Ikutilah Teladan-Nya

824

“Oleh itu, ikutilah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi. Hiduplah dalam kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah.”
– Efesus 5:1-2

Tindakan yang disarankan oleh Paulus kepada pembaca suratnya di Efesus dalam bahagian ini adalah agar mereka ‘meniru’ atau ‘melakukan sama seperti’ yang dilakukan oleh seorang anak taat terhadap ibubapa. Kata ‘meniru’ atau ‘mimik’ berasal dari kata Yunani dan Paulus bertujuan untuk menasihatkan jemaah di Efesus untuk meniru sikap-sikap orang Kristian yang dicatatkan di bab 4:32, “dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.” Paulus mahu agar jemaah di Efesus meniru sikap orang Kristian yang teruji benar seperti yang tercatat ini sebagai cerminan hidup mereka dalam keluarga Allah. Meskipun manusia telah jatuh dalam dosa sehingga imej suci Allah tercemar di dalam karakter manusiawi, namun dengan meniru karakter Yesus Kristus juga ditiru oleh para pengikut dan murid-murid-Nya, maka imej Allah itu diharap akan pulih dalam hidup jemaah di Efesus. Bukan kerana kekuatan usaha mereka sendiri tetapi kerana kerjasama di antara kasih Yesus Kristus yang tertanam di dalam hidup mereka serta bimbingan Roh Kudus yang telah diutus untuk menjadi penolong manusia dalam memulihkan hidup. Sebagai orang Kristian, Paulus menegaskan bahawa mereka harus ‘hidup’ dalam karakter saling mengasihi seperti yang telah ditunjukkan oleh Yesus Kristus dan sentiasa siap diri untuk tunduk setia kepada Allah dalam kehidupan mereka. Ini bermakna bahawa mereka perlu siap untuk ‘mematikan’ kedagingan mereka jika mereka ingin ‘hidup’ sebagai anak-anak Allah. Ayat-ayat seterusnya iaitu ayat 3-12 mencatatkan karakter-karakter yang mendatangkan dosa dan harus dimatikan dari hidup mereka.

Ternyata bahawa usaha menjadi orang baik tanpa beragama adalah hal normal dalam peradaban dunia. Tetapi, sekadar baik sahaja tidak akan pernah mencukup kerana kita harus sedar bahawa kita perlu memiliki teladan yang boleh dibanggakan dalam hidup kita. Jika kita meniru karakter tokoh terhormat di kalangan manusia, adakah kita yakin bahawa mereka manusia yang tidak berdosa? Atau, adakah kita yakin bahawa mereka lebih suci daripada Allah yang menciptakan manusia? Oleh itu, tokoh teladan yang harus kita ikuti bukanlah di antara sesama manusia, melainkan Yesus Kristus sendiri yang harus kita teladani. Mengapa harus meneladani Yesus Kristus? Kerana hanya Yesus Kristus sahaja yang tahu sepenuhnya kehendak Bapa terhadap manusia. Oleh itu, hanya Yesus Kristus sahaja yang layak menunjukkan karakter-karakter orang kudus dan karakter yang memuliakan Allah kepada manusia. Sedangkan manusia-manusia terhormat hanya memiliki karkater sesuai dengan daya berfikir logik mereka bahawa karakter mereka baik; tetapi baik belum tentu benar, sedangkan yang benar itu pasti baik! Kebenaran itu hanya datang daripada yang satu, Yesus Kristus. Jangan menjadikan agama sebagai panduan hidup tetapi jadikanlah Yesus Kristus sebagai panduan hidup kita, teladan hidup di dunia ini dan tirulah karakter yang Yesus Kristus telah tunjukkan kepada kita. Bagaimana untuk mengetahui karakter-karakter Yesus Kristus? Baca dan renungkanlah firman Tuhan iaitu Alkitab dengan sebaik-baiknya. Amalkan perintah yang benar, nescaya kita sedang meniru karakter ilahi daripada Yesus Kristus.

Marilah kita hidup dengan penuh kasih kerana Yesus Kristus menonjolkan karakter kasih dalam diri-Nya selama Dia hidup di dunia ini. Yesus Kristus bukan sekadar manusia, tetapi Dia adalah Tuhan yang telah menjelma menjadi manusia. Jika menggunakan akal logik, maka mustahil untuk anda menerima fakta bahawa Yesus Kristus sepenuhnya manusia namun juga sepenuhnya Allah. Yesus Kristus adalah Allah yang telah disembah oleh bapa leluhur manusia, turun ke dunia di antara manusia dan memilih untuk menunjukkan teladan kasih yang sempurna. Kasih yang sempurna ini ditandai dengan pengorbanan-Nya di salib sehingga mati di atas kerelaan-Nya sendiri. Namun kerana kasihnya yang sempurna, maka Dia bangkit dengan kuasa ilahi-Nya dan saat ini bertakhta di Syurga sebagai Tuhan dan Penyelamat manusia. Jika saat ini anda berseru kepada-Nya dan meminta keselamatan kekal daripada-Nya, maka Dia sangat setia dan adil untuk mengurniakan keselamatan itu kepada anda.

Hiduplah dalam kasih yang tulus terhadap sesama. Bukan dengan usaha kita sendiri untuk mengasihi sesama, tetapi mohonlah Roh Kudus untuk membimbing dan menguatkan kita dalam tindakan mengasihi. Jika bukan bimbingan daripada Roh Kudus, maka anda dan saya akan mudah putus asa dan kecewa. Ketika orang membenci kita, maka kita mudah lemah dan mulai untuk tidak mengasihi mereka. Ketika orang memfitnah dan menghancurkan kebahagiaan hidup kita, maka kita akan mudah sakit hati dan marah. Tetapi, jika selamanya kita bermohon kepada Roh Kudus untuk meneguhkan dan menguatkan kita agar tetap mengasihi dalam apapun keadaan, maka kita akan tetap mengasihi dengan sempurna. Kerana Roh Kudus adalah peribadi Allah sendiri dan sangat mustahil untuk Roh Kudus merasa putus asa atau penat untuk membimbing dan menguatkan kita. Kunci mudahnya adalah: IKUTILAH TELADAN daripada Yesus Kristus! Mengikuti Yesus Kristus tidak akan membuat anda rugi, sebaliknya akan membawa keuntungan kepada anda. Filipi 4:19 berkata, “Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus.” Ayat ini berkata bahawa Allah akan sentiasa memelihara umat-Nya dengan penuh kasih seperti seorang bapa yang memelihara anaknya dengan penuh kasih. Keperluan jasmani dan rohani kita akan dicukupkan oleh Allah dengan syarat kita harus memiliki persekutuan erat dengan Yesus Kristus di dalam hidup kita. Oleh itu, tetaplah teguh beriman kepada Yesus Kristus dan teladanilah Yesus Kristus. Semoga limpah berkat-Nya akan memenuhi hidup kita sepanjang masa. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®