Inilah yang dikatakan oleh TUHAN tentang Daud, ‘Aku mendapati Daud anak Isai seorang yang menyenangkan hati-Ku. Dia orang yang akan melakukan segala kehendak-Ku.’ Pada masa hidupnya, Daud melakukan kehendak TUHAN, lalu Daud meninggal, dikuburkan dengan nenek moyangnya dan jenazahnya reput.
– Kisah Rasul-Rasul 13: 22,36

Firman Tuhan yang dipetik dalam renungan ini berkisarkan kepada kisah Daud yang merupakan raja pilihan TUHAN kerana TUHAN menilai Daud sebagai seorang yang menyenangkan hati-Nya. Daud dipilih sendiri oleh TUHAN (1 Samuel 13:14) untuk menggantikan Saul yang merupakan raja pertama pilihan bangsa Israel hasil kekerasan hati mereka untuk meminta seorang raja seperti bangsa lain yang ada di sekeliling mereka (1 Samuel 8). Terlalu banyak kejahatan yang dilakukan oleh Saul sehingga TUHAN tidak lagi berkenaan kepadanya untuk menjadi raja bagi bangsa kesayangan-Nya. Lalu, ketika Nabi Samuel diminta oleh bangsa Israel untuk menggantikan raja yang baharu, TUHAN memimpin Nabi Samuel untuk bertemu dengan keluarga Isai, anak-anak Isai termasuk Daud yang dikerahkan oleh abang-abangnya untuk menjaga binatang ternak di ladang mereka. Ketika Daud dipilih oleh Nabi Samuel, dicatatkan bahawa Roh TUHAN menguasai Daud dan menyertai Daud sejak hari itu sehingga ke hujung hidupnya (1 Samuel 16:13) dan dalam masa yang sama, Roh TUHAN meninggalkan Saul selain diganggu oleh roh jahat yang diperintahkan oleh TUHAN (1 Samuel 16:14). Demikianlah kisah Daud dipilih oleh TUHAN untuk menjadi raja teragung dalam sejarah bangsa Israel.

Raja Daud bukanlah manusia sempurna dalam kerana dia juga seringkali lalai dalam kerohaniannya selama dia hidup sebagai raja bagi bangsa Israel. Tetapi, setiap kali Daud lalai dan terjerumus di dalam lembah dosa, dia sentiasa diingatkan oleh TUHAN untuk kembali kepada-Nya dengan melangkah dalam tujuan-Nya sebagai raja yang dipilih dan diurapi. Setiap kali Daud lalai dalam mentadbir bangsa Israel akibat sikapnya yang memikirkan hal logik berbanding theocentric (berpusat kepada TUHAN) dalam keputusan-keputusannya, TUHAN menegurnya melalui banyak saluran sama ada melalui manusia, kejadian atau peristiwa disekelilingnya. TUHAN sentiasa menuntut Daud untuk melangkah dalam tujuan-Nya selama dia hidup sebagai raja tetapi juga hidup sebagai hamba yang takut kepada tuannya sendiri. Daud sentiasa memiliki hari baharu bersama TUHAN selama hidupnya. Bahkan mazmur-mazmur tulisan Daud antaranya mengagungkan penyertaan TUHAN dalam hidupnya. Mazmur 1, 25, 150 antara mazmur tulisan Daud yang paling terkenal betapa Daud sangat bersyukur kerana TUHAN sentiasa membimbingnya dalam segala keadaan dan lokasi. Daud tidak pernah rasa bersendirian selama hidupnya kerana dia meyakini bahawa hidupnya sentiasa didalam jagaan TUHAN dan dia tidak kekurangan satu apapun dalam hidupnya.

Seluruh dunia mengalami musibah yang menggugat kekuatan emosi, mental dan fizikal sepanjang tahun 2020. Terlepas dari masalah politik yang dicemari dengan kemunafikan para pemimpin politik yang berlumba mengejar nama dan takhta masing-masing, terhindar daripada segala ancaman sosial yang terhasil akibat perjuangan sesetangah bangsa yang prejudis antara satu sama lain, kita didatangi oleh pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia sehingga melumpuhkan hampir seluruh dunia termasuk anda dan saya. Tanpa mengira status sosial manusia, virus dari pandemik ini menyerang tanpa belas kasihan. Kita bersyukur kerana kita masih memiliki hidup yang dapat kita syukuri kerana TUHAN yang telah melindungi kita melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita patuhi bersama. Kita juga mengingati korban akibat musibah-musibah yang menimpa mereka sambil kita mendoakan keluarga yang ditinggalkan agar tetap kuat dan tabah menghadapi kehilangan yang dialami. Tetapi, kita masih perlu menanti beberapa jam lagi sama ada kita akan menikmati tahun 2021 atau adakah kita akan mengakhiri perjuangan hidup kita didunia ini.

Jika diizinkan oleh TUHAN untuk menikmati satu tahun ke depan, iaitu tahun 2021, apakah kita sudah bersedia untuk melangkah dengan visi yang TUHAN sudah tetapkan didalam hidup kita? Kita pasti memiliki jalur langkah yang berbeza kerana kita berbeza kepercayaan atau berbeza falsafah hidup, tetapi hanya ada satu TUHAN yang menentukan kejayaan langkah kita, Yesus Kristus namanya. Meski langkah pertama kita pada tahun 2021 adalah berbeza tetapi persoalan terbesar adalah langkah yang kita ambil itu adakah sesuai dalam tujuan TUHAN? Daud dipilih oleh TUHAN sesuai dengan rancangan-Nya malah Roh-Nya ada di dalam diri Daud. Mahukah anda melangkah di tahun 2021 dengan langkah yang berada di luar tujuan TUHAN? Daud dalam sejarah perjalanan hidupnya mengalami turun naik, tetapi satu perkara yang Daud tidak pernah lakukan sepanjang melalui hidupnya adalah dia tetap setia melaksanakan tujuan TUHAN dalam hidupnya! Jika kita memulakan langkah pertama kita di tahun 2021 dengan memilih Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat peribadi kita, percayalah bahawa pilihan kita tidak akan sia-sia. TUHAN akan menyertai setiap langkah kita di sepanjang 2021. Meskipun kita akan (pasti) terjerumus di dalam pilihan untuk tetap berjalan sesuai kehendak TUHAN atau terserong (berdosa), selama kita kembali semula ke landasan yang TUHAN telah sediakan kepada kita, maka kita akan selamat di dalam jagaan-Nya!

Jangan pernah menyerah pada kekalutan hidup yang anda sedang alami sehingga mengambil keputusan untuk meninggalkan Yesus Kristus, sebaliknya semakin kuatlah berpegang erat kepada-Nya selama itu. Jangan pernah terlumpuh apabila jatuh di dalam lembah dosa, sebaliknya bangkitlah semula kerana tangan TUHAN yang kuat dan penuh kasih sentiasa terhulur kepada anda dan saya. Pandemik Covid-19 ini tidak akan berlalu secepatnya, malahan tahun 2021 akan semakin dicabar oleh pandemik ini. Kita pasti akan terkesan secara negatif dalam ekonomi, sosial dan mental akibat pandemik ini, tetapi melangkahlah di tahun 2021 dengan langkah pencegahan yang disarankan oleh kerajaan kerana TUHAN sendiri berkenaan kepada langkah-langkah pencegahan tersebut. Hadapilah penghujung tahun 2020 ini dengan penuh iman bahawa tahun 2021 yang kunjung tiba telah disediakan sungguh amat baik oleh TUHAN. Haleluyah!

Jika engkau berjalan di waktu malam,
kenanglah kelam hidupmu telah disinari bintang dan bulan.
Semuanya itu telah disediakan oleh TUHAN untuk kita melangkah dalam pimpinan-Nya.
Salam tahun baharu 2021.

– HT Ram Jonathan®