Baca Yesaya 11:1-6.
Dr. Zakir Naik berkata ‘keTuhanan Yesus Kristus’ merupakan satu kesilapan dari pihak orang Kristian yang menganggap Yesus sebagai Tuhan. Dalam satu responnya kepada seorang Kristian, dia didapati sebagai berkata “the Christians mistook Jesus for God.” Dan dia terus berhujah dan berhujah dengan petik ayat sana sini dari Alkitab dan Quran untuk mempamerkan dirinya sebagai seorang yang berilmu. Begitulah caranya. Dia tidak memberi ruang lagi kepada seseorang yang dari antara penonton untuk banyak bertanya sekiranya dia melihat orang yang bertanya itu adalah seorang yang “berisi”. Tuhan memberkati Dr. Zakir Naik. (Orang Kristian dipanggil untuk memberkati dan bukan mengutuk).
Saya tidak mahu berdebat dengan Dr. Zakir Naik. Saya bukan seorang pendebat. Tetapi saya merasa terpanggil untuk membela berita Injil dengan memberikan sedikit penjelasan kepada kenyataan cakap lepas beliau yang mengatakan orang Kristian “mistook Jesus for God” (orang Kristian silap menganggap Yesus sebagai Tuhan).
Benarkah orang Kristian silap menganggap Yesus sebagai Tuhan? Adakah keimanan Kristian terbangun dari satu kesilapan?
Baiklah, kita perlu tahu bahawa setiap kitab Injil ditulis untuk membuktikan Yesus adalah Tuhan. Yesus adalah Tuhan yang menjadi manusia dan bukannya seorang manusia yang menjadi Tuhan.
Perbuatan-perbuatan mukjizat Yesus seperti menyembuhkan penyakit, mencelikkan orang buta, membangkitkan orang mati, menenangkan ribut taufan dan ombak bergelora sudah dijanjikan (dinubuatkan) dalam Perjanjian Lama. Dan Matius banyak menulis tentang perbuatan-perbuatan mukjizat Yesus Kristus dalam Matius 8-10. Orang Yahudi sejak kecil sehingga berumur 10 tahun perlu diajar oleh ibubapa untuk mengerti lima kitab Musa, Mazmur dan kitab nabi-nabi. Sebab itu apabila muncul seorang yang yang berumur 30 tahun bernama Yesus dan tiba-tiba berkhutbah tentang Kerajaan Allah dan memanggil umat Israel untuk bertaubat sambil melakukan tanda-tanda mukjizat, orang ramai dari kaum Israel segera memberi perhatian. Dan apabila Yesus membuat mukjizat lima roti dan dua ikan untuk memberi makan lima ribu orang laki-laki, mereka berkata “Dialah ini! Dialah messias (penyelamat) yang kita nanti-nanti!” Dan mereka mahu memaksa Yesus menjadi raja atas mereka. Tetapi Yesus mengelak dan pergi berseorangan diri untuk berdoa (Yohanes 6). Yesus pergi mengasingkan diri kerana waktu bagi-Nya untuk menjadi Raja atas segala raja belum sampai ketika itu.
Tetapi perhatikan pula apa yang berlaku apabila Yesus melakukan kuasa mukjizat di kalangan orang bukan Yahudi yang tertulis dalam Lukas 8:26-38. Kita tahu golongan yang dilayani Yesus di sini bukan masyarakat Yahudi sebab mereka menternak babi yang tegas diharamkan Tuhan dalam kitab Imamat bagi kaum Yahudi (Israel).
Apakah yang berlaku setelah Yesus membebaskan orang yang kerasukan itu daripada belenggu banyak roh jahat? Yesus diterima oleh mereka? Tidak, mereka menolak Yesus pergi daripada wilayah mereka. Mengapa mereka menolak-Nya? Mereka menolak Yesus sebab mereka tidak mempunyai dasar pengertian apa-apa untuk mengerti, mengamati dan mengenali Yesus daripada apa yang telah dilakukan oleh-Nya di kalangan mereka sehingga mereka memberikan respon sangat berbeza berbanding respon dari kalangan masyarakat Yahudi. Mengapa? Ini kerana masyarakat Yahudi mempunyai dasar firman Tuhan yang menjanjikan kedatangan seorang Penyelamat (mesias) seperti yang tertulis dalam kitab-kitab Musa, Mazmur dan tulisan para nabi, sedangkan mereka itu tidak mempunyai dasar apa-apa.
Pembacaan pagi ini bercakap tentang Yohanes Pembaptis yang dipenjara mengutus murid-muridnya untuk bertanya sama ada Yesus benar-benar Penyelamat yang mereka nanti-nantikan dan Yesus Kristus menjawab dengan memberikan petikan daripada kitab nabi Yesaya, “orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta disembuhkan,orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin.” (Matius 11:1-6). Yesus memetik dari kitab nabi Yesaya bab 35 dan 61. Dan apabila Yohanes Pembaptis mendengar jawapan Yesus itu, maka dia menjadi tenang dan dia bersedia untuk pergi. Dia mati dipancung Herodes.
Maka adakah orang Kristian silap menganggap Yesus sebagai Tuhan? Tidak. Keyakinan orang Kristian terhadap keTuhanan Yesus Kristus adalah berdasarkan janji-janji Tuhan yang jelas dalam Perjanjian Lama yang bermula dari Kejadian 3:15 dan janji akan datangnya Perjanjian Baru dalam Yeremia 31:31-34. Janji Perjanjian Baru ini digenapi oleh tubuh dan darah Yesus Kristus yang tercurah di kayu salib. Lukas 22:20. Yesus Kristus membuktikan keTuhanan-Nya dengan hidup semula daripada kematian pada hari yang ketiga dan itu dibuktikan oleh kubur-Nya yang kosong.
Kekristianan sudah ada lebih 2,000 tahun. Adakah Dr. Zakir Naik mengatakan selama lebih 2,000 tahun orang Kristian sudah silap? Adakah orang Kristian sedangkal itu? Atau bukankah Dr. Zakir Naik yang salah mengerti Alkitab orang Kristian? Dr. Zakir mungkin terlepas pandang ayat-ayat dalam 2 Petrus 1: 20-21 yang mengatakan kita tidak dapat mengerti firman Tuhan (Alkitab) tanpa pertolongan dan pencerahan oleh Roh Kudus. Dan memang tiada seorang manusia pun yang dapat melihat dan mengerti bahawa Yesus Kristus adalah Tuhan kalau bukan itu dinyatakan oleh Roh Tuhan kepadanya sebab firman Tuhan berkata, “sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang akan binasa.” (2 Korintus 4:3 AVB).
Setiap orang Kristian perlu membaca, menyelidiki dan membangun dirinya dalam firman Tuhan (Alkitab) dan kekuatan dalaman oleh Roh Kudus (melalui doa – Yudas 1:20). Sekiranya tidak maka kita akan mudah terpengaruh dengan orang-orang yang mempunyai penampilan seorang yang berilmu dan terpelajar dalam ilmu agama tetapi sebenarnya orang itu masih buta rohani terhadap cahaya Injil yang benar dan termulia.
Penulisan ini bukan berniat membangkitkan provokasi. Penulisan ini dimaksudkan untuk memberi penjelasan yang sepatutnya dan untuk meneguhkan iman percaya sesama orang Kristian. Saya meminta janganlah bahan ini digunakan untuk menyerang kepercayaan orang lain, tetapi gunakan untuk peneguhan iman peribadi dalam Tuhan Yesus Kristus (firman Allah yang menjadi manusia) dan pada masa yang sama terus berdoa agar lebih ramai orang yang masih buta rohani akan dicelikkan mata rohani mereka oleh Roh Kudus sehingga mereka pun menjadi percaya dan pembela berita Injil.
Tuhan memberkati.
© Pena Rajawali