“Aku bersungguh-sungguh melatih tubuhku, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.”
– 1 Korintus 9:27

Terlalu banyak perkara didunia ini yang amat menakutkan manusia. Ada yang takut kepada kemiskinan, penyakit berjangkit, kehancuran rumahtangga, peperangan, kebuluran dan banyak lagi. Namun daripada semua ketakutan-ketakutan ini, masih belum dapat menandingi ketakutan akan kematian! Ianya tidak membawa erti bahawa sesungguhnya kematian itu peristiwa yang sangat menakutkan tetapi akhir tujuan selepas mati itulah yang membuat kita takut mati. Itulah sebabnya ramai manusia yang berusaha mencari agama dan kebenaran semata-mata mencari jawapan kepada akhir tujuan kematian mereka. Ada yang membuat kesimpulan bahawa kematian tidak sia-sia jika berbuat baik selama hidup di dunia ini kerana akhirnya akan mendapat balasan setimpal daripada Tuhan. Mereka percaya mereka akan ditempatkan di tempat kekal yang penuh bahagia, atau juga menjelma semula sebagai sebuah makhluk yang dianggap suci. Dalam petikan 1 Korintus 9, bab ini secara ringkasnya mengajak pembaca untuk hidup sesuai sebagai hamba Tuhan yang suci dan memberitakan Injil dengan harapan tindakan kita diberkati Allah. Kita diajar untuk melatih fizikal, mental, emosi dan rohani dengan tingkat disiplin yang tinggi. Kita diajar untuk tetap setia sehingga ke garis penamat nafas kita di dunia ini. Oleh kerana iman seperti ini, maka kita berharap Tuhan tidak akan menolak kita. Tetapi, siapakah yang tahu kehidupannya di alam kekal sebelum kematiannya sendiri? Tidak ada! Inilah keunikan iman Kristian yang tidak dimiliki oleh iman dari agama-agama atau kepercayaan tradisi lainnya. Kita tidak percaya bahawa kita akan masuk Syurga kerana usaha kita sendiri selama hidup di dunia ini.

Yohanes 14:6 berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.” Demikianlah kata-kata tegas daripada Yesus terhadap para pengikut-Nya. Sesungguhnya tidak ada seorang pun dapat masuk Syurga kerana hasil kebaikan mereka di dunia ini. Sesungguhnya, hanya Yesus sahaja sebagai jalan ke Syurga, kebenaran tunggal kepada iman manusia dan sumber kehidupan seluruh manusia di dunia ini! Sepanjang minggu ini, saya dan isteri serta bayi kecil kami berusia 5 bulan telah dijangkiti Covid-19. Penyakit berjangkit yang telah lama viral dan melumpuhkan hampir seluruh dunia sejak tahun 2020. Ketika isteri saya menjadi pesakit pertama, saya berusaha membantu untuk menjaga bayi sekerap mungkin. Tetapi ketika saya dijangkiti kemudian diikuti oleh bayi kami, saya langsung trauma untuk menyentuh bayi kami kerana saya rasa saya yang menjangkiti bayi saya. Saya berfikir saya sudah berusaha sebaik mungkin menjaga SOPs ketika menjaga bayi kami tetapi dia masih dijangkiti. Lalu saya mulai berfikir bahawa virus Covid-19 tidak pernah mengenal siapa yang bekerja keras menjaga SOPs atau lalai; kedua-dua kumpulan tetap akan diserang oleh virus ini. Saya mengambil iktibar daripada kes keluarga kecil kami ini bahawa sesungguhnya; sebaik apapun usaha kita jika kita lalai sama ada tanpa kita sedar atau tidak sedari, lambat laun kita akan berhadapan dengan implikasinya. Tuhan Yesus tidak akan pernah habis idea untuk memberikan hikmat kesembuhan kepada setiap manusia yang bermohon kepada-Nya.

Jika anda dan saya boleh menerima iktibar yang saya kongsikan daripada kes peribadi ini, maka kita juga harus bersetuju bahawa sesungguhnya hanya Tuhan yang tahu dimana akhir hidup kita selepas kita mati. Tetapi, Tuhan telah memberikan arahan-arahan berbentuk pengajaran kepada kita untuk kita lakukan selama kita masih ada di dunia ini. Antaranya adalah mengasihi Tuhan Allah dengan segenap hidup, melayani sesama manusia dengan penuh kasih, memuliakan Tuhan dan memberitakan Injil. Kita samakan ini sebagai SOPs yang kita harus ikuti sebagai anak-anak Tuhan. SOPs ini bukan bertujuan untuk menghalang kita melakukan kehendak kita sendiri tetapi SOPs ini bertujuan untuk memandu arah hidup kita agar kita tidak ‘dijangkiti virus pendosa’ yang amat bertentangan dengan SOPs yang diberikan. Jika Tuhan Yesus sudah menjanjikan kehidupan kekal kepada kita, itu bukan kerana kita mengikuti SOPs yang telah diberikan tetapi itu kerana janji-Nya kepada kita seperti yang diungkapkan-Nya di dalam Yohanes 14:2, “Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu.” Ketika Yesus berjanji, Dia tidak akan pernah mungkiri janji-Nya!

Oleh itu, jika kita dengan setia mengikuti perintah-perintah Yesus untuk kita lakukan selama kita hidup di dunia ini, maka ingatlah bahawa semua itu untuk kebaikan iman kita agar tetap bertumbuh subur, bukan kunci untuk masuk Syurga. Apabila iman kita bertumbuh subur dan akhirnya berbuah, maka kita akan menjadi berkat kepada orang lain. Nama Tuhan Yesus akan dimuliakan. Jangan berfikiran sebaliknya seperti seorang ahli sukan yang akhirnya putus asa lalu melarikan diri tetapi jadilah ahli sukan seperti yang disebutkan di dalam 1 Korintus 9:25 yang tetap bersungguh-sungguh berlatih dengan gigih dengan disiplin yang ketat. Semakin kita rasakan iman kita semakin lemah, kita tidak harus semakin menjauhkan diri daripada persekutuan dengan Tuhan dan dengan sesama seiman. Dekatkanlah diri dalam persekutuan intim dengan Tuhan dan sesama seiman. Kita juga jangan menjadi ahli tinju yang melontarkan tinju secara rawak tetapi rancanglah tumbukan untuk tujuan tertentu (1 Korintus 9:26). Kita sebagai orang percaya harus sentiasa merancang perjalanan iman kita dengan penuh disiplin; konsisten dalam pertemuan ibadah, doa, pembacaan firman Tuhan, pemberitaan Injil dan melakukan kebajikan. Di dalam kamus kehidupan seorang Kristian, tidak ada perkara yang terjadi secara kebetulan tetapi semuanya dirancang oleh Tuhan bersama-sama kita melalui Roh Kudus! Jangan menjadi Kristian yang ‘cacamarba’, melakukan banyak hal tetapi tidak tahu tujuannya. Marilah kita menjadi Kristian yang teguh beriman kepada Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat kita.Haleluyah!

Tuhan Yesus tidak pernah menolak manusia masuk ke dalam api neraka, tetapi manusia itu sendiri yang menolak dirinya masuk ke dalam api neraka. Tuhan Yesus tidak pernah menolak manusia dari rancangan penyelamatan-Nya, manusialah yang menolak penyelamatan daripada Tuhan Yesus.

– Jonathan Nafesy El Ram®