Allah telah membangkitkan Tuhan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebagagian tubuh Kristus; maka wajarkan kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sama sekali!
– 1 Korintus 6:14-15
Kebebasan moral yang menggalakkan segala keinginan tubuh telah mempengaruhi jemaah Korintus dengan cara yang tidak sihat. Mereka seperti ‘menyelam sambil minum air’ kerana di satu sisi, membebaskan telah diri dari kehidupan Yahudi yang membelenggu mereka sekian lama tetapi dalam masa yang sama mereka menikmati hidup tanpa batas sama ada jahat atau baik. Mereka berfikir bahawa keinginan makanan dan dorongan seksual adalah kebebasan yang mereka miliki hanya kerana mereka tidak lagi menjadi penganut agama Yahudi. Tetapi, sebenarnya mereka harus lebih menjaga diri dan rohani mereka ketika mereka menjadi Kristian. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang selama itu dihalang oleh agama Yahudi lalu mencemarkan rohani mereka sebagai orang Kristian. Untuk itulah, Paulus menyatakan kepada meraka untuk tidak ‘menjadikan sebahagian tubuh mereka seorang pelacur’ yang dapat juga diertikan sebagai kegiatan menjual iman demi kepuasan atau keperluan daging sendiri. Mereka tidak patut hidup diperhambakan oleh dosa lagi meskipun mereka tidak lagi diperhamba oleh hukum Taurat kerana telah menjadi Kristian. Itu juga sebabnya Paulus mengingatkan jemaah Korintus bahawa mereka dahulu sudah mati tetapi dibangkitkan oleh kuasa kematian Yesus. Kematian Yesus telah menghidupkan mereka; bahkan hidup baharu mereka bukan lagi terasing daripada Allah tetapi sudah bersatu dengan Roh Tuhan (1 Korintus 6:17).
Selain Paulus mengingatkan jemaah Korintus agar tidak mencemarkan diri mereka seperti seorang pelacur, Paulus juga mengingatkan mereka agar tidak cabul terhadap tubuh mereka sendiri. Cabul dalam konteks penulisan ini bermakna mendatangkan kecemaran kepada diri mereka sendiri’. Memang harus diakui perumpamaan ‘pelacur’ sudah menunjukkan jemaah Korintus telah mencemarkan diri mereka dengan bermain-main terhadap dosa, tetapi apabila Paulus menambahkan tindakan ‘cabul’, itu membawa makna yang lebih parah kerana selain seperti pelacur, mereka juga membiarkan diri mereka secara sengaja merosakkan diri lebih teruk daripada pelacur. Jika dilihat daripada konteks kisah ini ditulis, pelacuran pada masa itu dianggap sebagai satu punca pendapatan bahkan ada pusat-pusat pelacuran yang dibangunkan untuk tujuan perniagaan. Tetapi, tidak akan ada pusat pencabulan kerana ia adalah tindakan merosakan tubuh sendiri dengan tangan individu itu sendiri. Ini menunjukkan bahawa dosa jemaah Korintus sangat parah kerana Paulus memberikan penekanan pencemaran terhadap tubuh secara berulang-ulang! Hidup kekristianan mereka dibelanggu oleh keinginan daging, meskipun telah membebaskan diri dari peraturan agama Yahudi. Kehidupan seperti ini mendatangkan malapetakan terhadap diri mereka sendiri. Perbuatan seperti ini menjadikan mereka hilang iman dan akhirnya tidak setia kepada ajaran-ajaran Yesus.
Untuk itulah, Paulus dalam ayat 19-20 mengajarkan kepada mereka makna anugerah terbesar dalam hidup mereka. Allah telah membayar mereka dengan harga yang mahal (ayat 20); bahkan harga itu tidak akan pernah dapat ditebus dengan seluruh harta yang ada di dunia ini. Harga mahal yang digunakan oleh Allah adalah darah dan tubuh Yesus yang terkorban disalibkan. Yesus dihina, dipukul dan dibunuh untuk mereka, untuk saya dan untuk anda. Itulah sebabnya Paulus sangat menekankan dalam suratnya ini agar mereka sepenuhnya sedar bahawa diri mereka adalah tempat kediaman Roh Kudus. Malahan tubuh Roh Kudus yang tinggal diam dalam diri mereka juga adalah pemberian daripada Allah. Roh Kudus itulah yang menjadi Penolong ketika mereka berada dalam keadaan penuh cabaran di dunia ini. Tetapi, jika hidup mereka dicemarkan dengan keinginan daging sendiri, maka mereka sebenarnya tidak menjadikan kuasa Roh Kudus sebagai Penolong dalam hidup mereka. Bukankah sikap ini sangat menyedihkan? Kita mengakui diri kita sebagai seorang Kristian tetapi masih bersikap keras kepala untuk tetap hidup menurut kedagingan sendiri. Kita mengaku kita orang Kristian tetapi kita lebih rela dipimpin oleh kuasa Iblis berbanding kuasa yang datang dari Roh Kudus. Jika anda dan saya rajin melayani Tuhan dan melayani sesama tetapi tetap dengan keinginan daging yang berbuah dosa, maka sia-sia sahaja pelayanan kita. Yesus menegaskan sikap orang seperti ini sebagai ‘si mungkar’ seperti yang dicatatkan dalam Matius 7:21-23, “Tidak semua orang yang memanggil-Ku, ‘Tuhan, Tuhan,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, ‘Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?’ Tetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.‘” Yesus dengan tegas mengingatkan kepada murid-murid-Nya bahawa hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa sahaja yang akan masuk ke dalam kerajaan syurga! Paulus bersetuju dengan ajaran ini sehingga dia sentiasa mengingatkan jemaah Kristian agar hidup menurut kehendak Roh Kudus dan bukan lagi hidup menurut keinginan daging.
Untuk itulah, Paulus menegaskan kepada jemaah Korintus agar mereka mematikan diri mereka dari keinginan daging agar mereka dapat hidup dalam kemuliaan Allah (ayat 14). Allah telah memberikan peluang untuk kita membaharui hidup kita dari cara hidup lama. Jika hidup lama kita masih membelenggu kita, maka kita tidak mungkin akan memiliki kehidupan yang membawa kepada kehidupan yang kekal di syurga. Jika hidup lama kita masih membelanggu kita, maka kita tidak mungkin akan memuliakan Tuhan meskipun kita sangat rajin dalam pelayanan gereja! Jangan mencabul diri kita sendiri dengan kecemaran dari si Iblis, tetapi leburkan diri kita dengan kasih Allah; Yesus telah menebus kita dengan darah-Nya yang mahal. Jangan sampai kita disesatkan oleh si Iblis dengan nikmati duniawi yang sementara. Haleluyah!
Hancurkan aku dalam kefasikan laluku,
Leburkan aku dengan kemurnian kasih-Mu.
Matikan aku dari keinginan dosaku,
Hidupkan aku dengan kesucian darah-Mu.
– Jonathan Nafesy El Ram®