Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi lebih baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka.
– Roma 3:23-24
Jika kamu mati pada hari ini dan berhadapan dengan Allah, apakah alasan kamu untuk meminta Allah memasukkan kamu ke dalam kerajaan Syurga? Adakah kerana kamu lebih baik daripada orang lain di dunia ini? Adakah kerana kamu memberikan segala harta demi kebaikan manusia di seluruh dunia ini? Apakah kerana kamu tidak melakukan kejahatan sama sekali selama kamu hidup di dunia ini? Tidak ada satupun alasan yang disebutkan akan menjamin kamu dapat masuk ke dalam kerajaan Syurga. Paulus dalam suratnya kepada jemaah di Roma menyatakan bahawa semua manusia adalah berdosa dan jauh daripada Allah. Maksud ‘berdosa’ dalam pernyataan tersebut adalah setiap manusia telah mewarisi sifat berdosa yang telah dibenihkan oleh Adam dan Hawa saat mereka membuat keputusan untuk menentang perintah Allah ketika mereka berada di taman Eden. Mereka bahkan telah disingkirkan dari taman Eden dan tidak lagi dapat berhubung secara peribadi dengan Allah seperti mereka masih berada di taman Eden; mereka berkomunikasi terus dengan Allah dan hidup dibawah penjagaan Allah. Demikian mereka diusir dari taman Eden, mereka beranak cucu sehingga setiap manusia di dunia ini merupakan keturunan mereka dan setiap kita telah mewarisi sikap berdosa dari mereka. Ketika manusia telah diusir daripada taman Eden, Allah mendatangi mereka dan berjanji di hadapan mereka serta di hadapan si ular bahawa akan ada pemusnahan terhadap kuasa iblis dari keturunan manusia juga (Kejadian 3:15) dan ternyata janji itu telahpun digenapi oleh Allah melalui diri-Nya sendiri yang telah datang kepada manusia dalam rupa bentuk manusia (Yohanes 1:1-4,14,18). Demikianlah yang diakui sendiri oleh Yesus bahawa Dia adalah dari Syurga dan datang kerana kasih-Nya kepada dunia dan manusia sehingga sanggup mati untuk menebus manusia daripada dosa (Yohanes 3:16-18).
Demikian hebatnya Allah yang sanggup datang ke dunia dan tinggal bersama-sama manusia serta hidup sebagai manusia. Allah yang telah mengambil rupa manusia dalam diri Yesus bukan sahaja datang memberitakan keselamatan kekal, tetapi Dia sendiri merupakan jalan kepada keselamatan kekal itu. Melalui Dia, kuasa iblis telah dihancurkan. Sepatutnya, hanya iblis dan syaitan yang hidup diseksa di neraka. Wahyu 20:10 menyatakan, ‘Kemudian Iblis yang telah menipu mereka itu dibuang ke dalam lautan api dan belerang. Di situlah tempat binatang itu dan nabi palsu itu telah dibuang dahulu. Mereka semua akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya.’ Neraka sesungguhnya dicipta untuk menyeksa kumpulan penyesat manusia sahaja. Tetapi, sungguh jelas dalam Roma 3:18 turut menyatakan kebenaran firman Tuhan, “Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal.” Tiada satupun manusia di dunia ini terluput daripada penyeksaan neraka dengan perbuatan baik mereka. Hanya dengan percaya kepada Yesus Kristus, menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, menyembah Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat dan hidup sesuai perintah Yesus Kristus, inilah yang menjadikan kita terlepas daripada hukuman api neraka. Agama-agama lain di dunia ini boleh sahaja berdebat dengan kita mengenai Yesus Kristus, tetapi tidak ada satupun daripada agama-agama di dunia ini dapat menjanjikan keselematan kekal melalui iman kepada Tuhan. Hanya Yesus Kristus yang menjanjikan keselamatan kekal kepada kita kerana Dia adalah Allah yang datang dari Syurga dan turun ke dunia untuk menjadi Tuhan dan Penyelamat kita!
Bagaimanakah manusia dapat menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi mereka? Yesus sendiri berkata kepada kita bahawa Dia yang datang kepada manusia dan sesungguhnya Yesus telahpun datang kepada kita, setiap daripada kita dapat melihat Yesus. Bukan kerana kita lebih berakal pintar daripada orang lain atau lebih kaya atau lebih berjawatan tinggi daripada orang lain, tetapi kerana Yesus sendiri telah turun ke dunia ini untuk bertemu dengan anda dan saya. Jika lebih dari 2000 tahun lalu, Yesus datang kepada manusia melalui bangsa Yahudi, pada ketika ini, Yesus datang kepada kita melalui iman percaya kita kepada-Nya. Selama kita berseru kepada-Nya di dalam doa kita, kita akan ditemui oleh-Nya. Kita tidak perlu mengamalkan kehidupan baik untuk diundang menjadi keluarga Allah. Jesteru, kerana kita semua adalah manusia berdosa maka kita diundang untuk menjadi keluarga-Nya. Yesus akan memulihkan hidup kita menjadi baharu dalam kerohanian dan kehidupan kita. Tidak ada cara lain yang Yesus gunakan selain daripada kebenaran firman Tuhan yang telah dicatatkan dalam Alkitab, kesaksian orang-orang di sekeliling kita serta melalui komunikasi peribadi kita dengan Yesus dalam doa; semua hal ini dipakai oleh Yesus untuk memulihkan hidup kita ketika kita mengambil keputusan untuk menerima Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat kita. Jangan menunggu masa anda menjadi lebih baik, menjadi lebih kaya, menjadi lebih sopan santun atau menjadi lebih mulia daripada orang lain dan kemudian baru mahu menerima Yesus sebagai Tuhan dan satu-satunya jalan kepada keselamatan kekal. Hari ini, saat ini dan ketika ini juga engkau boleh menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi mu! Jika engkau sudah menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi mu selama ini, jangan tunggu musibah menimpa, kesusahan melanda atau malapetaka menghancurkan dirimu, baru engkau mahu dipulihkan oleh Yesus. Hidupilah iman mu kepada Yesus dengan doa, penelaahan firman Tuhan dan pelayanan sesama kerana itulah peranan anda dan saya sebagai ahli keluarga Allah. Haleluyah!
– HT Ram Jonathan®