Setelah itu, aku dengar suara Tuhan berfirman, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapakah yang mahu pergi bagi kita?” Maka kataku, “Ini aku, utuslah aku!”
– Yesaya 6:8

Pasti sangat mengujakan jika usaha mengkaji ayat demi ayat di dalam Yesaya 8. Bahkan lebih lagi mengujakan jika mengkaji mengenai malaikat serafim yang bersayap. Tetapi, fokus perkongsian pada hari ini adalah hal yang dapat kita praktikkan daripada pembacaan firman Tuhan ini. Petikan perbualan antara Tuhan dan Yesaya bermula dalam ayat 8 menjadi sangat menarik untuk kita pegang sebagai janji iman kita. Apabila malaikat datang menghampiri Yesaya lalu mendengar Tuhan mulai bercakap kepadanya. Tuhan bertanya siapakah yang akan diutus-Nya? Tanpa basa-basi, Yesaya menjawab bahawa dia rela untuk diutus! Yesaya berkata, “INI AKU, UTUSLAH AKU!” Tanda baca seruan (!) menggambarkan betapa Yesaya sangat bersemangat dalam menjawab pelawaan yang diajukan oleh Tuhan. Namun, keyakinan dan semangat Yesaya itu bukan sekadar ‘tin kosong’ tetapi sebaliknya akibat daripada penyucian hati yang telah dialaminya sebelum itu. Ketika Yesaya dalam ketakutan kerana tahu bahawa dia sangat berdosa dan layak dihukum mati, malaikat serafim diutus oleh Tuhan untuk menyucikan dia (ayat 5-7). Kesedaran bahawa Tuhan telah rela menyucikan hidupnya memberikan impak rohani yang sangat tinggi di dalam kehidupan Yesaya. Dia semakin yakin bahawa hidup baharunya adalah kerana Tuhan dan untuk Tuhan!

Tidak ada manusia yang suka apabila dirinya didapati bersalah bahkan kesalahannya ‘ditelanjangkan’ di hadapan umum. Tidak ada juga manusia yang mahu didapati bersalah lalu disahkan oleh saksi yang akhirnya akan menjatuhkan air mukanya atau akan memberikan akibat buruk kepada kehidupannya. Yesaya di dalam kesedarannya sebagai orang berdosa terperangkap dengan dosanya sendiri sehingga dia berkata (ayat 5), “Malangnya aku!” kerana dia menganggap bahawa Tuhan akan menunjukkan dosanya di hadapan umat Israel. Dalam keadaan ‘mati kutu’ seperti itu, Yesaya masih menikmati berkat Tuhan apabila dia diberikan peluang untuk melihat Tuhan secara peribadi. Itu adalah pengalaman yang memberikan sukacita terbesar kepadanya. Bahkan, Yesaya melihat malaikat serafim itu menjamah lidahnya dengan bara api sehingga dia dinayatakan bebas daripada dosa! Haleluyah!

Dalam keadaan kita sebagai manusia penuh dosa, langkah pertama yang kita harus lakukan adalah keluar daripada hidup bergelumang dosa adalah dengan menyedari serta mengakui kita adalah manusia berdosa. Langkah kedua adalah memohon kuasa Tuhan memulihkan kita dengan cara menyucikan hidup kita daripada dosa. Sama seperti yang dialami oleh Yesaya, dia mengakui dirinya penuh dengan dosa. Tetapi ketika menyedari kelemahan dirinya lalu berserah kepada kuasa Tuhan, maka kuasa Tuhan turun kepadanya dan menyucikannya. Anda dan saya harus menyedari bahawa hanya kuasa Tuhan sahaja yang mampu menyucikan kita daripada dosa; bukan usaha kita sendiri dan bukan juga kerana perbuatan baik kita. Maka, ambillah sikap Yesaya dalam teks ini sebagai sikap kita sebagai anak-anak Tuhan. Akui diri berdosa lalu mohon jamahan kuasa Tuhan memulihkan hidup kita.

Apabila kita mulai dipulihkan oleh Tuhan dan perjalanan hidup kita semakin benar kerana Tuhan yang memimpin, yakinilah bahawa Tuhan sebenarnya telah mengutus kita untuk melakukan perintah-Nya. Matius 28:19-20 merupakan amanah agung yang diberikan oleh Tuhan untuk semua orang percaya kepada-Nya. Anda dan saya diutus untuk memberitakan Injil di seluruh dunia. Jangan memberikan alasan bahawa tanggungjawab menjadi mubaligh atau penginjil adalah di kalangan para pastor, guru-guru Alkitab atau para pemimpin gereja sahaja. INI AKU, UTUSALAH AKU! Inilah prinsip dalam menjadi pengikut Tuhan. Siap sedia untuk diutus demi memartabatkan Injil iaitu, Yesus satu-satunya Tuhan dan Penyelamat seluruh umat manusia! Tuhan telah menyucikan anda dan saya bukan dengan api yang panas membara tetapi dengan darah-Nya yang tercurah! Maka, kita tidak ada alasan untuk takut atau tidak sedia menjadi saksi Injil ini. Yesus telah mengalahkan maut dan kuasa iblis tunduk di bawah kaki-Nya. Bila Tuhan telah ada di pihak kita, saat kita melangkah memberitakan Injil, kita tidak perlu takut. Kita hanya harus berserah kepada Tuhan dan berkata, “Ini aku, utuslah aku!

Ketika Allah bertanya kepada Yesaya, “Siapakah yang akan Kuutus?” ia tidak bermakna bahawa Allah tidak tahu siapa yang mahu melayani untuk misi-Nya. Tetapi Allah ingin kita menyedari bahawa Dia memberikan peluang kepada kita untuk menilai diri kita lalu berserah kepada-Nya sehingga ketika kita menerima panggilan daripada-Nya, kita bukan sahaja sedar bahawa kita sebenarnya tidak layak tetapi kita juga sedar bahawa kita sangat dikasihi oleh Allah sehingga kita dipanggil-Nya menjadi rakan sekerja! Itulah sebabnya ketika kita masih berdosa, kita telah dipanggil keluar daripada dosa lalu dipanggil untuk hidup kudus. Panggilan-panggilan ini bertujuan untuk membantu kita memahami bahawa kita dipanggil untuk menjalankan tanggungjawab pembawa Injil di dunia ini. Semoga kita terus bersemangat menjadi anak-anak Tuhan. Tetapi juga bersemangat menjadi rakan sekerja Tuhan dalam membawa Injil. Jangan mengeluh lalu berdalih, “Bukan aku, tapi dia” tetapi sebaiknya katakanlah, “Ini aku, utuslah aku”. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®