Tuhan ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun. Dia membuat aku berbaring di padang rumput yang hijau, Dia membimbingku ke tepian air tenang.

Dia memulihkan jiwaku. Dia membimbingku ke jalan benar demi nama-Nya. Ya, meski aku melangkah di lembah bayangan maut, aku tidak takut bahaya kepada kejahatan, kerana Engkau ada bersamaku; gada dan tongkat-Mu menetapkan hatiku. Engkau menyediakan hidangan untukku di hadapan musuhku. Engkau mengurapi kepalaku; cawanku melimpah.

Tentulah kebaikan dan kasih akan mengiringiku seumur hidupku, dan aku akan tinggal di dalam rumah Tuhan selama-lamanya.
– Mazmur 23:1-6

Setiap manusia pasti mengalami sekurang-kurangnya satu ketakutan. Ketakutan atau fobia bertitik mula daripada pemahaman atau pengalaman yang salah terhadap sesuatu sehingga kita memilih untuk mengelakkan diri daripada berhadapan dengan ketakutan kita. Manusia seringkali memiliki ketakutan terhadap bahaya di hadapan, keruntuhan sosio-ekonomi, penurunan kualiti iman ataupun kepercayaan diri mereka. Ketakutan-ketakutan seperti ini adalah wajar kerana manusia memiliki kecenderungan untuk menilai diri mereka dengan kejayaan, sebaliknya mengkritik diri apabila mengalami kegagalan lalu membawa mereka kepada ketakutan; takut untuk berusaha berjaya. Mazmur 23 menjelaskan kepada kita bahawa kita tidak harus takut kepada apapun di dunia ini, walaupun dengan apa sahaja alaan yang kita rasa sesuai untuk membenarkan perasaan takut kita. Mazmur 23 merupakan lagu yang dituliskan oleh Daud sebagai sebuah mazmur puji-pujiannya kepada Tuhan yang sentiasa melindunginya. Daud menggambarkan perlindungan hebat oleh Tuhan seperti gembala yang memelihara dombanya.

Setiap kita digembalakan oleh Tuhan secara peribadi. Perhatikan ayat 1, “gembalaku” dan kata ganti diri yang digunakan adalah tunggal iaitu ‘aku’. Ini bermakna bahawa Tuhan mahu menggembalakan kita secara peribadi seperti yang diakui sendiri oleh Yesus dalam Yohanes 10:3, “Dia memanggil nama setiap dombanya.” Tuhan mengenali setiap kita secara peribadi sehingga tiap helai rambut kita pun dihitung oleh-Nya. Setiap beban hidup kita juga sangat difahami oleh Tuhan dan Dia mahu kita sedar bahawa saat kita berhadapan dengan beban hidup ini, Dia ada bersama-sama kita. Bukan sekadar ada tetapi Tuhan sendirilah yang membimbing kita secara peribadi. Oleh itu, kita tidak harus takut dengan beban yang kita hadapi di hadapan kita kerana Tuhan sendiri yang mendahului kita berperang menghapuskan beban itu untuk kita. Percaya kepada kekuasaan-Nya yang mutlak dan jangan takut berhadapan dengan beban hidup anda! Saat kita berhadapan dengan beban hidup, kita bukan sahaja akan dituntun oleh Tuhan seperti seorang gembala yang menuntun domba, tetapi kita juga akan diberikan kecukupan yang sepenuhnya. Kunci untuk mensyukuri berkat kecukupan yang Tuhan berikan adalah mengutamakan Tuhan dan bukan mengutamakan keinginan kita sendiri. Keinginan Tuhan jauh lebih baik dan sempurna untuk kita berbanding keinginan peribadi kita. Jangan takut! Tuhan akan menuntun kita menghadapi hari-hari kita dan mencukupkan kita sepanjang masa.

Ketika kita merasakan penat secara fizikal, emosi dan rohani, ingatlah bahawa Tuhan sebagai Gembala akan membawa kita ke padang rumput hijau dan air yang bersih (ayat 2). Ini bermakna bahawa Tuhan akan memberikan kesegaran fizikal, emosi dan rohani kita. Bukan sedikit demi sedikit tetapi secukupnya. Oleh itu, jangan takut kerana kita memiliki sumber kekuatan yang kekal iaitu Yesus Kristus. Dia yang telah menang dari maut dan menebus kita daripada keranjang dosa, sekarang menjadi Tuhan yang akan sentiasa memperhatikan kita; saat kita lemah, kita akan disegarkan! Jangan takut berlari kepada Tuhan dan memohon kepada Tuhan untuk membimbing kita mencari kesegaran kerana Tuhan dalam sifat Maha Kasih sentiasa membawa kita kepada jalan yang benar. Saat anda mungkin tersilap jalan dan jatuh dalam dosa, janganlah terus menerus terjerumus dalam dosa, sebaliknya beranikanlah diri untuk berseru kepada Tuhan dan memohon kepada-Nya untuk menuntun anda kerana Dia pasti sangat mahu menuntun anda. Anda adalah domba yang sangat dikasihi-Nya. Jangan takut untuk berseru kepada-Nya!

Kita adalah tetamu yang dijemput oleh Tuhan untuk menikmati hidangan yang disediakan di dalam Rumah-Nya. Jangan takut untuk menerima jemputan oleh Tuhan. Saat Tuhan berkata (Matius 11:29), “Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku,” Tuhan mahu menyatakan kepada kita bahawa kita dijemput untuk turut serta dalam panggilan pelayanan. Jika ada yang dipanggil untuk melayani, maka layanilah Tuhan sepenuh hati. Setiap kita yang dijemput terlibat dalam projek Kerajaan Allah adalah tetamu yang akan diteguhkan oleh Tuhan. Kita tidak akan dimalukan di hadapan para musuh (ayat 5), sebaliknya kita akan diangkat tinggi oleh Tuhan dihadapan musuh. Kita dilayani oleh Tuhan dalam setiap langkah hidup kita, kerana Dia adalah Gembala kita. Jangan takut menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi anda. Anda tidak akan dibiarkan malu di hadapan musuh. Anda akan dijadikan rakan sekerja tetapi juga diangkat menjadi anak-anak Allah. Dipulihkan agar dapat menyatakan kuasa pemulihan Tuhan kepada orang lain. Jangan takut!

– Jonathan Nafesy El Ram®