Seringkali golongan yang menuhankan manusia juga mereka yang menafikan keilahian Yesus Kristus. Salah satu tohmahan mereka yang biasa ditujukan adalah, “Kalau kamu menyatakan bahawa Yesus itu Allah, kepada siapa pula Dia berdoa? Bukankah itu sesuatu yang tidak masuk akal?”
Orang yang munasabah dan waras akan berhenti sejenak untuk memikirkan soalan tersebut. Untuk memahami situasi yang unik ini, kita perlu berdasarkan apa yang diajar di dalam Alkitab. Orang Kristian percaya bahawa Yesus itu Allah yang menjelma sebagai manusia, lalu dia berdoa kepada Bapa-Nya di syurga. Ini kerana Bapa dan Anak memiliki hubungan kekal sebelum Yesus dijadikan insan.
Yohanes 5:19-27 menerangkan situasi tersebut, terutamanya di dalam Yohanes 5:23 sewaktu Yesus mengajar tentang Bapa telah menghantar Anak (rujuk juga kepada Yohanes 15:10). Yesus bukan manusia yang dicipta oleh Allah hanya kerana Allah berfirman, “Jadilah!”. Jauh daripada itu, Yesus wujud sebagai Anak Allah sentiasa, sekarang dan selama-lamanya. Dia hanya dilahirkan di Bethlehem dua ribu tahun dahulu sebagai insan untuk memenuhi kehendak Allah yang sempurna.
Petikan Yesaya 9:6 memaklumkan kita bahawa seorang Putera telah dianugerahkan dan seorang Anak dilahirkan. Ketritunggalan Yesus tidak pernah diragu-ragukan ataupun dinafikan, kerana Dia sentiasa menjadi sebahagian daripada hubungan Tritunggal bersama-sama Roh Kudus. Allah Bapa, Allah Anak dan Allah Roh Kudus tetap wujud tanpa permulaan atau penghabisan, dan ketiga-tiga Peribadi ini bukan bermaksud orang Kristian menyembah tiga Allah, tetapi Allah yang Esa sebagai tiga peribadi. Yesus sendiri mengajar bahawa Dia dan Bapa merupakan satu (Yohanes 10:30). Melalui pengajaran ini, Yesus ingin kita mengetahui bahawa Dia dan Bapa, dan Roh Kudus memiliki peribadi yang sama, inti pati sama, Allah atau keilahiah. Kesemua tiga Peribadi yang sama tara ini adalah Allah, dan ketiga-tiganya sudah dan terus-terusan memiliki hubungan yang kekal.
Sewaktu Yesus menjadi insan tidak berdosa, Dia juga memainkan peranan sebagai seorang hamba yang setia, meninggalkan kemuliaan syurgawi-Nya. Rasul Paulus menulis, “Sebenarnya Dia (Yesus) ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati – iaitu mati di atas salib. Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan” (Filipi 2:5-11).
Sebagai Allah-manusia, Yesus cuba untuk taat (Ibrani 5:8) terhadap Bapa-Nya sewaktu Dia diuji oleh Iblis, difitnah oleh manusia biasa, ditolak tubuhnya dan akhirnya disalib. Dia berdoa kepada Bapa Syurgawi-Nya supaya diberikan kuasa (Yohanes 11:41-42) serta hikmat (Markus 1:35; 6:46). Oleh kerana kemanusiaan-Nya, Dia berdoa sedemikian dan bergantung sepenuhnya pada Bapa demi menjalankan rancangan Bapa-Nya demi penebusan.
Di dalam Yohanes 17, Yesus memainkan peranan-Nya sebagai Imam Agung, dan pada akhirnya, Dia juga tunduk pada kehendak Bapa-Nya di Taman untuk disalib demi membayar hutang dosa kita kerana melanggar hukum Allah, iaitu kematian (Matius 26:31-46). Sudah tentu Dia bangkit secara nyata dari kubur, memenangi pengampunan dan hidup kekal demi kita yang menerima Dia sebagai Juruselamat peribadi.
Yakni, tiada masalah untuk Anak sebagai Allah berdoa atau berbual dengan Bapanya, Allah. Sepertimana yang telah dinyatakan, mereka mempunyai hubungan kekal sebelum Kristus menjadi manusia. Dalam imej kemanusiaan-Nya, hubungan ini digambarkan dalam Injil sehingga kita dapat melihat Anak Allah menjalankan kehendak Bapa-Nya (Yohanes 6:38). Oleh kerana ketaatan Kristus yang terus-menerus terhadap Bapa syurgawi-Nya, Dia diberikan kekuatan serta fokus yang terpelihara melalui kehidupan berdoa-Nya. Kehidupan berdoa Yesus menjadi contoh yang setiap orang Kristian harus ikuti.
Sepanjang waktu Yesus Kristus menghuni di dunia, Keallahan-Nya tidak pernah terjejas. Apabila Dia berdoa kepada Allah Bapa-Nya di syurga, Dia mencerminkan Diri sebagai manusia yang sempurna, dan terus-menerus dalam kehidupan berdoa supaya Dia dapat melaksanakan kehendak Bapa-Nya. Doa Yesus yang senantiasa ditujukan terhadap Bapa memperlihatkan hubungan-Nya dalam ketritunggalan dengan Bapa. Contoh Yesus memberi dorongan kepada kita supaya kita akan sentiasa bergantung pada Allah menerusi doa demi kekuatan dan kemujaraban yang dihajatkan. Kristus sebagai Allah-manusia memerlukan kehidupan berdoa yang bersemangat, apatah lagi kita sebagai manusia fana.