Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak.”
– Yohanes 5:19

Dalam keseluruhan perikop yang mengandungi ayat 19 ini iaitu Yohanes 5:19-24, Yesus menyatakan bahawa Dia melakukan segala sesuatu kerana Bapa memberikan kuasa kepada-Nya untuk melakukan segalanya, bahkan Yesus juga menyatakan bahawa segala sesuatu yang Dia lakukan adalah hasil daripada teladan tindakan yang telah Bapa lakukan sebelumnya dan Dia mengikuti tindakan itu. Tetapi, harus diingat bahawa Yesus dan Bapa adalah dua peribadi tidak terpisah kerana sebaliknya Yesus sedang menyatakan bahawa keduanya adalah sebuah kesatuan ilahi. Dalam ayat 19, Yesus menyatakan bahawa tidak ada satu perkara pun yang dapat Dia lakukan kerana kehendak-Nya sendiri. Ini tidak menunjukkan bahawa Dia memiliki batas kekuasaan, sebaliknya ia menunjukkan kepada kita bahawa Yesus sepenuhnya Tuhan tetapi juga sepenuhnya manusia. Yesus sepenuhnya Tuhan bermakna bahawa apa sahaja yang Dia lakukan adalah berdasarkan kewibawaan-Nya sebagai Tuhan. Kita tahu Yesus mengadakan banyak mukjizat dan kesembuhan yang luar biasa. Semua tindakan yang Dia lakukan tidak pernah dilakukan oleh manusia yang pernah wujud di bumi selama ini. Itu membuktikan bahawa Dia adalah Tuhan. Dalam masa yang sama, sebagai Tuhan yang datang ke dunia untuk menyelamatkan manusia (Yohanes 3:16), Yesus mahu manusia tahu Dia benar-benar mengasihi mereka dan mahu membuktikan diri-Nya akan berkorban menebus mereka daripada maut sehingga akhirnya Dia menunjukkan bukti melalui peribadi-Nya dalam diri manusia yang dikenali sebagai Yesus (Yohanes 1:1-5, 14). Maka dalam bentuk rupa manusia, Yesus mahu menyatakan pemahaman kepatuhan perintah dalam sebuah keluarga dengan mengambil peranan anak harus patuh kepada bapa dan teladan dalam kekeluargaan itu sangat penting. Contoh kekeluargaan yang Yesus gunakan ini sangat relevan pada masa itu kerana ibubapa dan anak merupakan satu-satunya entiti sosial yang dapat dilihat sebagai kesatuan yang saling meneguhkan. Berbanding dengan konteks sosial beraja, dimana pada waktu itu pemerintah memaksa rakyat dan menyeksa rakyat agar mengikut perintah mereka. Maka, Yesus tidak menggunakan contoh institusi beraja pada masa itu kerana ianya adalah sesuatu yang tidak mencerminkan teladan yang baik.

Kata “percayalah” atau dalam terjemahan Alkitab bahasa Indonesia, “sesungguhnya” diungkapkan oleh Yesus dalam ayat 19, 24, 25 membawa makna “Amin” iaitu terjemahan makna menunjukkan sesebuah pernyataan itu sungguh-sungguh benar, maka kita ketahui bahawa Yesus mahu menyatakan kepada pendengar-Nya bahawa apa yang Dia nyatakan itu adalah sungguh benar. Ini bermakna bahawa Yesus mengikuti perintah Bapa dalam segala tindakan-Nya. Lalu, apakah maknanya pernyataan ini kepada kita? Satu daripada makna pernyataan “percayalah” ini untuk kita adalah bahawa tidak ada dusta kebohongan di dalam tindakan Yesus selama hidup-Nya di dunia ini. Ia juga bermakna bahawa Yesus melakukan segalanya bukan untuk kebaikan diri-Nya sendiri tetapi untuk kebaikan manusia. Kenapa kita katakan untuk kebaikan manusia? Kerana Bapa yang mengutus Yesus tahu bahawa tanpa tindakan-tindakan yang Yesus lakukan, manusia akan tetap mati dan menuju ke alam maut yang penuh dengan penyeksaan akibat dosa mereka. Yesus menyakini sesungguhnya tindakan yang Dia lakukan selama di dunia adalah demi keselamatan jiwa dan roh semua manusia. Jika Yesus sendiri mengakui kekuasaan Allah Bapa dalam kehidupan pelayanan-Nya, mengapa kita masih menafikan kekuasaan Yesus sebagai Tuhan yang telah menebus kita dari kuasa maut? Masih ramai manusia yang mempertikaikan kekuasaan mutlak Yesus sebagai satu-satunya Tuhan dan Penyelamat kerana mereka menganggap bahawa Yesus hanya sekadar salah satu daripada ramai nabi yang pernah wujud di dunia ini. Maka mereka berkeputusan untuk tidak menyembah Yesus sebagai Tuhan dan menolak Yesus sebagai satu-satunya penyelamat manusia. Itulah yang menyebabkan wujudnya pelbagai kepercayaan dari masa ke masa. Ramai juga yang mempertikaikan kekuasaan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat kerana mereka menyerang fakta kekuasaan Yesus dengan menyatakan bahawa Yesus adalah Anak dan masih ada Bapa yang berkuasa bahkan tidak sedikit yang menafikan fakta kekuasaan Allah dalam tiga peribadi (Allah Bapa-Anak-Roh) sehingga akhirnya menganggap Yesus bukan Tuhan dan Penyelamat. Penggunaan hubungan Anak dan Bapa dalam perikop ini tidak merujuk kepada hubungan biologi iaitu perlu hasil DNA persenyawaan tetapi hubungan ini merujuk kepada identiti peranan Yesus selama berada di dunia ini dalam pemahaman secara manusia kerana ia adalah untuk didengar dan di terima oleh manusia. Sehingga akhirnya, Yesus menyatakan bahawa Dia melakukan apa yang “dilihat” telah dilakukan oleh Bapa. Ini membuktikan kepada kita bahawa kesatuan ilahi Allah Bapa-Anak-Roh sudah ada dari awal dan bukan hanya selepas kedatangan Yesus ke dunia ini. Dalam Kejadian 1:26, Allah menggunakan kata ganti nama “KITA” dan ini membuktikan kepada kita bahawa benar Yesus melihat apa yang sudah Bapa lakukan dari mula lagi kerana mereka adalah SATU. Kerana manusia tidak pernah melihat Allah, maka apa yang Yesus lakukan selama di dunia ini adalah cerminan daripada tindakan Allah kepada manusia atas dasar kasih yang sempurna kepada mereka. Ia juga menunjukkan bahawa kekudusan Allah Bapa yang tidak layak dilihat oleh manusia berdosa telah dilihat oleh manusia melalui peribadi Yesus yang juga adalah Allah itu sendiri tetapi dalam bentuk fizikal manusia. Sesungguhnya, Allah sangat mengasihi setiap kita sehingga Dia rela merendahkan diri-Nya dalam hidup di tengah-tengah manusia demi melindungi manusia itu sendiri.

Sahabat Sabda Harian sekalian, sejauh manakah kepatuhan kita kepada Allah Bapa dalam hidup kita masa ini? Tanpa perlu menghitung sejauh mana kepatuhan kita kepada Allah bapa dalam hidup kita, sesungguhnya kita sentiasa menyedari bahawa kita masih memerlukan rahmat Allah dalam hidup kita. Tanpa menghitung kesalahan kita, dosa kita dan perlanggaran kita, tetap sahaja kita masih perlu menyedari bahawa disebalik kekurangan kita, rahmat Allah masih memenuhi kehidupan kita setiap hari. Buktinya? Anda dan saya masih membaca renungan ini dengan penuh kesedaran bahawa nafas kita adalah anugerah dari Allah. Anda dan saya masih hidup pada hari ini kerana kurnia kasih-Nya kepada kita. Jika kita masih menyedari akan semua kebaikan Allah dalam hidup kita, marilah kita berusaha juga untuk melakukan kehendak-Nya dalam kehidupan kita. Marilah kita miliki hubungan peribadi yang intim dengan Allah dalam doa dan tindakan kita kerana hanya melalui hubungan peribadi bersama Allah, kita akan tahu apa yang Allah kehendaki dalam hidup kita. Yesus sendiri memiliki masa berdoa, merenungkan firman Tuhan bahkan melakukan kebaikan kepada semua orang selama hidup-Nya. Semuanya itu Dia lakukan kerana Dia tahu ia adalah kehendak Allah Bapa. Marilah kita juga memiliki peribadi yang mahu menyenangkan Bapa. Haleluyah!

“Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup.”
– Yesus, Yohanes 5:24

– HT Ram Jonathan®