“Dengan demikian, jika kamu telah bangkit bersama Kristus, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat Kristus duduk di sebelah kanan Allah. Tumpukan pemikirianmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi. Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah. Apabila Kristus yang merupakan kehidupan kamu itu telah muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.”
– Kolose 3:1-4

Pengenalan hidup seseorang kepada Kristus memberikan identiti baharu kepada dirinya sendiri. Orang itu bukan lagi hidup untuk dirinya, melainkan hidup tersembunyi bersama Kristus. Kehidupannya bukan lagi untuk menunjukkan kemegahan diri sendiri tetapi untuk menyatakan memuliakan Tuhan. Kita adalah manusia baharu yang telah mati dari kehidupan berdosa. Kita telah bangkit bersama Kristus dan kita dituntut oleh Kristus untuk mencari perkara-perkara yang berkaitan dengan kemuliaan syurga, bukan lagi perkara-perkara duniawi. Jika kita masih terus menerus memikirkan bahkan melakukan perkara-perkara duniawi, maka jiwa dan roh kita akan binasa kerana hidup kita bukan milik Tuhan. Kita akan hidup bersama dengan-Nya di dalam kerajaan syurga kelak. Dalam Kolose 3:1-4, Paulus mengingatkan kepada jemaah di Kolose agar sentiasa menyedari bahawa roh adalah bersifat kekal sehingga kehidupan orang Kristian harus melakukan hal-hal yang dilakukan oleh manusia yang akan hidup di dalam kerajaan kekal, iaitu syurga. Jemaah di Kolose diingatkan agar bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka selama mereka masih hidup di dunia ini dengan memperhatikan pengaruh hidup, gaya hidup, tingkahlaku dan pemikiran mereka. Paulus menggesa mereka untuk memperhatikan semua itu agar tetap sesuai dengan perkara-perkara syurgawi iaitu perkara-perkara yang mendatangkan kemuliaan kepada Tuhan.

Demikianlah hidup sebagai orang Kristian, bukan mudah tapi tidak sukar untuk dilakukan. Jika sukar untuk dijalankan, maka syurga pasti sedang sunyi sepi kerana tidak dihuni oleh orang-orang kudus. Tetapi, syurga menjadi sangat meriah kerana dihuni oleh orang-orang kudus yang telah setia kepada perintah-perintah Tuhan selama hidup mereka di bumi ini. Kesetiaan mereka bukan berdasarkan kekuatan akal dan fizikal mereka sendiri, melainkan di bawah kekuasaan Roh Kudus yang telah masuk di dalam hidup mereka selama berada di bumi. Oleh itu, perintah-perintah Yesus agar orang Kristian memikirkan perkara-perkara syurgawi bukanlah perintah yang mustahil dilakukan. Kita perlu memiliki sikap tunduk kepada kuasa Roh Kudus selama kita hidup memikirkan hal-hal syurgawi di dunia ini. Kita harus memiliki hikmat Roh Kudus untuk membezakan hal-hal duniawi dan hal-hal syurgawi. Kita harus berhikmat dalam memikirkan prioriti dalam kehidupan kita sehingga seharusnya apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk memuliakan Tuhan! Kita dapat melakukannya kerana kita telah mati dari sikap dosa lalu kita dan bangkit bersama-sama Kristus (ayat 1). Jika kita terus menerus melangkah dalam hidup kita bersama Kristus, bersembunyi di bawah kekuasaan Yesus, maka kita dapat menjalani kehidupan ini dengan cara syurgawi. ‘tersembunyi bersama Kristus dalam Allah’ membawa makna bahawa kita memiliki perlindungan dan kemuliaan di dalam Yesus kerana yang memimpin kita di hadapan adalah Kristus dan apabila Kristus memimpin, maka pimpinan-Nya adalah penuh dengan kemuliaan Allah (ayat 4). Itulah sebabnya kita harus tetap berlindung di bawah kekuasaan-Nya, agar kita tetap dilindungi dari kejahatan dunia ini.

Marilah kita mengalami transformasi hidup selama kita berada di dunia ini. Transformasi hidup yang berpaksi kepada perkara-perkara syurga. Meskipun kita tidak akan memiliki kemegahan untuk diri kita sendiri, tetapi bersembunyi di bawah kekuasaan Yesus juga adalah lebih indah. Ketika kita mengambil komitmen untuk melangkah di bawah pimpinan kuasa Yesus, maka kita secara sengaja sedang memikirkan hal-hal syurgawi di dalam kehidupan kita. Ketika kita diperhadapkan dengan ancaman dosa dan maut, kita tidak akan takut kerana tongkat dan gada Yesus akan memimpin hidup kita (Mazmur 23:4). Ketika kita berhadapan dengan keinginan hawa nafsu (ayat 5-7), berhadapan dengan karakter berdosa yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang kudus (ayat 8-9), kita dapat melalui semuanya itu kerana kita telah diberikan jubah kemuliaan oleh Yesus melalui darah-Nya yang mahal. Kita akan menyerupai Yesus di dalam tindakan dan fikiran kita kerana kita dibangkitkan bersama-sama dengan-Nya dan kita hidup bergaul rapat dengan-Nya. Dunia moden mungkin menawarkan banyak kesenangan jika kita tetap memikirkan dan melakukan hal-hal keduniawiaan, tetapi ianya adalah sangat bersifat sementara. Bahkan, hampir semua keinginan duniawi berkait rapat dengan kehancuran rohani kita sehingga kesannya lebih parah iaitu kehilangan tempat untuk kita di syurga kekal. Itulah sebabnya Paulus memberikan penekanan kepada jemaah di Kolose agar memperhatikan dengan seadil-adilnya hidup mereka, sama ada mereka memilih melakukan perkara-perkara syurgawi atau sebaliknya iaitu kehendak duniawi. Kita sebagai anak-anak Tuhan harus berhikmat dalam memilih kehidupan kita selama di dunia ini. Marilah kita tingkatkan kualiti hidup kita ketika kita masih hidup di dunia ini; tingkatkan kualiti rohani di dalam Kristus dan tingkatkan tindakan-tindakan syurgawi yang memuliakan Tuhan. 2 Petrus 1:3-8 harus dijadikan pedoman dalam hidup sebagai orang salih di dunia ini. Kuasa ilahi Allah telah memberikan kita pengetahuan bahawa iman dan tindakan harus berkembang seimbang selama kita hidup di dunia ini. Semoga saat kita bersembunyi di bawah kekuasaan Yesus, hidup kita tetap menyatakan kemuliaan-Nya dan apabila Dia datang kedua kalinya ke dunia ini, kita akan dibawa bersama tinggal di Rumah Bapa yang kekal. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®