Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.
– Yohanes 17:3

Hanya Yesus satu-satunya JALAN untuk mengenal ALLAH yang benar. Sesungguhnya pernyataan ini tepat dan sahih kerana ia datang daripada Tuhan sendiri. Yesus Kristus adalah Tuhan yang memperkenalkan diri-Nya kepada kita. Yohanes (17:3) menyatakan bahawa manusia yang mengenal Yesus akan mengenal Allah yang benar. Bukan sahaja manusia akan mengenal Allah yang benar melalui utusan-Nya, Yesus, tetapi manusia juga akan mendapat kehidupan yang kekal dan sejati. Perjuangan rohani orang percaya bukan berhenti setakat mempercayai Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat. Kehidupan rohani orang Kristian juga tidak berhenti setakat giat melayani di acara-acara kerohanian atau memberikan segala yang dimiliki untuk tujuan pelayanan. Kehidupan rohani orang Kristian bermula dengan mengenal Allah yang benar. Mengenal Allah yang benar bermaksud mengenal kebenaran-kebenaran yang ditawarkan oleh Allah melalui firman-Nya yang tercatat di dalam Alkitab, melalui ajaran para rasul dan melalui hubungan peribadi kita dengan Allah.

Ketika Yesus menyatakan diri-Nya sebagai satu-satunya JALAN di dalam petikan lain dari Injil Yohanes (14:6), Yesus dengan tegas menyatakan bahawa ‘hanya melalui’ Dia sahaja maka manusia akan mengenal Allah yang benar sesungguhnya. Ini bermakna bahawa Allah yang diperkenalkan oleh agama-agama lain harus dipertimbangkan tingkat kebenarannya kerana dalam ajaran agama lain, Allah tidak diperkenalkan oleh Yesus! Allah dalam agama lain juga tidak memiliki hubungan kesatuan dengan Yesus! Allah dalam agama lain juga tidak memiliki keseteraan kuasa dengan Yesus. Ini bermakna bahawa di luar daripada kebenaran yang Yesus tawarkan, tidak ada pengenalan terhadap Allah yang benar. Di luar kebenaran yang Yesus tawarkan, tidak ada kehidupan yang kekal. Dalam erti kata lain, sesiapa sahaja yang menolak Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka, maka tidak ada hubungan yang benar di antara mereka dan Allah yang benar. Alangkah ruginya menolak Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat, kerana sesungguhnya tidak akan ada kehidupan yang kekal untuk anda!

Memahami bahawa Yesus satu-satunya JALAN untuk mengenal Allah yang benar, maka wajar sekali untuk kita turut memahami bahawa Allah yang dinyatakan oleh Yesus adalah diri-Nya sendiri. Dari bab lain Injil Yohanes, dinyatakan oleh Yesus sendiri bahawa Dia dan Bapa adalah satu (10:30). Kerana itulah Yesus menyatakan dengan tegas sebelumnya bahawa Dia datang untuk memberikan hidup kekal dan sejati kerana tawaran itu adalah kesatuan daripada tawaran yang Dia dan Bapa persetujui bersama untuk diberikan kepada manusia yang menerima-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka (Yohanes 10:28-29). Selama Yesus bersama-sama dengan para murid-Nya, Dia selalu mengajarkan mereka hal-hal yang benar mengenai Allah yang benar. Sedangkan Yesus bukanlah orang terpelajar dari segi pendidikan Yahudi seperti golonga agamawan (imam Farisi dan Saduki) atau ahli falsafah agama seperti Paulus. Tetapi, pengetahuan-Nya mengenai Syurga, tafsiran kitab-kitab Taurat bahkan janji-janji profetik semuanya Dia kuasai. Bahkan, tidak ada manusia yang bangkit sendiri selepas kematian-Nya selain Yesus. Kenapa hal ini dianggap mukjizat oleh manusia? Kerana peristiwa-peristiwa seperti ini tidak pernah dialami oleh manusia sebelum-Nya. Tetapi, jawapan yang lebih tepat adalah ‘kerana Yesus adalah Allah!’ Maka semuanya tidak mustahil bagi Allah.

Sempena dengan musim Adven, mari kita sama-sama memiliki tiang iman yang menerangi kehidupan kita pada masa-masa sukar seperti sekarang ini. Perayaan Natal pada tahun ini pasti tidak seperti sambutan meriah di tahun-tahun sebelumnya, tetapi usahalah diri untuk mengetahui sesungguhnya kedatangan Allah ke dunia ini melalui kelahiran Yesus adalah sangat penting untuk kita sama-sama imani. Yohanes 3:16 menyimpulkan misi Allah yang dijanjikan-Nya di dalam Kejadian 3:15. Allah yang benar telah menyatakan diri-Nya kepada manusia melalui inkarnasi (penyataan diri dalam rupa bentuk lain) di tengah-tengah dunia yang penuh kejahatan dan manusia yang berdosa. Kelahiran-Nya menamatkan belenggu dosa seluruh manusia. Sehingga setiap orang yang datang kepada-Nya tidak akan binasa melainkan beroleh hidup yang kekal. Jika Allah yang benar telah sanggup datang kepada kita yang berdosa, kenapa masih ramai manusia berdosa dan layak masuk ke dalam api penyeksaan masih mahu berdalih untuk menolak Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Adakah mereka tidak takut akan penyeksaan yang tidak ada akhirnya di api neraka itu? Tawarkanlah undangan Natal kepada mereka dan hadiahkanlah kasih Yesus kepada mereka. Kekuasaan Roh Kudus yang mengungkapkan kebenaran di dalam hati manusia pasti akan mengerjakan kebaikan kepada mereka. Salam Natal. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®