LAKUKANLAH SECARA TERSEMBUNYI

435

“Tetapi, apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, lakukanlah hal itu secara diam-diam, supaya sahabat karib kamu sekalipun tidak mengetahuinya…Tetapi apabila kamu berdoa, masuklah ke bilik dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapa kamu yang tidak kelihatan itu. Bapa kamu yang mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi itu, akan memberikan pahala kepada kamu.”
– Matius 6:3, 6

Dalam dua ayat perintah daripada Yesus kepada para murid-Nya yang dicatatkan di atas, kedua-duanya merupakan perintah yang bertujuan untuk membentuk karakter kerohanian orang Kristian sebagai rendah hati. Ini kerana sebelum ayat 3, Yesus telah melarang mereka untuk berlagak sombong atau mahu menunjukkan kekayaan mereka dengan cara memberikan sedekah untuk tujuan dilihat umum. Sementara ayat 6 bermula dengan larangan untuk orang Kristian berlaku munafik dalam hal berdoa iaitu berdoa di hadapan orang ramai agar dilihat rohani dan taat beragama.

Kedua-dua perintah Yesus kepada para murid-Nya jelas menunjukkan kepada kita bahawa kerohanian Kristian bukan di ukur pada pujian atau perhatian daripada orang ramai di sekeliling tetapi sesungguhnya di ukur dari hubungan peribadi kita dengan Tuhan. Jika kita mahu memberikan bantuan atau jika kita mahu melayani orang lain khususnya dalam soal kebajikan, jangan kita ‘ketagihan’ untuk meminta perhatian dan hormat daripada orang sekeliling. Jika kita mahu berdoa kepada Tuhan, jangan kita berlagak seperti kita sahaja yang layak berdoa dengan suara kedengaran di hadapan umum dan mahu orang lain kagum dengan cara kita berdoa. Yesus dengan jelas menyatakan bahawa kerendahan hati sangat penting dalam kehidupan orang Kristian. Hakikat hubungan Tuhan dengan umat-Nya jelas bahawa ia adalah berbentuk peribadi, Yesus menekankan hakikat ini ketika Dia mengajarkan para murid-Nya tentang keadah bersedekah dan berdoa yang betul (ayat 3, 6). Populariti mungkin sahaja membantu gereja atau pelayanan anda dikenali, tetapi populariti tidak sesekali mencerminkan kehidupan rohani anda berada di tahap kualiti yang baik atau sebaliknya.

Teknologi moden masa kini mencabar kerendahan hati kita untuk tidak terpengaruh atau tidak taksub dalam sikap penonjolan diri. Ramai yang membuat content video berbentuk rohani lalu dimuatnaik ke dalam sosial media seperti YouTube, Facebook, TikTok bahkan laman sesawang mereka sendiri. Adakah ianya salah? Menilai sama ada ianya tindakan yang salah atau benar adalah terlalu subjektif. Jika anda memuatnaik sebagai usaha mengaut keuntungan dari segi kewangan, anda boleh saja salah kerana pelayanan bukanlah medium untuk mencari keuntungan peribadi. Jika anda memuatnaik untuk memberkati penonton dan pendengar, maka anda benar dalam tindakan anda. Jika anda berkati, ‘sambil menyelam, sambil minum air’, maka anda harus lihat apa kata firman Tuhan yang disampaikan oleh Yesus dalam Matius 6:3, 6. Bukan pemimpin gereja atau para ahli teologi yang mengatakannya, tetapi Yesus sendiri yang mengatakan mengenai hal pelayanan yang membentuk kerendahan hati kita.

Benar bahawa Yesus mengajarkan para murid-Nya untuk menjadi garam dan cahaya dunia (Matius 5:13-16), tetapi yang dimaksudnya menjadi garam dan cahaya dunia adalah mengenai karakter hidup kita, bukannya fokus pada aktiviti kerohanian yang kita. Karakter kerohanian kita tidak memerlukan penonjolan aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk menarik perhatian umum secara sengaja atau secara di rancang, karakter kerohanian kita menjadi garam dan cahaya di mata umum apabila kita sebaliknya memiliki kerendahan hati dalam aktiviti-aktiviti rohani kita seperti bersedekah tanpa diketahui orang lain atau berdoa tanpa perlu didengari oleh orang lain. Karakter kerohanian kita menjadi garam dan cahaya di sekeliling apabila kita memiliki hubungan peribadi yang diakui berkualiti oleh Yesus sendiri. Yesus tidak melarang orang Kristian untuk berdoa secara korporat atau melakukan kebajikan secara umum, tetapi Yesus melarang kita secara peribadi berdoa di hadapan umum atau secara peribadi melakukan kebajikan dan mahu menonjolkan diri sendiri sehingga Yesus menjadi perhatian nombor dua sahaja. Bahkan tidak sedikit orang yang mengaku diri Kristian suka menonjolkan kerja kebajikan mereka di mata umum dengan menggunakan nama gereja tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk menunjukkan bahawa mereka yang melakukan kerja-kerja tersebut. Malangnya, apabila tidak mendapat pujian atau hormat daripada orang lain, mereka melenting dan tidak mahu terlibat dalam pelayanan lagi. Semua itu bermula dengan hilangnya kerendahan hati serta. Bapa di Syurga melihat hati kita. Bukan melihat populariti atau tahap penghormatan orang terhadap kita. Ibadat yang sejati ditandai dengan penerimaan ibadat kita oleh Bapa di Syurga, bukan populariti atau kehormatan di mata umum.

Oleh itu, marilah kita berhati-hati dalam menjaga kerohanian kita. Jangan kita berusaha mahu dikenali oleh orang lain tetapi hubungan peribadi dengan Tuhan terabai. Pastikan motivasi rohani kita tidak tertuju kepada kenikmatan duniawi tetapi biarlah itu tertuju kepada kekekalan syurgawi. Meskipun orang tidak melihat kegiatan rohani kita kerana kita lebih mengutamakan hubungan peribadi dengan Tuhan, tetapi kita tidak akan rugi kerana Tuhan mengenali kita satu demi satu. Semoga hanya nama Tuhan dan kerajaan-Nya sahaja yang kita perkenalkan dalam ibadat kita. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®