Abraham mengambil kayu untuk korban bakaran dan menaruhkan pada bahu Ishak, anaknya. Dia sendiri membawa api dan sebilah pisau. Lalu, berjalanlah kedua-duanya bersama-sama.
– Kejadian 22:6

Kisah lengkap dalam Kejadian 22:1-19 merupakan peristiwa yang membawa kepada pengertian kita mengapa Abraham disebut sebagai bapa segala orang percaya kepada Allah. Ini kerana dalam kisah yang dicatatkan dalam Kejadan 22 adalah mengenai Abraham dengan rela membawa Ishak untuk dipersembahkan kepada Allah kerana Allah memerintahkannya untuk berbuat demikian. Abraham bahkan membawa Ishak untuk menyediakan tapak persembahan seperti mengumpul kayu dan mengikatkan Ishak di mazbah persembahan yang mereka sediakan. Ishak dengan rela memberikan dirinya untuk dijadikan korban persembahan kepada Allah. Namun, sebenarnya Allah bukan meminta Abraham untuk membunuh Ishak kerana Allah hanya mahu menguji kesetiaan Abraham dan Ishak di hadapan-Nya. Demikianlah Abraham diberkati oleh Allah dengan keturunan yang ramai dan Ishak juga telah menjadi leluhur tokoh Israel yang seterusnya menjadi nenek moyang kepada Yusuf, ayah kepada Yesus Kristus. Dalam ayat 6 khususnya, kita boleh melihat bahawa terdapat persamaan hubungan antara apa yang terjadi kepada Ishak dan Yesus. Ishak dipersembahkan oleh bapanya untuk menuruti perintah Allah; bahkan Yesus Kristus mempersembahkan diri-Nya untuk menggenapi janji Bapa dalam penyelamatan dunia dan manusia (Yohanes 3:16). Kedua-dua peribadi iaitu Ishak dan Yesus Kristus memikul sendiri kayu yang akan menjadi bahan kematian mereka, tetapi dalam kisah Ishak, Allah hanya menguji kesetiaan Abraham sementara dalam kisah Yesus Kristus, kayu salib yang dipikul-Nya itulah tempat tubuh-Nya disalibkan lalu mati.

Menjadi Kristian memerlukan kita supaya memiliki ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuhan yang kita sembah iaitu Yesus Kristus. Jika kita melihat semula kisah dalam Kejadian 22:6, kita akan dapati bahawa karakter yang ditunjukkan oleh Ishak merupakan karakter seorang yang percaya kepada tindakan bapanya, Abraham. Ishak memiliki kepercayaan penuh bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh ayahnya, ia adalah benar dan dia tidak akan membantah atau menolak, meskipun itu melibatkan nyawanya. Ishak taat kepada ayahnya dan tidak berdolak dalih ketika diikat di atas batu persembahan. Orang Kristian harus memahami makna ketaatan kita kepada Allah bukan berdasarkan akal logik manuawi kita tetapi kerana iman kita terhadap tindakan Allah dalam hidup kita. Jika kita terlalu sibuk memikirkan apakah kebaikan ketaatan tersebut di dalam kehidupan seharian kita di dunia ini, mungkin kita tidak akan pernah berpuas hati dengan hasil jawapan kita sendiri. Contohnya, kita mungkin berkata bahawa jika kita setia maka kita akan diberkati oleh Allah; tetapi orang lain yang tidak setia juga lebih hidup senang dan kaya raya berbanding kita yang setia, lalu kita mempersoalkan semula kesia-siaan ketaatan kita kepada Allah. Itulah sebabnya, ketika kita beriman kepada Yesus Kristus, kita tidak harus memikirkan berkat sementara yang kita bakal nikmati di dunia ini. Fikirlah kedudukan istimewa kita di hadapan Allah apabila kita kembali kepada-Nya, kita akan menikmati kebahagiaan kekal dan kehidupan kekal di dalam kerajaan kekal, iaitu Syurga.

Selain daripada kesetiaan kepada Tuhan, kita juga boleh belajar daripada Ishak dalam tindakannya selama menuruti perintah ayahnya. Ishak sendiri memikul kayu di perapian yang bertujuan sebagai tempat perapian untuk membunuhnya. Ishak sendiri ‘memikul kayu’ dan akhirnya dia sendiri yang diikat di timbunan kayu tersebut. Demikian juga Yesus Kristus sebelum disalibkan, Dia sendiri memikul kayu salib yang akan menjadi tempat untuk diri-Nya disalibkan. Memang benar bahawa Markus 15:21 mencatatkan Simon orang Kirene dipaksa membantu Yesus Kristus memikul salib tetapi di sepanjang jalan dari istana Praetorium menuju ke Golgota, Yesus Kristus sendiri yang lebih lama memikul salib-Nya. Ini bermakna bahawa Yesus Kristus rela memikul salib-Nya sendiri sehingga dipakukan di salib tersebut lalu mati diatas salib tersebut. Ishak sendiri memikul kayu yang akan menjadi bahan pembakaran bagi dirinya sendiri, meskipun akhirnya tidak terjadi tetapi kita tahu bahawa dia sendiri memikul kayu-kayan tersebut. Kita tahu salib sangat bermakna dalam kehidupan orang Kristian. Bukan sahaja kerana Yesus Kristus disalibkan, mencurahkan darah-Nya lalu mati di atas kayu salib, tetapi makna tersirat daripada salib adalah sangat integral dalam kehidupan orang Kristian. Salib boleh sahaja kita fahami sebagai usaha kita menyangkal kedagingan dan menyangkal kuasa si iblis daripada menguasai hidup kita. Selama Yesus Kristus terpaku di kayu salib, Dia boleh sahaja melepaskan diri dan membunuh semua penjahat yang menyalibkan-Nya, tetapi Dia tidak melakukannya kerana Dia sudah berjanji untuk menuruti kehendak Bapa yang telah mengutus-Nya. Demikian juga kita sebagai orang Kristian, saat kita berhadapan dengan ujian melakukan dosa, ingatlah bahawa kita sedang mempertahankan kesucian hidup kita. Setiap kita yang taat dan setia menentang kuasa kedagingan dan dosa, kita telah berjaya melangkah setapak maju ke hadapan dengan salib yang kita pikul.

Salib yang kita pikul tidak akan membebankan kita kerana ketika Yesus Kristus memikul salib-Nya, segala beban dan dosa kita telah ditanggung oleh-Nya. Darah-Nya telah menebus kita daripada segala beban berat yang kita alami dulu, sekarang dan akan datang. Kerana itulah, salib yang kita pikul tidak berat, kerana Yesus Kristus telah lebih dahulu menghapuskan semua beban berat itu. Tanggungjawab kita dalam hidup kita adalah tetap setia menjaga kesucian hidup, teguh dalam menentang kedagingan yang membawa kepada dosa dan percayalah bahawa Yesus Kristus akan bersama-sama kita selamanya dalam setiap langkah kaki kita. Sehingga kelak apabila waktunya tiba, kita berada di hadapan Yesus Kristus yang akan datang sebagai Hakim yang adil, kita akan dipuji kerana taat dan setia. Semoga kita bersama-sama menyongsong naik ke Syurga bersama Bapa yang termulia. Haleluyah!

SALAM JUMAAT AGUNG!

– Jonathan Nafesy El Ram®