Kasih Tanpa Sempadan

190

“Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesamamu sendiri. Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku.”
Yohanes 13:34-35

Perbualan yang direkodkan ini adalah sebahagian daripada bahagian-bahagian akhir bab 13 yang juga merupakan percakapan di antara Yesus dengan para murid-Nya di meja perjamuan. Saat perjamuan makan selesai, Yudas Iskariot pergi sementara Yesus berbincang-bincang mengenai perkara yang bermanfaat untuk kerohanian mereka. Satu daripada pengajaran yang Yesus berikan kepada mereka adalah mengenai hal mengasihi satu sama lain. Pengajaran mengenai kasih ini bertitik tolak daripada peringatan oleh Yesus bahawa Dia akan menggenapi tujuan kedatangan-Nya ke dunia ini iaitu akan di tangkap, diseksa, disalibkan lalu akan bangkit semula. Bahkan Yesus juga menyatakan bahawa salah seorang daripada mereka akan mengkhianati lalu menyerahkan Yesus kepada ketua agama. Hal ini tidak dapat difahami oleh mereka sehingga mereka saling mengesyaki di antara satu sama lain. Yesus tahu bahawa sikap mereka tidak akan membawa damai dalam hati lalu membawa kebencian kepada sesama mereka. Oleh itu, Yesus mengajarkan kepada mereka untuk saling mengasihi di antara satu sama lain demi membuktikan bahawa mereka sesungguhnya adalah murid-Nya. Dalam erti kata lain, orang yang mengaku murid Yesus tetapi tidak menunjukkan kasih di antara satu sama lain belum menjadi murid sejati Yesus. Seperti Yesus yang telah menunjukkan kasih tanpa sempadan kepada mereka, maka Yesus juga mahu mereka meniru sikap mengasihi-Nya supaya bukan sahaja mereka menjadi saksi kasih sejati Yesus di dalam kehidupan mereka tetapi juga membawakan Berita Baik kepada yang melihat mereka.

Yesus menunjukkan kasih tanpa sempadan dengan menyerahkan sendiri nyawa-Nya untuk menebus manusia daripada hukuman maut. Seperti yang dicatatkan oleh Yohanes (15:13), “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.” Yesus bukan sahaja Tuhan dan Penyelamat, tetapi juga seorang Sahabat kepada anda dan saya. Ketika kita masih lagi berbuat dosa, kita adalah jijik dan kotor serta hina tetapi Sahabat ini datang kepada kita dan membersihkan kita daripada kejijikan dosa. ‘Sahabat’ ini bukan menggunakan air dari sungai yang bersih atau menggunakan darah dari binatang sembelihan, tetapi darah-Nya sendiri yang telah digunakan untuk mencuci kotoran dosa dari hidup anda dan saya. ‘Sahabat’ ini telah rela mencurahkan darah-Nya untuk menjadikan kita suci sehingga menikmati kehidupan yang layak berhadapan dengan Raja atas segala raja, Tuhan atas segala tuhan; Allah Bapa yang duduk di takhta-Nya! Demikianlah kasih tanpa sempadan yang telah Sahabat kita, Yesus, tunjukkan kepada anda dan saya. Inilah kasih yang Yesus ingin kita praktikkan di dalam kehidupan kita. Kasih yang tidak memilih kumpulan manusia tertentu sahaja untuk dikasihi, kasih yang tidak menunjukkan rahmat kepada orang tertentu tetapi dipihak lain kita membenci mereka. Kasih tanpa sempadan yang telah Yesus tunjukkan kepada kita jelas mengajar kita untuk menilai semua orang di sekeliling kita dengan penuh kasih.

Iman yang benar adalah iman yang disertai dengan kasih tanpa sempadan. Sama seperti Yesus yang telah melakukan tugas-Nya dengan penuh taat kepada Allah Bapa, iman kita juga harus ditandai dengan sikap taat kepada Allah Bapa. Pengakuan iman kita terhadap Allah Bapa bukan sekadar harus diungkapkan dalam doa tetapi Yesus memerintahkan kita untuk menunjukkannya melalui tindakan kita. Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa melalui sikap mengasihi yang para murid-Nya tunjukkan nanti, mereka akan dipuji sebagai murid Yesus dan orang ramai pasti akan tahu bahawa mereka adalah murid Yesus. Jika dilihat pada konteks masyarakat pada masa Yesus mengajarkan hal ini, kita tahu bahawa masyarakat Yahudi terpecah belah akibat pengaruh keagamaan dan tingkat sosial yang membezakan kumpulan manusia. Pengaruh-pengaruh negatif ini telah menyebabkan mereka dikenali sebagai golongan beragama, golongan miskin, golongan janda, golongan bangsawan, golongan kusta dan banyak golongan lain. Berdasarkan perbezaan golongan ini, kasih yang ditunjukkan juga berbeza di antara satu sama lain dan ini bukanlah sikap yang baik. Oleh itu, Yesus mengajarkan para murid-Nya untuk saling mengasihi dan mereka pasti akan dikenali oleh orang ramai sebagai murid-murid-Nya kerana mereka adalah berbeza daripada golongan masyarakat sekitar mereka. Menjadi Kristian menuntut kita untuk memiliki perbezaan karakter berbanding manusia yang memiliki kepercayaan lainnya. Menjadi Kristian menuntut kita untuk menjadi garam dan cahaya dunia; dunia di mana kita berpijak, di sana kita menunjukkan kasih Yesus kepada mereka.

Yesus sangat rindu agar setiap daripada kita yang mengakui iman kekristianan menunjukkan sikap unggul seorang Kristian iaitu sikap kasih tanpa sempadan. Sikap ini harus benar-benar menonjol dalam keperibadian seorang Kristian kerana sikap inilah yang membezakan kita daripada penganut agama Samawi yang lainnya. Sikap kasih tanpa sempadan menjadikan kita orang yang berlumba-lumba menunjukkan kasih kepada orang lain tanpa melihat status sosio-ekonomi mereka. Sedangkan penganut agama lain mengajarkan kasih untuk mendapatkan kehidupan kekal yang terjamin, kita sebagai orang Kristian menunjukkan kasih kerana kita telahpun ditebus oleh Yesus melalui darah-Nya dengan penuh kasih. Kita tidak menunjukkan kasih agar dikasihi oleh Allah, kita menunjukkan kasih kerana kita telahpun dikasihi oleh Allah terlebihi dahulu.

Semoga hidup kita terus menerus menjadi berkat walau dimana sahaja kita berada kerana kasih tanpa sempadan yang telah menemui kita terlebih dahulu sentiasa menyertai kita. Kasih tanpa sempadan yang terunggul adalah dari Yesus dan kasih itu adalah Yesus. Marilah kita berlumba-lumba menunjukkan kasih kepada sesama, kasih tanpa sempadan. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®