Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?”
– Lukas 24:25-26

Kisah daripada kutipan dua ayat Alkitab di atas adalah mengenai perbualan Yesus dengan dua murid-Nya di sebuah jalan menuju ke Emaus. Kedua murid tersebut mengalami kekecewaan kerana mereka sama seperti pengikut Yesus yang lainnya, percaya bahawa Yesus adalah Mesias yang mereka harapkan menjadi ketua revolusi politik di kalangan bangsa Yahudi pada masa itu. Ketika Yesus ditangkap dan disalibkan lalu mati, mereka hilang harapan untuk seorang Mesias sebagai tokoh politik yang mereka harapkan dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman. Perjalanan ke Emaus adalah perjalanan untuk mereka kembali kepada kehidupan asal mereka, kehidupan lama mereka sebelum mereka mengenal Yesus. Perjalanan yang terpaksa mereka tempuhi kerana mereka telah berputus asa dalam mengalami revolusi bersama Yesus yang telah mati. Bahkan, ketika mereka mendengar bahawa Yesus telah bangkit, mereka tetap tidak bersemangat sehingga meskipun ada kesaksian dari para wanita yang melihat kubur Yesus telah kosong, mereka masih meneruskan perjalanan kembali ke kampung halaman mereka (Lukas 24:24).

Lalu dalam ayat 25-26, Yesus dengan keras menegur mereka dan mengatakan mereka bodoh kerana lambat mempercayai semua yang telah mereka ketahui benar mengenai kebangkitan-Nya iaitu melalui pengajaran kitab para nabi Perjanjian Lama. Nubuatan mengenai kedatangan Yesus, Sang Mesias yang akan menjadi Penyelamat merupakan antara ajaran kitab para nabi dan kitab-kitab ini tergolong dalam kitab termasuk Taurat yang mereka baca siang dan malam selama hidup mereka semenjak kanak-kanak lagi. Tetapi, malangnya mereka sekadar membaca dan mempercayai dari idea sedangkan fakta sebenar iaitu Yesus sudah menggenapi nubuatan-nubuatan itu tetap sahaja mereka tidak percayai. Itulah sebabnya Yesus menegur mereka dengan keras bahawa mereka bodoh kerana lambat mempercayai kebenaran fakta nubuatan tersebut.

Berapa ramai diantara berbilion manusia di dunia ini tergolong dalam kumpulan sikap dua murid ini? Mengetahui kebenaran firman Tuhan bahkan mempercayai dalam otak mereka bahawa ilham Roh Kudus yang tertulis di Alkitab adalah benar tetapi mereka tidak memiliki iman untuk menerima Yesus sebagai Tuhan yang telah bangkit dan menyelamatkan mereka dari dosa? Tidak terhitung jumlah manusia yang berpotensi untuk mati dan diseksa di neraka hanya kerana mereka tidak memiliki iman bahawa Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat Tunggal mereka. Tidak terhitung jumlah manusia yang memiliki segala kekayaan dan kemuliaan fana di dunia ini, tetapi tidak memiliki kehidupan kekal bersama Yesus di dalam kemuliaan kekal didalam-Nya! Bahkan tidak terhitung jumlah manusia yang telah kembali ke kehidupan lama mereka hanya kerana tidak mempercayai Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat yang mereka harapkan untuk mengubah kehidupan ekonomi dan status sosial seperti yang mereka harapkan selama menjadi Kristian; mereka murtad dan menyangkal Yesus hanya kerana tidak menikmati keselesaan duniawi seperti penganut agama lain nikmati!

Kebangkitan Yesus adalah bukti segala nubuatan bahawa Yesus menjadi Penebus dosa manusia dan membawa kemuliaan kekal kepada manusia adalah benar dan telah Yesus laksanakan sepenuhnya untuk kita. Itulah sebabnya Yesus kecewa dengan kedua murid ini yang cuba untuk kembali kepada kehidupan lama mereka iaitu kehidupan sebelum mengenal Yesus; kehidupan yang tidak memiliki pengharapan akan kepastian hidup kekal, kehidupan yang terumbang-ambing oleh kekuatiran hidup sepanjang masa. Maka, Yesus tidak mahu berdiam diri sehingga akhirnya inisiatif Yesus adalah tetap tinggal bersama-sama mereka (ayat 29-32) dan kedua murid ini menemukan semula pengharapan dalam Yesus. Mereka akhirnya dipulihkan iman kerana Yesus yang telah memulihkan iman mereka melalui persekutuan indah bersama mereka. Yesus tidak pernah membiarkan manusia di dunia ini hidup dalam ketakutan; ketakutan kepada hidup yang fana dan akan melalui penyeksaan neraka apabila tidak memiliki keselamatan kekal dalam Yesus. Yesus sentiasa merindukan anda untuk menjemput-Nya masuk dalam hidup anda dan bersekutu dengan anda. Selama anda membukakan hati untuk Yesus bersekutu dan bersatu dalam hidup anda, selama itu juga Yesus akan menuntun dan memandu hidup anda kepada kemuliaan yang kekal kerana Yesus adalah Kemuliaan Kekal itu sendiri dan Dia akan memberikannya kepada anda dan saya! Haleluyah!

Yesus Kristus,
Karya terindah yang Engkau berikan adalah keselamatan yang telah Engkau kerjakan;
Kelahiran-Mu memberikan sinar pengharapan kepada semua manusia,
Kematian-Mu membawa kepada penebusan sempurna untuk semua manusia,
Kebangkitan-Mu membuktikan Engkau Allah dan Penyelamat semua manusia.
Yesus Kristus,
Kedatangan-Mu di dalam kehidupan kami telah membawa kemuliaan kekal,
Selamanya kasih setia-Mu kekal untuk kami warga Kerajaan-Mu.
Amin.

– oleh HT Ram Jonathan