Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa. Sebaliknya, bersyukurlah kerana kamu turut menanggung penderitaan bersama-sama Kristus. Dengan demikian kamu akan bersukacita, apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kelak.
– 1 Petrus 4:12-13

Ketika membaca permulaan ayat 12, kita akan mendapati bahawa kata ganti nama yang digunakan oleh Petrus untuk penerima surat ini adalah ‘sahabat yang aku kasihi’. Ini membawa makna besar dalam konsep keluarga Allah dalam sejarah panjang Kristian. Ini adalah cara Bapa menyebut Anak-Nya seperti yang diungkapkan dalam Matius 3:17, “Anak-Ku yang Aku kasihi”. Ia merupakan gelaran yang menggenapi firman Allah melalui nabi Yesaya mengenai Yesus yang terdapat di dalam Yesaya 42:1. Kemudian gelaran kekeluargaan ini dialihkan kepada semua pengikut Yesus sesuai seperti yang dituliskan oleh Petrus dalam suratnya (1 Pet 2:11; 4:12;2 Pet 1:17;3:1,8,15,17). Makanya, bagi kita yang sedang membaca firman Tuhan ini, kita tahu bahawa kita adalah termasuk dalam keluarga Allah yang sangat dikasihi-Nya. Kita menjadi keluarga Allah kerana kita menjadi pengikut Yesus, malah lebih daripada itu kita menjadikan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi kita. Demikian eratnya hubungan kekeluargaan kita dalam Kristus, maka kita juga memiliki latarbelakang kerohanian yang tercermin dari tindakan kasih Yesus iaitu kita memiliki cabaran dan penderitaan dalam mempertahankan iman percaya kita kepada-Nya.

Namun, Petrus dalam petikan surat ini mengingatkan dan meneguhkan kita bahawa kita menanggung penderitaan ini bukan untuk membunuh atau menyusahkan hidup kita tanpa sebarang makna, sebaliknya penderitaan yang kita alami bertujuan untuk menguji iman kita; memurnikan iman kita dan meneguhkan iman kita (1 Petrus 4:14). Oleh itu, Petrus mengingatkan kepada pembaca suratnya supaya tidak hairan dengan ujian iman ini kerana ia adalah identiti orang Kristian. Identiti orang Kristian adalah hidup sentiasa dalam pemurnian iman sehingga kita kembali kepada Bapa. Malahan, Petrus mengingatkan jemaah untuk memiliki sikap bersyukur kerana turut bersama Kristus menanggung penderitaan ini. Secara ringkas konteks daripada ayat-ayat ini adalah merujuk kepada dorongan Petrus kepada jemaah Kristian awal untuk tetap hidup sebagai orang Kristian (1 Pet 4:7-11) dan satu daripada ciri orang Kristian pada gereja awal iaitu zaman selepas kenaikan Yesus ke Surga adalah mereka menderita mempertahankan iman sebagai Kristian (pengikut Kristus). Maka wajarlah Petrus menuliskan surat ini memberikan dorongan kepada mereka.

Namun, tidak dapat disangkal bahawa penderitaan dan perjuangan mempertahankan iman Kristian tidak berhenti di peringkat awal gereja sahaja kerana ia masih berlarutan sehingga kini. Kita sebagai orang Kristian masa kini masih perlu berhadapan dengan banyak cabaran yang membawa kepada penderitaan demi mempertahankan iman Kristian kita. Kita mengalami penderitaan yang turut dialami oleh Kristus saat Dia berada di dunia ini. Dan penderitaan yang bersama-sama kita alami adalah bertujuan sama seperti apa yang Kristus alami. Pertama, penderitaan ini menjadikan kita mengalami makna penderitaan Kristus iaitu berjuang mempertahankan kesaksian hidup daripada terjerat dalam perangkap iblis, dan kedua bertujuan untuk memuliakan Tuhan.

Kita mengalami penderitaan yang kelihatan dengan mata kasar seperti dihina dan ditindas oleh kerana iman Kristian kita, maka itu membawa kita kepada tahap ujian mempertahankan integriti rohani kita daripada dicemarkan oleh tawaran dunia untuk lepas dari penghinaan dan penindasan. Kita memuliakan Tuhan melalui penderitaan yang kita alami apabila kita tetap bersinar dan tetap menjadi pengaruh positif kepada orang lain yang melihat keteguhan iman kita. Dalam situasi ini, mereka akan melihat Tuhan yang kita sembah hidup dalam kita. Itulah makanya Petrus dalam ayat 14 berkata bahawa jika kita dihina kerana kita Kristian, maka kita sangat bersyukur kerana kita memiliki Roh Allah dalam hidup kita. Semua kita tahu bahawa orang yang memiliki Roh Allah adalah adalah tanda bahawa mereka sebagai orang yang telah memiliki Kristus dalam hidup mereka. Dengan adanya Kristus dalam hidup, maka kita akan memiliki keselamatan kekal dalam-Nya.

Sejauh manakah kita sudah berjuang dalam mempertahankan iman kita selama ini? Adakah perjuangan iman kita lebih menguntungkan diri kita sendiri atau memuliakan Tuhan? Selalu ada sahaja alasan untuk kita mengabaikan integriti iman apabila kita berada dalam situasi genting terutama dalam pekerjaan, pendidikan dan pergaulan sesama. Mungkin saja kita ditawarkan peluang kenaikan pangkat jika kita setuju untuk menipu dalam laporan kerja, mendapat jawapan setiap tugasan akademik dengan tawaran bantuan plagiat bahan kajian, atau hidup bebas tanpa batasan moral demi mendapatkan perhatian orang sekitar kita. Cabaran integiriti juga teruji saat kita berhadapan dengan situasi Kovid-19 ketika ini; ditawarkan peluang promosi diri secara tidak bermoral di media sosial demi mendapatkan tajaan wang, atau menipu dalam jual beli online demi sesuap nasi atau juga melanggar peraturan PKP hanya demi kelangsungan hidup sepanjang masa kritikal ini. Semua ini menuntut kita untuk menang dari penderitaan dan ujian iman kita.

Semoga kita tetap menjadi rakan seperjuangan Kristus dalam mempertahankan kubu iman kita. Jika Kristus telah menang dari penderitaan untuk memuliakan Bapa, maka kita yang memiliki Roh Kudus juga perlu berusaha menang dalam setiap peperangan ini. Maka, jangan bersendirian dalam peperangan ini melainkan tetaplah bersatu dengan keluarga Allah yang telah dipersatukan melalui darah Kristus yang mahal. Haleluyah!

Kristus yang menang,
bangkit dari maut mengalahkan dosa.
Kristus yang menang,
naik ke Surga memerintah bersama Bapa.
Kristus yang menguatkan,
ku berjuang bukan untuk kesombongan.
Kristus yang dimuliakan,
Hanya Engkau yang diagungkan.
Amin.

– HT Ram Jonathan®