Lagu ziarah oleh Daud.
Alangkah baiknya dan indahnya
Apabila umat Allah hidup dengan rukun!
– Mazmur 133:1

Mazmur 133, karya Daud yang mengungkapkan kebenaran kerohanian dalam kehidupan harian umat Allah. Daud sungguh merindukan wujud kerukunan di kalangan umat Allah sendiri. Dalam mazmur ini, sekurang-kurangnya kerukunan yang diungkapkan oleh Daud memiliki dua kesan positif kepada pengamalnya. Pertama, gambaran dari rangkap 2, “seperti minyak yang berharga dituangkan ke atas kepala Harun” yang dapat kita fahami sebagai impak kekudusan hidup. Rupanya, umat Allah yang mengamalkan hidup rukun merupakan umat Allah yang dipandang kudus. Ia seperti kepentingan minyak berharga pada masa itu, apabila ia hanya akan digunakan untuk acara khusus keagamaan seperti mengurapi imam. Itulah sebabnya, Daud menggambarkan kerukunan itu seperti minyak berharga yang mengurapi kepada imam kerana Daud mendambakan nilai kekudusan hidup umat Allah dinyatakan dengan cara hidup rukun. Jika dilihat kepada konteks budaya pula, maka pengurapan minyak ke atas imam merupakan hari kesukaan kepada seluruh umat Allah sehingga kita boleh memahami bahawa minyak itu menjadi jambatan kepada Allah untuk digunakan dalam membawa sukacita kepada umat-Nya. Ketika minyak itu mengurapi imam yang telah terpilih, maka umat Allah mendapat wakil Allah dalam komuniti mereka dan mereka akhirnya dapat menyembah Allah dengan penuh keyakinan bahawa Allah bersama-sama dengan mereka. Impak positif kedua yang cuba dinyatakan oleh Daud dalam lagunya mengenai hidup rukun adalah melalui gambaran, “embun di atas Gunung Hermon yang turun ke bukit-bukit Sion”. Ini merujuk kepada penyegaran rohani umat Allah jika mereka sentiasa hidup rukun bersama. Embun hanya ada pada waktu pagi sebelum matahari terbit dan akan hilang apabila cahaya matahari menjamah permukaan yang dihinggapi embun. Tetapi, kehilangan embun daripada permukaan yang dihinggapi bukan bersifat buruk melainkan merupakan hal terbaik kepada permukaan tersebut kerana akhirnya permukaan tersebut akan mendapat zat-zat daripada embun dan cahaya matahari; ia dikenali sebagai proses fotosintesis pada zaman ini.

Demikian kehebatan mazmur yang dihasilkan oleh Daud untuk dinyanyikan oleh umat Israel. Ketika mazmur ini dihasilkan, umat Israel sedang bergerak secara beramai-ramai untuk menziarahi Yerusalem pada Hari Raya Agung menurut Taurat atau nyanyian para imam ketika mereka mendaki 15 tangga untuk melayani di Bait Allah. Bayangkan sahaja umat Israel yang dalam pembuangan akhirnya bersama-sama berarak ke Yerusalem setelah terasing di luar Yerusalem. Bukan puluhan orang, bukan ratusan atau ribuan tetapi jutaan orang. Dipimpin oleh pemimpin koir dan dinyanyikan bersama-sama ketika dalam perjalanan pendakian ke Yerusalem, betapa indahnya paduan suara dari hati mereka! Sehingga pada zaman kelahiran Yesus di tengah-tengah bangsa Yahudi, kerukunan itu juga yang diimpikan oleh Yesus untuk terjadi kepada manusia yang ada di dunia ini. Allah merindukan kerukunan terus terjadi di tengah-tengah himpunan manusia di dunia ini. Isi hati Allah disampaikan oleh Yesus dalam Yohanes 17 bahawa orang yang hidup rukun di dalam kasih Allah adalah orang yang sentiasa diancam oleh si Jahat kerana mereka bersatu sebagai keluarga Allah (ayat 15-16), sehingga Yesus memohon agar manusia sentiasa dilindungi oleh kebenaran firman Allah selepas Dia kembali ke Syurga (ayat 17). Yesus menganggap bahawa kerukunan hidup itu sangat penting dalam kehidupan umat Allah. Antara hukum terutama yang Yesus ajarkan kepada pengikut-Nya juga berkait rapat dengan prinsip kerukunan iaitu saling mengasihi sesama manusia.

Betapa pentingnya prinsip kerukunan ini sehingga bukan hanya Daud yang menggambarkan kerukunan melalui minyak berharga dan embun pagi, tetapi Yesus sendiri meletakkan prinsip kasih sebagai hukum terutama dalam prinsip menjadi Kristian. Bukan sekadar mengasihi Allah, mengasihi diri, mengasihi sesama tetapi juga mengasihi mereka yang memusuhi kita. Rangkuman daripada keseluruhan hukum kasih itu adalah agar kita hidup rukun dengan Allah dan hidup rukun bersama manusia! Si Jahat sentiasa menawarkan kehidupan yang kucar kacir di dunia ini. Si Jahat menghadirkan banyak kekeliruan di dalam keluarga, di dalam komuniti, di kalangan pemimpin bahkan paling menyedihkan di kalangan bangsa. Budaya yang beraneka tidak dihargai sebagai keunikan yang harus diraihkan bersama, tetapi sebaliknya dijadikan sebagai batu loncatan untuk mengapi-apikan perbalahan sesama manusia. Sejauh ini, si Jahat sentiasa berjaya dalam usahanya menjadikan dunia kacau dan tidak rukun. Kenyataannya, dunia ini tidak akan pernah rukun dengan sendirinya; dunia ini sudah lama tercemar oleh sikap yang diamalkan oleh manusia akibat godaan si Jahat. Tetapi, jika kita adalah umat Allah, maka kita seharusnya menyedari bahawa kita sangat dituntut untuk hidup rukun bersama dengan sesiapa sahaja. Jangan kita biarkan diri kita terjerumus dalam lembah kekacauan dunia. Semua kekayaan dan kekuasaan adalah kunci kepada kehancuran dunia dan keduanya langsung tidak menjadikan anda lebih berharga berbanding si miskin dan yang tertindas di dunia ini. Tetapi, hidup rukun menjadikan si kaya dan si miskin sama-sama sangat berharga di mata Tuhan.

Pilihlah pada hari ini kepada siapa kita mahu mengabdikan diri; Yesus Kristus sang Penyelamat dan TUHAN yang membawa kerukunan ke dalam dunia ini, atau si Jahat yang menawarkan tipu daya dalam berbagai caranya. Jika engkau memilih si Jahat, engkau mungkin berkuasa dan dipandang tinggi oleh komuniti, tetapi hidupmu akan menderita selamanya. Tetapi, jika engkau memilih Yesus Kristus sebagai Penyelamat dan TUHAN mu, maka engkau bukan sahaja membawakan kerukunan kepada dunia tetapi engkau juga akan menikmati kekekalan bersama Allah! Yesus Kristus terlebih dahulu telah menghadirkan kerukunan manusia dengan Allah melalui darah-Nya yang tercurah sebagai korban pendamaian anda dan saya. Haleluyah!

“Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.” – Yosua 14:15

Amin.

– HT Ram Jonathan®