha wujud, maha mengetahui, dan lain-lain. Kita juga tahu bahawa Allah bukan sahaja mengasihi, tetapi Dia juga membenci.
Alkitab adalah Firman Tuhan dan diilhami oleh Allah. Kita diperintah supaya membaca, mendalami dan memahaminya dengan kaedah renungan Alkitab yang mantap bersama-sama pimpinan Roh Kudus (1 Korintus 2:14). Sewaktu mendalami Alkitab, sesiapa yang rajin mengikut konteks yang betul akan memperoleh manfaat yang sewajarnya.
Tidak susah untuk menunjukkan petikan-petikan di dalam Alkitab yang pada kali pembacaan pertama nampak seperti terdapat ‘percanggahan’ dengan petikan lain Alkitab, tetapi apabila seseorang mengambil kira konteks dan merujuk kepada Alkitab secara keseluruhan, ‘percanggahan’ tersebut akan hilang dan kebenaran akan menyinari kehidupan dan minda kamu. Untuk mengabaikan konteks semasa membaca Alkitab sangat bahaya dan meletakkan seseorang yang ingin mencari kebenaran di dalam satu kedudukan yang merugikan.
Untuk bacaan lanjut bagaimana pihak lain mengambil ayat Alkitab di luar konteks, sila rujuk kepada link-link di bawah :-