Pernyataan ini sungguh benar dan harus diterima serta dipercayai sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah yang paling jahat, tetapi justeru kerana itulah Allah mengasihani aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal.
– 1 Timotius 1:15-16

Dalam perikop pembacaan ini iaitu 1 Timotius 1:12-20, Paulus memulainya dengan menyatakan syukurnya kepada Kristus Yesus, Tuhan kita. Ini jarang berlaku kerana Paulus selalunya berdoa dan mengucap syukur kepada Bapa, bukan kepada Kristus Yesus. Paulus sengaja menujukkan ucapan syukurnya kepada Kristus Yesus dalam perikop ini mungkin kerana dia menyedari Kristus Yesus yang telah dia temui bahkan telah menyelamatkan dia daripada kejatuhan dosa terus menerus. Kristus Yesus yang bertemu dengan Paulus dalam perjalanannya membunuh orang Kristian dan Kristus Yesus juga yang dia mahu beritakan dalam perjalanan-perjalanan misinya. Keseluruhan perikop ini sebenarnya merupakan dorongan rohani Paulus kepada Timotius untuk tetap teguh dalam pengajaran yang benar tentang Kristus Yesus dan dalam masa yang sama arahan Paulus untuk mengajarkan kebenaran kepada jemaah di Efesus akibat cabaran daripada beberapa pengajar sesat yang sudah menular masuk di kalangan jemaah Efesus pada ketika itu 1 Timotius 1:3-4). Paulus meyakinkan Timotius untuk menguatkan imannya dan menentang pengajaran sesat yang diajarkan oleh golongan tersebut dan menyatakan bahawa jika Kristus Yesus dapat mengubah hidupnya daripada seorang pembunuh Kristian kepada pemberita Injil, maka tidak mustahil bagi Yesus untuk melakukanya kepada sesiapa sahaja termasuk pada pengajar sesat yang ada di Efesus pada ketika itu.

Lalu dalam ayat 15-16, Paulus menyatakan satu doktrin mengenai Kristus Yesus iaitu Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Penyataan ini sangat tepat kerana dalam Yohanes 3:16, Kristus Yesus sendiri menyatakan kepada Nikodemus bahawa tujuan kedatangan-Nya ke dunia ini adalah untuk menyelamatkan semua orang. Keselarian ajaran mengenai Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa sangat tepat meskipun Yohanes 3:16 dinyatakan oleh Kristus Yesus kepada Nikodemus dan tidak pernah didengar bahkan belum dicatat dalam mana-mana kitab Injil semasa Paulus masih seorang pembunuh orang Kristan. Lalu, darimanakah Paulus mengetahui ajaran ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah daripada Kristus Yesus sendiri yang datang kepada-Nya setelah dia sembuh dari kebutaan yang dialaminya selepas melihat cahaya ketika dalam perjalanan membunuh orang Kristus (Kisah Rasul-Rasul 9:1-31, 22:1-22, 26:9-24). Itulah antara alasan Paulus memulakan pernyataannya dengan kata-kata ‘sungguh benar,’ ‘harus diterima,’ dan ‘dipercayai sepenuhnya.’ Ini kerana Kristus Yesus sesungguhnya telah datang ke dunia dan menyelamatkan orang berdosa. Lalu, Paulus menambahkan lagi penegasan bahawa yang paling jahat dan paling berdosa adalah dirinya sendiri! Tidak sukar untuk memahami pernyataan ini kerana Paulus merupakan pengganas nombor satu kepada orang Kristian. Setiap kali ada kesempatan untuk membunuh orang Kristian, dia pasti akan berusaha mendapatkan kebenaran daripada pihak agamawan Farisi untuk membunuh orang-orang Kristian. Jadi, tidak menghairankan jika dia mengakui dia adalah penjahat nombor satu dan paling berdosa di antara orang berdosa yang lain. Demikian tegasnya Paulus menyatakan ajaran ini kepada Timotius sehingga akhirnya Paulus juga menyatakan tujuan utamanya menyatakan siapa Kristus Yesus dan apa yang Dia lakukan iaitu “…menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal.

Benih firman Tuhan yang diajarkan oleh Paulus dalam 1 Timotius 1:15-16 merupakan antara benih yang paling subur bertumbuh di kalangan orang Kristian selama beribu tahun ini. Benih firman Tuhan yang menyatakan bahawa Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa telah berjaya menyelamatkan ramai jiwa manusia di seluruh dunia sehingga sekarang ini. Menurut data dari Pew Research Center, populasi Kristian di seluruh dunia sehingga tahun 2020 adalah seramai 2.3 bilion orang! Jumlah ini semakin bertambah hari demi hari kerana kita mempercayai bahawa penyataan Paulus adalah benar dan bukan sekadar benar dari segi fakta tetapi secara rohani, Kristus Yesus datang ke dunia untuk menjadi Tuhan dan Penyelamat manusia. Kristus Yesus datang kepada anda dan saya. Anda dan saya adalah orang paling berdosa di dunia ini. Kita berdosa kerana kita sudah mewarisi sikap melakukan dosa daripada nenek moyang manusia iaitu Adam dan Hawa. Tidak cukup dengan warisan sikap dosa ini, anda dan saya juga pernah menjadi orang paling berdosa kerana tidak menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat sehingga kita sepatutnya dibuang ke dalam neraka. Tetapi, kini kita sedang menikmati rahmat kasih daripada Kristus Yesus dan sudah ditebus oleh darah-Nya yang mahal. Paling utama, kita sudah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat kita. Mereka yang berada di luar Kristus Yesus masih memerlukan benih firman Tuhan ini. Apakah peranan anda dan saya sekarang ini? Adakah anda sudah menerima benih firman Tuhan ini? Benih firman Tuhan yang disampaikan kepada ramai jiwa termasuk kepada anda dan saya. Marilah kita menanam benih firman Tuhan ini baik-baik dalam diri kita terlebih dahulu, kemudian taburkan benih itu kepada mereka yang belum menerimanya. Benih yang baik datang daripada Kristus Yesus, diteruskan oleh para murid-Nya dan sekarang diwarisi oleh kita semua. Jangan simpan benih kebenaran itu untuk diri sendiri tetapi sebarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya, hanya ada satu Tuhan dan satu Penyelamat; Kristus Yesus! Haleluyah!

Kristus Yesus untuk aku,
kerana aku paling berdosa dan semu.
Kristus Yesus untuk kamu,
kerana kamu paling berdosa dan semu.
Kristus Yesus untuk mereka,
kerana mereka juga seperti kita.
Selama bumi masih berputar,
selama nyawa masih mampu beredar,
biarlah Berita Baik ini luas tersebar.

– HT Ram Jonathan®