“Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau,
dan mengutuk orang yang mengutuk engkau.
Melalui engkau,
Aku akan memberkati semua bangsa.”
Kejadian 12:3

Kisah penuh dari Kejadian 12 adalah mengenai Allah yang membuat perjanjian dengan Abram untuk memberkatinya dengan sebuah berkat yang baharu iaitu sebuah tanah perjanjian. Abram pada masa itu berumur 75 tahun dan bukannya muda lagi. Tetapi, bukan hanya memberikan tanah dan hasil ekonomi yang terbaik malahan akan memberkati Abram dengan berkat penyertaan berbentuk keselamatan dan keamanan sepanjang hidupnya. Allah berjanji bahawa sesiapapun yang memberkati Abram, akan diberkati oleh-Nya; tetapi jika orang mengutuki Abram maka Allah akan mengutuki orang tersebut. Demikian hebatnya kuasa Allah yang menyertai Abram sehingga Abram dikenali sebagai ‘bapa segala bangsa’ di dunia ini.

Pembacaan pada kali ini memiliki dua sisi praktikal iman yang boleh kita amalkan bersama-sama. Dengan pemahaman bahawa orang Kristian harus menjadi berkat bagi semua orang kerana Allah sangat menekankan prinsip saling memberkati kepada orang Kristian. Ertinya sikap Kristian adalah mengasihi semua orang tanpa memilih siapa yang harus dikasihi dan sebahagian lagi harus dibenci. Mustahil untuk memiliki sikap ingin memberkati tetapi tertanam sikap benci pada seseorang, melainkan haruslah sikap mahu memberkati itu disaluti dengan sikap mengasihi sahaja. Demikian hebatnya pengajaran memberkati yang Allah tekankan dalam peribadi Abram sehingga akhirnya telah dibuktikan oleh seorang Peribadi yang datang dari keturunan Abram sendiri, mengasihi seluruh dunia dan merelakan diri-Nya untuk mati menebus hidup setiap manusia di dunia ini. Peribadi itu adalah Yesus Kristus, sang Mesias yang disebutkan Allah dalam Kejadian 12:3b, apabila Allah menyatakan “Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi ini”.

“Berkat” bagi seluruh bumi yang Allah janjikan telah dibuktikan apabila Yesus lahir ke dunia ini dan telah memberikan diri-Nya untuk dijadikan berkat keselamatan bagi seluruh manusia yang hidup dari dahulu, sekarang dan yang akan datang. Berkat keselamatan yang dijanjikan Allah kepada seluruh bangsa di dunia ini datang melalui kasih Yesus kepada dunia ini seperti yang dinyatakan dalam Yohanes 3:16, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal”. Kelahiran Yesus telah memberikan peluang kepada semua manusia untuk menikmati berkat keselamatan iaitu kehidupan kekal bersama-Nya di dalam Kerajaan kekal.

Lalu, apa fungsinya orang Kristian hidup di dunia ini selama dia bernafas? Satu daripada banyak tujuan adalah untuk menjadi berkat kepada orang lain. Kerana kita sebagai Kristian menyedari bahawa hidup yang kita miliki memiliki nilai tambahan berbanding manusia lain yang belum menerima berkat keselamatan dari Yesus, maka ia adalah kewajipan kita untuk berkongsi berkat keselamatan itu kepada orang lain. Dengan harapan bahawa mereka akan melihat dan menikmati kasih sejati Yesus di dalam hidup kita. Jika akhirnya Roh Kudus membuka hati mereka untuk mengenal Yesus melalui sikap hidup kita dan akhirnya mereka juga akan menikmati berkat keselamatan yang telah kita nikmati.

Jangan menjadi Kristian yang ‘sombong rohani’, mengaku Kristian tetapi menyimpan nilai rohani untuk diri sendiri sahaja. Jangan juga menjadi ‘Kristian ekslusif’, menganggap bahawa hanya orang Kristian yang dikasihi Tuhan. Allah mengutus Yesus ke dunia ini untuk semua manusia dan peranan kita sebagai penerima kasih Yesus untuk berkongsi kasih agape itu kepada orang yang belum menerimanya. Haleluyah!

Yesus, Sang Mesias yang telah lahir ke dunia ini;
aku mengucap syukur untuk berkat kasih yang Engkau berikan kepada ku.
Yesus, Sang Mesias yang telah lahir dalam hati ini;
pimpinlah hidup ku untuk berkongsi berkat Mu kepada orang lain.
Agar nama-Mu dimuliakan dalam hidup mereka,
kuasa-Mu diperlihatkan dalam hidup mereka.
Seperti Engkau mengasihi aku,
maka aku mahu mengasihi mereka.
Amin.