“Kerajaan syurga sama seperti seorang yang berpergian dan memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.”
– Matius 25:14

Perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk memahami ayat 14 adalah dengan membaca keseluruhan perikop yang menceritakan perumpamaan ini. Maka perikopnya iaitu daripada ayat 14 sehingga 30, kita akan tahu bahawa perumpamaan yang digunakan oleh Yesus ini adalah mengenai cara Allah mengadili manusia sesuai kesanggupan kita untuk menggunakan talenta yang telah diberikan-Nya. Dalam perikop pembacaan iaitu Matius 25:14-30, Yesus menyediakan beberapa watak hamba dan setiap hamba itu diberikan amanah untuk menjaga talenta serta diharapkan untuk melipatgandakan talenta tersebut. Talenta adalah ukuran timbangan Ibrani yang mana 1 talenta sama dengan 34 kilogram atau jumlah mata wang sebanyak 6000 mina (Lukas 19:13). Dalam perumpamaan ini, Yesus bukan sekadar memberikan contoh wang yang bernilai tinggi tetapi secara tersirat Yesus mahu memberikan makna talenta secara rohani sebagai sikap kemampuan, kesanggupan, kebijaksanaan atau kurnia. Maka, seorang yang diberikan lima talenta atau sesuatu yang seberat 170 kilogram dan menggandakannya menjadi 340 kilogram (ayat 15-16), seorang lagi diberikan menerima 2 talenta dan menggandakannya juga (ayat 17), tetapi seorang hamba lagi yang sekadar menerima 1 talenta tidak bertindak untuk menggandakan talenta tersebut sebaliknya menyembunyikan di dalam tanah sahaja (ayat 18). Setelah beberapa tempoh, tuan kepada hamba-hamba tersebut kembali dan memanggil ketiga-tiga hamba tersebut. Untuk kedua hamba yang berjaya melipatgandakan talenta yang diamanahkan, tuan memuji bahkan memberikan anugerah kepada mereka (ayat 21, 23). Namun hamba yang tidak berbuat apa-apa untuk melipatgandakan talenta yang diamanahkan kepadanya mempertahankan kesalahannya tetapi tuannya bahkan mengutuk dan memberikan hukuman rampas harta kepadanya (ayat 26-28).

Orang-orang Kristian adalah anak-anak kesayangan Allah, tetapi juga adalah hamba yang dikasihi oleh Allah. Kerana kita memiliki tanggungjawab yang berbagai di dalam keluarga Allah, maka kita juga harus menyedari bahawa kita telah diberikan amanat untuk mengembangkan kerajaan-Nya dan sesuai dengan kurnia-kurnia yang kita miliki, kita dituntut untuk melipatgandakan buah dari kurnia-kurnia yang kita miliki. Jika ada hamba Tuhan yang berdalih untuk mengelakkan daripada berbuah lebat, maka dia adalah hamba yang tidak setia. Sama seperti hamba yang memiliki satu talenta dalam perumpamaan yang Yesus berikan; menerima tetapi menyimpan diam-diam lalu lebih banyak membazir masa berfikir untuk mencari alasan munasabah dengan harapan Tuhan akan menerima alasannya. Mungkin ada di antara kita akan memberikan alasan kita terlalu sibuk melayani keperluan keluarga, sakit-penyakit yang menghalang kita bebas bergerak dalam melayani, memiliki kekurangan upaya fizikal sehingga tidak yakin diri di hadapan orang lain atau juga mungkin kita hanya mahu menjaga kerohanian kita sendiri kononnya. Tetapi apapun alasan yang kita mahu berikan kepada Tuhan demi menegakkan kesalahan kita, Tuhan lebih tahu dalam hati kita bahawa kita sengaja tidak mahu berbuah lebat bagi-Nya. Lebih menyedihkan adalah apabila kurnia-kurnia yang kita miliki akhirnya dirampas lalu diberikan kepada orang lain.

Oleh itu, seperti firman Tuhan dalam Efesus 5:15-17 berkata, “Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana, dan pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana. Dengan demikian, janganlah bodoh, tetapi mengertilah kehendak Tuhan.” Kita dituntut untuk berhati-hati dengan tindakan dan pemikiran kita kerana kita memiliki hikmat daripada Roh Kudus untuk mengusahakan agar kurnia yang kita miliki dapat memberkati orang lain dengan pelbagai cara. Sesiapa yang menjadi Kristian tetapi tidak bertindak untuk memberkati orang lain dengan kurnia yang dia miliki, maka mereka adalah orang bodoh yang berpura-pura tidak mengerti kehendak Tuhan dalam hidupnya. Itulah sebabnya sangat penting untuk setiap orang Kristian memiliki persekutuan yang indah bersama rakan seiman; ia akan membantu kita dalam mengerti kehendak Tuhan dan larangan Tuhan; sama ada dalam doa bersama, pembelajaran firman Tuhan mahupun pelayanan bersama-sama. Janganlah menjadi orang bodoh yang hanya berdiam diri seperti seorang yang memiliki lampu suluh tetapi menyembunyikannya di bawah bakul sedangkan ia sebenarnya boleh membantu rumah agar orang di dalam rumah tersebut dalam melihat keadana rumah dengan lebih selamat (Matius 5:15).

Marilah kita memahami berkat dari talenta yang Tuhan berikan kepada kita bukan untuk diri kita sendiri sahaja tetapi juga untuk manusia lain juga. Jangan jadikan talenta yang Tuhan berikan sebagai milik mutlak peribadi kita kerana ia adalah kepercayaan tanggungjawab daripada Tuhan (ayat 15). Kita harus menjadi hamba yang diberkati untuk memberkati orang lain sehingga kita tidak boleh bermalas-malasan dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian. Orang malas lebih rajin memberi alasan untuk membenarkan kesalahan, sedangkan orang rajin memberi dirinya untuk mengerjakan amanah sebaik mungkin. Belajarlah menghargai berkat daripada Allah kerana kita sebagai hamba yang diberkati tidak mampu melakukan apa-apa kebaikan jika bukan kerana kurnia-kurnia daripada Allah. Marilah kita menjadi hamba yang setia dan akhirnya diberkati oleh Allah dan bukannya dikutuki oleh-Nya. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®