Hidup Sebagai Anak-Anak Allah

344

Kerana jika kamu hidup menurut sifat tabii yang berdosa, kamu akan mati; tetapi jika dengan Roh itu kamu mematikan perbuatan-perbuatan salah tubuhmu, kamu akan hidup, kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah.
– Roma 8:13-14

Kalimat kata ‘kerana’ dalam ayat 13 jelas menunjukkan kepada kita bahawa terdapat keadaan yang ingin ditunjukkan oleh Paulus kepada pembacaan suratnya ini. Jika kita menelusuri perikop Roma 8:1-17, maka kita tahu bahawa Paulus bercakap mengenai keadaan manusia yang hidup dengan sifat tabii mereka dan keadaan manusia yang hidup dengan kuasa Roh didalam hidup mereka. Keadaan manusia yang mempraktikkan sifat tabii atau sifat alamiah manusia iaitu lebih mudah melakukan kesalahan dan dosa, maka keadaan manusia seperti ini adalah mati; atau dalam erti kata lain manusia yang hidupnya suka melakukan dosa akan berakhir dengan penyeksaan oleh api neraka. Sementara itu, Paulus menekankan keadaan manusia yang hidup menurut kekuatan Roh dengan setia mematikan perbuatan-perbuatan salah tubuh mereka, maka mereka akan hidup sebagai anak-anak Allah. Dalam erti kata lain, keadaan manusia yang dipimpin oleh Roh adalah terjamin kekal di dalam Syurga. Paulus bukan bermaksud untuk menghakimi manusia sesuka hatinya sahaja tetapi Yesus sebagai Tuhan sendiri sudah menjelaskan bahawa tidak ada tuhan di alam semesta ini yang lebih berkuasa daripada-Nya, bahkan hanya Dia sahaja Tuhan yang dapat memberikan hidup kekal dan benar di hadapan Allah (Yohanes 14:6). Paulus hanya meneruskan ajaran iman mengenai keselamatan kepada para pengikut Yesus dengan caranya tetapi kebenaran yang dia telah pelajari daripada Yesus sendiri adalah sama.

Ramai manusia di bumi ini yang berjaya dalam kerjaya, ekonomi dan juga status sosial mereka. Ada yang bergelar jutawan, bilioner; ada juga bergelar tokoh kehormat, yang berhormat; malah ada juga yang menempa gelaran akademik tertinggi. Namun demikian, masih ramai juga manusia yang hidup tanpa tujuan sebenar. Tujuan hidup yang sebenar sebagai manusia adalah menjadi anak-anak Allah. Jika manusia memilih untuk hidup menurut sifat tabii mereka, maka mereka telah memilih untuk hidup luar daripada tujuan sebenar mereka hidup di dunia ini. Tanpa mengira anda dan saya daripada latarbelakang yang susah, sederhana, senang atau bahagia, semua perbezaan jalan kehidupan seperti ini seharusnya dipertemukan di titik persamaan yang sama iaitu sebagai anak-anak Allah! Malangnya ada yang sengaja memilih untuk tidak menjadi anak-anak Allah kerana mereka tidak mahu hidup di bawah kekuasaan Roh, mereka mahu hidup bebas; bebas melakukan dosa dan bebas daripada tuntutan untuk menjaga kekudusan diri ketika masih hidup di dunia ini. Ada juga yang sengaja memilih untuk hidup sesuai sifat tabii kerana mereka merasakan bahawa kehidupan kekal yang ditawarkan oleh Yesus hanyalah sebuah kisah sejarah yang boleh sahaja dianggap sebagai sebuah cerita tradisi Yahudi sahaja; mereka tidak percaya bahawa Syurga dan hidup kekal itu wujud.

Paulus menegaskan dalam ayat 13-14 bahawa sesungguhnya hidup manusia ditentukan kepada siapa kita menyerahkan hidup kita. Jika kita berkata bahawa kita menyerahkan hidup ini kepada Roh Kudus, maka tindakan luaran dan roh kita harus benar-benar diserahkan kepada Roh Kudus untuk dipimpin-Nya. Perbuatan-perbuatan kita akan mencerminkan siapa yang kita sembah; perbuatan yang memuliakan Allah pasti akibat daripada penyerahan hidup kepada Roh Kudus sehingga meskipun masih digodai oleh dosa, kita tetap bertahan untuk menjaga kekudusan kita. Malangnya, ada yang berputus asa menjaga kekudusan hidup kerana mengakui tidak mampu menahan godaan si iblis. Tetapi tahukah kita bahawa kita memang tidak dapat menahan godaan si iblis jika hanya berdasarkan kekuatan kita sendiri, sebaliknya adalah kita harus menyerahkan hidup kita untuk dikuasai dan dipimpin oleh Roh Kudus dari awal sehingga akhir setiap detik perjuangan hidup kita! Manusia lain tidak dapat melihat sejauh mana pergumulan kita menjaga kekudusan tetapi saat kita dilihat berbeza daripada mereka, berbeza dari segi penyerahan hidup daripada keinginan daging kepada keinginan Roh Kudus, maka kita sebenarnya sedang dikuasai oleh Roh Kudus. Saat mereka melihat kita tampil berbeza lalu ada segelintir yang berusaha menjatuhkan iman kita atau meminggirkan kita daripada pertemuan bersama, maka yakinilah sesungguhnya kita tidak kerugian apa-apa kerana Sahabat sejati kita iaitu Roh Kudus sentiasa ada bersama-sama kita.

Oleh itu, marilah kita tetap setia menjadi anak-anak Allah dan sentiasa merindukan pimpinan dan sapaan kasih daripada Allah di setiap detik dalam hidup kita. Anak-anak Allah tidak akan dibiarkan jatuh tergeletak sehingga hancur oleh kejahatan dunia. Anak-anak Allah akan hidup penuh bangga sebagai Kristian, penuh kasih terhadap sesama dan penuh penyerahan kepada Roh Kudus sehingga setiap kali kita dijatuhkan oleh kuasa dunia, Allah sendiri yang akan berperang bagi kita dan menang untuk kita! Kita tidak akan dipaksa untuk menyaksikan kebenaran kasih Allah tetapi Roh Kudus sendiri akan membimbing kita sehinga setiap langkah kita dengan sedar kita mahu memuliakan Allah dengan penuh ikhlas dan sukacita. Semoga kita tetap memilih untuk diam dalam dekapan kasih Bapa dan hidup tetap sebagai anak-anak Allah. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®