Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.
Mereka nampak Yesus tetapi tidak mengenali Dia.
Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan
dalam perjalanan kamu ini?” Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
– Lukas 24:15-17

Petikan penuh kisah ini adalah Lukas 24:13-35. Kisah dari petikan ini adalah mengenai dua orang sahabat yang bertemu dengan Yesus ketika mereka dalam perjalanan kembali ke Emaus. Ada penafsir yang berpendapat bahawa Emaus merupakan kampung asal kedua sahabat ini dan tujuan mereka untuk kembali ke Emaus adalah kerana mereka telah putus asa untuk beriman kepada Yesus yang telah mereka ikuti selama 3 tahun itu. Yesus yang mereka sangkakan akan menjadi pembebas kepada mereka daripada di tindas oleh pihak Rom, dikongkong oleh keagamaan Yudaisme atau budaya perhambaan yang memandang hanya golongan kaya dan pemimpin agama yang layak dihormati. Mereka menyangka bahawa Yesus yang mereka ikuti selama itu adalah pembebas hak asasi manusia dan menjadi pemimpin politik mereka. Malangnya, tanggapan mereka salah kerana Yesus berkata bahawa mereka adalah ‘bodoh’ kerana hati mereka lambat untuk percaya segala nubuatan para nabi dalam kitab Perjanjian Lama. Bodoh yang dimaksudkan bukan berdasarkan kebijaksanaan akademik, kecacatan mental atau kekurangan tingkat status sosial mereka, tetapi bodoh dari segi kerohanian dan iman yang mana mereka adalah bodoh rohani. Mereka sepatutnya sedar bahawa Yesus yang berjalan bersama-sama mereka ketika itu adalah Yesus yang sama telah bersama-sama sebelumnya. Yesus tidak membuang masa untuk meneguhkan mereka semula lalu menerima undangan mereka untuk berehat di rumah tumpangan mereka. Pada ketika mereka mulai makan, Yesus melakukan semula tindakan yang sama terdapat di dalam Lukas 9:16 dan Lukas 22:19 mengenai iaitu memberkati roti. Ketika itulah mata rohani mereka celik semula dan mereka tahu Yesus telah bangkit. Mereka akhirnya kembali kepada kumpulan Kristian yang lain dan pasti melayani Tuhan dengan lebih taat selepas itu.

Ramai diantara kita masih ragu-ragu dimanakah Yesus di dalam hidup ini? Kita mungkin bertanya dimanakah Yesus ketika kita sedang bergelut dengan banyak beban hidup, khususnya di dalam era endemik Covid-19 ini; ruang pekerjaan dibuka semula tetapi terpaksa bersaing dengan para pemohon lain, membangun semula kerjaya tetapi memerlukan usaha yang penuh cabaran kleptokrasi, melayani tetapi cabaran dari pertemuan ibadah yang makin kurang diminati oleh sekelompok jemaah, atau memperbaiki hubungan sesama tapi masih meragui tahap keselamatan dan pencegahan jangkitan. Ada banyak lagi cabaran yang anda dan saya hadapi saat ini dan mungkin kita bertanya dimanakah Yesus yang berjanji akan menyertai kita sampai kedatangan-Nya yang kedua kali. Dimanakah Yesus? Kita mungkin seperti kedua sahabat dalam kisah ini, iaitu mereka mulai berputus asa dan akhirnya ingin kembali kepada kehidupan lama mereka. Mereka mulai bertanya dimanakah Yesus yang telah mereka ikuti selama 3 tahun itu sedangkan mereka sangat memerlukan Dia. Tiba-tiba Yesus datang kepada mereka dan meneguhkan iman mereka semula. Mungkinkah kita seperti mereka berdua ini? Saat kita tidak merasakan bahawa Yesus ada bersama kita, maka kita mulai kembali kepada cara hidup lama kita? Saudara-saudari yang terkasih sekalian, ingatlah bahawa Yesus ada bersama-sama dengan kita sepanjang masa. Bahkan ketika kita sedang tidur, Yesus tidak pernah sedetikpun membiarkan kita sendirian. Yesus telah mencurahkan darah-Nya untuk anda dan saya, sehingga saat kita beriman kepada-Nya, darah-Nya telah membungkusi rapat seluruh kehidupan kita. Yesus sentiasa ada di luar dan dalam peribadi mu!

Kita juga mungkin bertanya dimanakah Yesus ketika kita tidak memahami rancangan yang Yesus lakukan dalam kehidupan kita. Ketika kita mahukan sesuatu dan kita sampaikan di dalam doa, tetapi Yesus membalas bukan seperti yang kita inginkan. Seperti kedua sahabat dalam kisah ini, mereka berbual-bual dan berbincang tentang Yesus dan apa yang terjadi kepada Yesus (ayat 15) tetapi ketika mereka bertemu dengan Yesus, mereka tidak mengenali Yesus (ayat 16) bahkan mereka juga masih dalam keadaan putus harapan (ayat 17) meskipun mereka sedang memperkatakan tentang Yesus. Saudara-saudari yang terkasih, anda mungkin memiliki banyak maklumat mengenai Yesus dan tahu kisah Yesus dari zaman anda di sekolah minggu sehingga dewasa, tetapi sekadar ‘mengenali’ Yesus secara historis tidak akan menjadikan iman anda bertumbuh dengan sihat. Jika sekadar mengenali Yesus secara historis, bermakna anda hanya tahu apa yang pernah Yesus lakukan berdasarkan catatan sejarah dari buku-buku sejarah dunia dan Alkitab. Pengenalan seperti ini tidak akan pernah menjadikan kita lebih matang rohani, sebaliknya hanya menjadi ‘google hidup’ untuk orang sekeliling sahaja. Maka, tidak mustahil untuk kita mulai kehilangan arah dan tidak mengenali Yesus secara peribadi ketika kisah atau cabaran yang kita hadapi tidak sama seperti yang pernah diketahui di dalam sejarah tentang pelayanan Yesus. Anda mulai bertanya dimanakah Yesus ketika kita mahu kejayaan rancangan kita tertunai. Marilah kita memiliki pengenalan yang lebih bersifat peribadi dengan Yesus sehingga tiap langkah hidup ini kita fahami dengan jelas bahawa Yesus ada bersama anda dan saya.

Marilah kita memiliki kesedaran bahawa saat kita bertanya dimanakah Yesus sehingga kita seolah-olah tidak merasakan pelukan kasih-Nya; sedarilah sesungguhnya bahawa Yesus memeluk kita bukan secara fizikal-Nya namun dengan mencurahkan darah-Nya untuk membungkusi anda dan saya sepanjang masa. Saat kita bertanya dimanakah Yesus sehinga ketika kita mulai merasakan keruntuhan rohani akibat guncangan dunia ini; sedarilah bahawa Yesus telah bangkit dan membuktikan bahawa Dia adalah Tuhan yang Mahakuasa dan Mahahadir. Dia ada di Syurga tetapi juga bersama-sama dengan anda dan saya setiap masa. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®