Dengan kos kehidupan yang kian meningkat, kelembapan ekonomi, tekanan di tempat kerja mahupun di rumah, masyarakat pada zaman ini sangat cepat panas baran. Kekerapan kes buli jalan raya bukan lagi sesuatu yang ganjil dibaca di laman berita, dan ramai daripada kami juga terlanjur kata ataupun berasa jengkel dengan kelakuan kawan-kawan serta ahli keluarga masing-masing. Fikir seketika, apakah punca semua kemarahan yang kami alami, dan bagaimanakah seseorang Kristian mengawal perasaan marahnya? Sebelum kita meneliti ayat-ayat Alkitab yang boleh menolong kamu dan saya mengawal perasaan marah, perlu kita ingat bahawa perasaan marah itu bukan dosa. 

Emosi biasa

Dari semasa ke semasa, semua orang akan mengalami perasaan marah tentang pelbagai hal, jadi itu sesuatu perkara yang biasa. Mungkin sesuatu perkara tidak berjalan dengan lancar ataupun mengikut kehendakmu, pasangan kamu melakukan sesuatu yang tidak betul, anak-anak yang sentiasa nakal, ataupun kawan yang mengecewakan kamu. Kebolehan untuk berasa marah adalah satu kurniaan Allah. Yang penting adalah kita perlu peka terhadap saat permulaan perasaan marah untuk belajar bagaimana hendak mengawalnya. Ini juga akan menolong kita elakkan diri daripada memudaratkan perhubungan di sekeliling kita. 

Pertolongan daripada Alkitab

Terdapat pelbagai ayat-ayat Alkitab yang boleh menolong kita mengawal perasaan marah apabila ia timbul. Pada saat kamu berasa marah, berdoalah supaya kamu boleh menguasai perasaan marah tersebut. Amsal 16:32 menyatakan, “Lebih baik orang bersabar daripada berkuasa. Lebih baik orang tahu menahan diri daripada menguasai seluruh kota.” Ini bermaksud bahawa kamu boleh memperoleh kuasa Allah untuk melakukan pelbagai perkara yang menakjubkan, tetapi pendekatan paling berkesan di dalam keadaan yang paling susah adalah untuk bersabar, terutamanya sewaktu melayani orang yang pelbagai ragam. 

Jika kita berharap untuk melakukan perkara yang besar, kita perlu berjaya mengawal emosi sendiri. Mengawal perasaan marah tetap mustahil jika kita tidak rendah diri, sabar dan tenang sewaktu berada di bawah tekanan, tetapi kita memerlukan pertolongan yang lebih (Filipi 4:13). Yesus menyatakan di dalam Yohanes 15:5, “Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa.” Maksud Yesus adalah, tanpa Dia, kita tidak boleh melakukan apa-apa. Jika kita mahu menangani situasi dengan betul tanpa perasaan marah, kita perlu bersatu dengan Pokok Anggur, iaitu berada di dalam Dia. Apabila kita tidak berada di dalam Yesus, hidup kita tidak akan berbuah. Alkitab boleh menolong kita mengemudikan emosi masing-masing di bawah kawalan Roh Kudus. 

Pengampunan

Pada saat kita berasa marah ataupun dilandai emosi negatif yang lain, kita perlu berhenti seketika, mengakui emosi tersebut kepada diri sendiri, kepada Allah, dan kembali ke pangkuan Yesus. Kita perlu minta pertolongan-Nya, pengampunan-Nya, dan berdoa untuk pembebasan serta menyiapkan diri untuk diubahkan-Nya. Yang paling penting adalah terus bersatu dengan Yesus dan membenarkan Dia menolong kita. Saya percaya bahawa jika setiap orang daripada kita melakukan demikian, kita akan menyenangkan hati Allah serta memuliakan Dia. Kesan sampingan juga menguasai perasaan marah dan emosi negatif yang lain dengan lebih kerap lagi.

Ayat-ayat Alkitab yang boleh menolong

Berikut adalah beberapa ayat Alkitab yang boleh menolong kita mengawal perasaan marah setiap kali. 

Roma 12:21: “Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan.

Yakobus 1:19-20: “Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, dan menyenangkan hati Allah.

Efesus 4:26-27: “Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari. Janganlah berikan peluang kepada Iblis.

Efesus 4:31-32: “Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimanapun Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus.

Amsal 29:11: “Orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan.

Amsal 14:29: “Orang yang bertenang itu bijak, tetapi orang yang cepat marah itu bodoh.

Amsal 15:1: “Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah.

Mengatasi Kemarahan

Kesemua ayat Alkitab tersebut amat berguna untuk menolong kita mengatasi perasaan marah. Walaupun artikel ini diterbitkan untuk mereka yang mengalami kemarahan dari semasa ke semasa, ia juga sesuai untuk mereka yang mempunyai kemarahan yang terpendam. Jika kamu seorang yang kerap marah, selalu mengecam orang di sekelilingmu, mencaci dan memaki hamun orang lain, berasa sangat susah untuk mengampuni mereka yang menyakitimu, berfikiran negatif, melawan secara fizikal ataupun kata-kata, dan melakukan perkara yang kamu tahu tidak menyenangkan hati Allah, inilah waktu kamu mengakui dosa-dosa kamu dan bertaubat. Kamu tidak boleh membiarkan perasaan marah dan negatif ini berterusan tanpa ditangani ataupun dikawal. Bukan sahaja ini tidak menyenangkan hati Allah, tetapi kamu juga tidak akan memperoleh hidup yang berkelimpahan sebagai seorang Kristian. Akhirnya, tidak berbaloi kamu marah berterusan. Lepaskan perasaan marah sebelum kegelapan dan kemarahan menyelubungi kamu. Lepaskan mereka yang bersikap negatif di dalam hidupmu. Jangan tanam benih kepahitan di dalam hidupmu kerana benih tersebut akan tumbesar dan berakar. Sebaliknya, bebaskan diri melalui pertaubatan dan membenarkan Allah menyucikan pemikiran, hati, dan emosimu setiap hari (Roma 12:1-2). Belajar daripada-Nya bagaimana kamu dapat menghadapi dan mengatasi setiap masalah di dalam hidupmu dengan kasih, sukacita, hidup rukun, kesabaran, berbudi, baik hati, kesetiaan, rendah hati dan lain-lain. Semua ini akan menjadi nyata untuk sesiapa yang menerima Firman Tuhan dan Roh Kudus. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, saya mengakui bahawa terdapat detik apabila kita berasa marah, ia sesuatu yang biasa tetapi saya berharap bahawa artikel ini boleh menolong kita mengawal serta mengatasi kemarahan di dalam kehidupan masing-masing. Semoga setiap orang boleh membawa kemarahan mereka di bawah kawalan Roh Kudus. Seperti yang dinasihati rasul Paulus, “Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari” (Efesus 4:26).