“Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan.”
– Matius 5:14

Edisi renungan minggu lepas adalah mengenai perumpamaan Yesus untuk orang Kristian yang harus menjadi agen transofrmasi kepada masyarakat dalam kehidupan rohani, emosi dan mental. Garam yang diambil sebagai perumpamaan adalah sangat sinonim dengan pendengar khutbah tersebut tetapi juga masih relevan sehingga zaman ini. Menyambung ajaran Yesus kepada para pengikut-Nya mengenai peranan orang Kristian di tengah masyarakat, Yesus mengambil ‘cahaya’ sebagai pendekatan pengajaran-Nya.

Jika garam dapat mempengaruhi kesihatan manusia yang menggunakannya kerana memberikan rasa terhadap makanan yang diadunkan bersama, maka terang di dalam peranan manusia pula memberikan fungsi sebagai penuntun manusia kepada arah perjalanan ataupun menyingkapkan sesuatu keadaan gelap menjadi terang. Dalam suasana yang gelap gulita, kehadiran cahaya adalah sangat penting kerana dengan adanya cahaya maka seseorang yang berada dalam ruang gelap dapat melihat suasana sekitarnya, memperhatikan bahaya, melihat arah yang selamat bahkan cahaya sesungguhnya dapat mengalahkan suasana kegelapan. Dengan sedikit cahaya, kegelapan dapat dikalahkan fungsinya iaitu ketakutan, kesesatan, kebimbangan, keragu-raguan dan kematian. Demikian hebatnya kuasa yang dapat dihasilkan oleh kegelapan untuk dunia ini. Bayangkan tidak ada kuasa yang dapat menghadirkan cahaya di dunia ini; tidak ada matahari, tidak ada bulan, tidak ada bintang, tidak ada lampu bercahaya, tidak ada letrik menjana kuasa. Kegelapan akan menyelubungi manusia setiap masa. Kuasa-kuasa kegelapan yang disebutkan sebelum ini akan menjadi penguasa kepada seluruh hidupan yang ada di dunia ini.

Kerana demikian hebatnya kuasa cahaya itu sendiri, Yesus mengambilnya sebagai perumpamaan untuk para murid-Nya fahami. Yesus melanjutkan dalam ayat 15 dengan berkata bahawa, “tidak seorang pun memasang pelitu lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah.” Yesus mengajarkan kepada mereka bahawa fungsi cahaya adalah menerangi kegelapan tetapi tanggungjawab daripada terang itu sendiri adalah kepada manusia yang memerlukannya. Maka, sangat mustahil kita tahu fungsi cahaya tetapi mengabaikan tanggunjawab terang itu sendiri kepada penerimanya iaitu manusia. Maka Yesus mahu orang Kristian bertanggungjawab terhadap fungsi hidup mereka sebagai orang Kristian; orang Kristian harus menyuarakan kebenaran dan keadilan yang sesungguhnya menurut firman Tuhan kepada masyarakat sekitarnya! Kita sebagai orang Kristian harus berani tampil di baris hadapan masyarakat dalam menyatakan kebenaran dan keadilan di tengah-tengah kita. Kita tidak harus menjadi pendengar kebenaran sahaja, tidak harus mempraktikkan kebenaran untuk keuntungan peribadi sahaja tetapi harus kita saksikan kebenaran itu kepada masyarakat yang ada di sekeliling kita.

Harus diakui bahawa akan ada banyak tentangan dan halangan yang kita akan hadapi dalam menyatakan kebenaran dan keadilan, tetapi itu tidak bermakna bahawa kita harus tunduk kepada tentangan dan halangan tersebut. Kita boleh sahaja di ugut dengan penindasan hak sosial-ekonomi oleh golongan lain kerana menyatakan kebenaran, kita boleh sahaja di ancam kehilangan nyawa akibat kejujuran dalam menegakkan keadilan, malahan kita boleh sahaja terpisah daripada keluarga dalam usaha memperkenalkan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat manusia, tetapi semua itu tidak harus menjadi alasan untuk kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai ‘cahaya’ bagi dunia ini. Ini merupakan perintah Yesus Kristus kepada kita, maka saya percaya bahawa Yesus Kristus sendiri akan memberikan kekuatan dan hikmat kepada setiap kita melalui Roh Kudus dalam usaha kita membawa terang kepada masyarakt sekeliling kita. Di saat ini kita berhadapan dengan cabaran memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19 yang menjadi pandemik seluruh dunia, tetaplah berdiri teguh menjadi terang meskipun kita hanya berada di rumah sahaja. Gunakanlah media massa yang anda aktifkan sebagai platform memberkati orang lain; berdoa bersama-sama, merenungkan ayat firman Tuhan, berkongsi pengajaran dari firman Tuhan, saling membantu mengurangkan beban keperluan dengan memberikan bantuan kewangan atau bekalan makanan dan banyak usaha lain lagi. Jangan bataskan diri anda untuk berkurung di rumah dan pentingkan diri sendiri sahaja. Tetaplah menghasilkan terang di tengah cabaran dunia masa kini!

Akhirnya, tujuan kita melakukan semua ini bukanlah untuk kemegahan peribadi, tetapi sesuai dengan firman-Nya dalam ayat 16, “supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga”. Kita melaksanakan tanggungjawab kita untuk menyatakan kemuliaan Tuhan kepada seluruh dunia ini. Jadilah terang di tengah kegelapan dunia!

Yesus Kristus,
Dunia menawarkan kegelapan sehingga terang-Mu memiliki cabaran untuk bersinar.
Tetapi teguhkan dan kuatkanlah kami agar kami dapat menjadi cahaya yang akan membawa terang kepada dunia ini.
Amin.