Jika Kristus tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu.
Dan jika Kristus tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa!
– 1 Korintus 15:14, 17

Ini merupakan sebuah pernyataan yang boleh dijadikan persoalan retorik kepada kita dalam kehidupan seharian kita. Paulus menulis pernyataan ini kepada jemaah di Korintus yang terdiri daripada jemaah yang telah dia kenali sebagai ‘jemaah yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih’ (1 Korintus 1:2). Bermakna bahawa jemaah di Korintus bukanlah jemaah yang baharu tetapi merupakan jemaah yang telah mempercayai Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat; yang telah bangkit pada hari ketiga dan telah kembali ke Syurga iaitu kerajaan kekal yang akan menjadi rumah kekal untuk setiap orang percaya. Bagi Paulus, perkenalannya dengan Kristus bukan bermula seperti jemaah Kristian lain kerana dia merupakan seorang pembunuh orang Kristian. Namun ketika dalam perjalanannya untuk membinasakan orang Kristian di Damaskus, Kristus menemuinya dengan penuh kemuliaan (Kisah Para Rasul 9) lalu bertaubat dan menjadi Kristian bahkan rasul kepada orang-orang bukan Yahudi. Penulisan 1 Korintus 15 bahkan seluruh surat 1 Korintus ditulis selepas beberapa tahun pertemuannya dengan Kristus. Bahkan penyataan dalam 1 Korintus 15 ini ditulis bertahun-tahun selepas Kristus dibangkitkan. Beberapa tahun selepas kebangkitan Kristus menjadikan iman para pengikut-Nya telah berkembang pesat di luar Yahudi. Tetapi, persoalan retorik ini diterima oleh jemaah yang telah bertahun-tahun percaya kepada Kristus dan membawa makna yang sangat mendalam untuk meneguhkan iman mereka.

Jika pernyataan dalam ayat 14 dan 17 ditanyakan kepada anda dan saya pada hari ini, bagaimanakah agaknya kita menanggapi iman kepada Kristus? Kita tidak pernah melihat Kristus dan hampir semua kita tidak pernah melawat gua kosong yang pernah menjadi tempat mayat Kristus diletakkan selama 3 hari. Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang akan terjadi jika Kristus tidak pernah dibangkitkan. Pertama, menurut Paulus adalah iman kita kepada Kristus adalah sebuah kesia-siaan (ayat 14). Sia-sia bermakna tidak berfaedah atau tidak berguna kepada kita. Iman yang kita miliki di dalam Kristus tidak akan membawa faedah kepada hidup kita di dunia ini. Jika Kristus tidak dibangkitkan maka sia-sia sahaja iman kita kepada Kristus kerana Kristus bukan Tuhan dan bukan Penyelamat yang telah dijanjikan oleh nabi Yesaya dan para nabi di dalam Perjanjian Lama. Maka, apa sahaja yang kita beritakan mengenai Kristus selama ini juga adalah sia-sia kerana berita yang kita sampaikan adalah Kristus satu-satunya Tuhan dan Penyelamat manusia.

Namun sebaliknya telah berlaku iaitu Kristus benar-benar bangkit! Buktinya adalah kubur yangmenempatkan mayat-Nya telah kosong dan Kristus sendiri muncul di hadapan pada murid dan beratus lagi saksi melihat fizikal Kristus yang hidup di hadapan mereka. Jika idea berkata bahawa mayat Kristus dicuri dari gua, soalannya adalah siapakah yang berada di hadapan para murid dan 300 saksi lain yang melihat-Nya selama beberapa hari itu? Maka, idea menyatakan mayat Kristus dicuri adalah teori tidak benar dan hanya bersifat provokatif kepada jemaah Kristian, teori dari kumpulan manusia yang mencari alasan atas kesalahan mereka sendiri yang tidak percaya bahawa Kristus adalah Tuhan dan Penyelamat. Adakah anda tergolong dalam kumpulan yang masih percaya bahawa Kristus tidak pernah bangkit tetapi mayat-Nya telah dicuri? Bertaubatlah dan berimanlah kepada Kristus dengan menjadikan Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat anda!

Masalah lain yang kemungkinan terjadi jika Kristus tidak dibangkitkan adalah semua orang di dunia ini masih hidup di bawah kutukan dosa dan akhirnya akan menderita untuk selamanya di neraka! Ayat 17 menyatakan bahawa ‘kamu masih bergelumang dosa‘ yang menyatakan dengan keras bahawa hanya ada satu Tuhan dan Penyelamat yang dapat membebaskan manusia dari dosa dan hukuman maut. Peribadi tersebut adalah Kristus yang telah mati tetapi bangkit pada hari ketiga. Kristus yang telah membangkitkan Lazarus; menjadikan seorang penipu kepada seorang rasul; mengusir beribu-ribu roh jahat hanya dengan menengking di dalam nama Allah! Jika Kristus tidak bangkit, maka malang terbesar dalam hidup anda dan saya kerana iman kita kepada Kristus tidak membawa kepada penyelamatan kekal. Puji Tuhan! Kristus benar-benar bangkit!

Kristus telah bangkit dan kita tidak akan terjebak di dalam api neraka. Kita tidak perlu meragui lagi bahawa sesungguhnya Kristus telah bangkit dan telah menebus kita dari dosa lalu memindahkan kita kepada sebuah kehidupan yang suci dan penuh rahmat. Kristus telah bangkit dan telah masuk ke dalam hidup anda dan saya. Apakah yang harus kita lakukan sebagai murid Kristus? Layanilah sesama manusia dengan penuh kasih tanpa pilih kasih. Selain itu, layani juga mereka yang memerlukan penyelamatan kekal dari Kristus; beritakanlah Injil kepada mereka sesuai dengan perintah yang diamanahkan oleh Kristus kepada jemaah Kristian awal yang tercatat dalam Matius 28:19-20. Semoga minggu meraihkan kebangkitan Kristus ini membuatkan iman kita lebih lebih berkualiti dengan mengerjakan perintah-Nya dengan penuh taat dan setia. Shalom!

Jonathan Nafesy El Ram