Tetapi Yesus berkata, “Janganlah ganggu wanita ini! Biarlah dia lakukan perkara ini untuk hari penguburan-Ku! Orang miskin sentiasa ada antara kamu, tetapi Aku tidak selalu bersama-sama – kamu.”
– Yohanes 12: 7-8

Minggu ini dalam kalendar orang Kristian merupakan minggu penting untuk memperingati Yesus yang dicatatkan bahawa ini merupakan minggu terakhir sebelum Dia menunaikan nubuatan diri-Nya sebagai Penebus bagi manusia dari dosa-dosa. Hari ini dikenali sebagai Isnin Kudus (Holy Monday) yang terkelompok dalam Minggu Kudus (Holy Week) sebelum merayakan perayaan Jumaat Agung (Good Friday) dan Paskah (Easter Sunday). Sesuai dengan firman Tuhan yang tercatat dalam Yohanes 12: 1-11, penulis Injil Yohanes mencatatkan cerita Yesus bersama para murid-Nya mengunjungi Betania untuk persiapan perayaan Paskah. Tiba-tiba Matia mengurapi kaki Yesus dengan minyak wangi yang mahal dan menyapu kaki-Nya dengan rambutnya sendiri (ayat 3). Namun tindakan Maria itu mengundang rasa tidak senang kepada Yudas kerana menganggap tindakan itu adalah pembaziran kerana Yudas berpendapat lebih baik minyak mahal itu dijual dan wangnya digunakan untuk membantu orang miskin (ayat 5). Tetapi, Yesus mengetahui tujuan kata-kata cadangan Yudas itu, ia bukan bertujuan seperti yang dikatakannya kerana Yudas sebenarnya lebih tertarik untuk memiliki wang kerana sikapnya seorang pencuri (ayat 6). Untuk membela tindakan Maria dan dalam masa yang sama menegur Yudas serta mengajar para murid lain bahawa tindakan Maria adalah benar, maka Yesus menjelaskan bahawa Maria sedang melakukan hal yang benar (ayat 7-8).

Yesus bersama para murid-Nya sedang menikmati hari-hari terakhir bersama-sama sebelum Dia ditangkap dan disalibkan. Maria datang mengurapi kaki Yesus sebagai tanda penggenapan bahawa Yesus akan mati tidak lama lagi dan wajarlah Maria mengurapi Yesus dengan minyak mahal kerana Maria sedar bahawa Yesus adalah Mesias yang akan mati disalibkan untuk menebus dosanya dan dosa seluruh manusia di dunia ini. Mungkin saja kita menganggap tindakan Maria sebagai sebuah pembaziran, tetapi sangat tepat apa yang dilakukan oleh Maria itu di hadapan Yesus. Maria memberikan yang termahal dalam jagaannya untuk diberikan kepada Yesus. Tidak mungkin seorang Maria memberikan yang termahal dalam hidupnya jika dia tidak lebih dahulu memberikan yang terbaik dalam dirinnya iaitu hidupnya sendiri! Kita tidak akan sanggup memberikan buah pinggang kita kepada orang lain jika kita tidak mengasihi orang tersebut dengan sepenuh hati kita, sedangkan kita masih perlu meneruskan hidup kita selepas buah pinggang kita diberikan kepadanya. Maria memberikan hidupnya jauh lebih awal sebelum dia memberikan yang termahal dalam jagaannya kepada Yesus. Tetapi, dia tidak lakukan hal itu atas usaha dan ideanya sendiri. Maria melakukan hal itu kerana dia tahu bahawa Yesus adalah Mesias yang akan mati bagi dirinya dan mati kerana menebusnya dari maut dosa; kerana Maria tahu Yesus sangat mengasihinya dan telah siap sepenuhnya mati untuk dirinya. Berbanding minyak wangi yang mahal, pengorbanan nyawa Yesus adalah jauh melebihi nilai minyak wangi mahal yang dia miliki. Dia mengurapi Yesus dengan minyak mahal kerana dia tahu bahawa Yesus akan menggenapi janji-Nya untuk menebus manusia daripada maut kerana dosa!

Bagaimana dengan diri saudara-saudari dan saya? Adakah kita sedang menyimpan yang terbaik dalam hidup kita untuk kepentingan diri kita sendiri? Bukankah hidup kita ini telah kita nyatakan milik Yesus sepenuhnya dan sangat wajar untuk kita mempersembahkan hidup kita sebagai persembahan terbaik untuk kemuliaan Tuhan! Dalam suasana penularan Covid-19 di seluruh dunia ketika ini, idea memberikan sumbangan kewangan dan keperluan material lain adalah sangat baik. Tanpa menilai penerima dari prinsip agama dan bangsa, kita harus membantu mereka kerana mereka juga adalah manusia yang hidup di bawah naungan Allah Sang Pencipta dan Mahakuasa. Jika kita beriman penuh bahawa hidup kita sudah ditebus oleh darah Yesus yang tercurah di kayu salib, kita juga patut berjiwa murni untuk membantu orang lain hidup lebih baik di dalam suasana dunia masa kini. Sekurang- kurangnya berikanlah doa dan dorongan terbaik anda untuk mereka.

Yesus sendiri mendorong kita untuk sentiasa membantu orang miskin yang ada di dalam dunia ini; miskin rohani kerana belum mengenal Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat, miskin material kerana hilang upaya bekerja, miskin hak asasi kerana ditindas oleh status ekonomi dan politik bahkan miskin pemikiran kerana malas menuntut ilmu. Ayat 8 menjelaskan bahawa orang miskin sentiasa ada di tengah-tengah manusia dan wajarlah kita membantu mereka dengan apa yang kita ada (Ulangan 15:11). Tetapi terlebih dahulu berikanlah diri anda disucikan dan dipulihkan oleh Yesus. Yesus datang mengetuk pintu hati mu dan mahu masuk dalam hidup mu. Jemputlah Yesus masuk dan tinggal di dalam anda kerana Dia datang ke dunia ini untuk memberikan hidup baharu kepada anda seperti yang telah Dia berikan kepada saya. Haleluyah!

Yesus Kristus; Sang Penebus,
Bukankanlah mata kami melihat yang terhilang untuk kami dekati
agar kami dapat membawa mereka kembali kepada kasih-Mu yang sejati.
Jadikanlah kami kuat mengangkat tangan untuk dihulurkan
sehingga mereka yang tertindas mendapat pertolongan.
Agar kami membawa kemuliaan nama-Mu
membawa mereka menjadi keluarga kami di dalam Mu.
Amin.