“Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita baik itu. Kami tidak berusaha menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami.”
– 1 Tesalonika 2:4
Ketika Paulus menuliskan kepada jemaah Tuhan di Tesalonika, mereka sudah mengetahui bahawa Paulus dan rakan sepelayanannya telah dianiaya oleh kumpulan penentang Berita Baik dari Paulus di Filipi. Namun, Paulus dan rakan sepelayanannya tidak putus asa dalam pemberitaan Berita Baik kerana mereka sentiasa dikuatkan oleh Allah sehingga akhirnya Paulus mahu jemaah di Tesalonika juga memiliki keyakinan iman bahawa sesungguhnya Berita Baik yang mereka ingin sampaikan adalah sesungguhnya datang daripada Allah dan bukan bertujuan untuk keuntungan peribadi Paulus atau rakan sepelayanannya (1 Tesalonika 2:1-3). Dalam ayat 4, Paulus memberikan kesaksian bahawa tujuan daripada pemberitaan Berita Baik itu adalah merupakan kesenangan bagi Allah dan perintah daripada Allah kepada mereka untuk disampaikan kepada walaupun ramai yang tidak menyukai Berita Baik yang mereka dengar. Ini kerana Paulus mahu menyenangkan hati Allah dan bukannya tunduk kepada penolakan daripada masyarakat di pelayanannya. Motivasi pelayanan Paulus adalah untuk menyenangkan hati Allah kerana dia tahu pasti bahawa dia dilayakkan oleh Allah untuk memberitakan kebenaran-Nya. Jika sebelum Paulus bertaubat, dia merupakan pembunuh dan pembinasa umat Allah; dia akhirnya menjadi pemenang jiwa bagi Allah kerana dia dilayakkan oleh Allah. Atas kesedaran inilah Paulus mahu melayani Allah untuk memuliakan Allah dan bukannya untuk kesombongan dirinya (ayat 5). Paulus tidak berniat walau sedikitpun untuk dipuji atau dihormati walaupun dia sebagai rasul berhak mendapat bantuan dan pengiktirafan dari mereka (ayat 6-7) kerana dia sedar hidupnya telah ditebus oleh darah Yesus dan dia mahu mengasihi semua orang seperti Yesus mengasihi dunia dan seluruh isinya.
Demikian hebat kerendahan hati yang dimiliki oleh sang rasul apabila dari awal pelayanannya, motivasinya adalah untuk memuliakan Allah dan memenangkan jiwa bagi kemuliaan Allah. Tidak mustahil untuk dia mendapatkan kesenangan sebagai rasul yang memenangkan banyak jiwa bagi Allah, tidak mustahil untuk dia menuntut kehormatan di kalangan para rasul atau sangat tidak mustahil untuk dia menjadi pemimpin mana-mana gereja yang dia bangunkan. Tetapi, Paulus tidak memikirkan semua kesenangan itu kerana dia tahu semua itu adalah sia-sia sahaja. Ketika kredibiliti Paulus sebagai rasul dipersoalkan di Filipi dan diperlekehkan, dia menyatakan pendirian imannya yang tidak akan mudah luntur; Paulus sudah memiliki kemegahan, gelaran kebijaksanaan dan kekayaan ketika dia menjadi pembunuh umat Kristian suatu ketika dahulu, namun semuanya itu dia anggap sebagai sampah apabila hidupnya dipulihkan oleh Yesus dan melayani Kristus adalah keuntungan terbesar baginya (Filipi 3:8). Paulus dalam segala kemampuan akal fikirannya dan kebijaksanaannya menyedari bahawa pelayanannya sebagai rasul bukanlah alasan untuknya memegahkan diri dan bukan kelebihan untuknya menerima kesenangan material daripada jemaah Allah. Bagaimana dengan kita yang sedang berusaha meningkatkan kematangan rohani setiap hari? Adakah kita memiliki kerendahan hati seperti Paulus? Menjadi Kristian merupakan kebanggaan setiap manusia, bukan hanya kerana kita menerima keselamatan kekal daripada Yesus sahaja tetapi kerana kita menjadi keluarga sang Raja! Kita menjadi keluarga sang Raja bukan untuk tujuan bermalas-malasan tetapi sebaliknya kita harus bekerja keras untuk memenangkan lebih ramai jiwa bagi Allah. Jika tujuan anda menjadi Kristian adalah sekadar menerima keselamatan lalu berdiam diri, anda masih belum berperanan penting dalam keluarga Allah. Anda boleh saja menjadi “musuh dalam selimut” kerana anda mungkin akan merosakkan maruah keluarga Allah dengan kesombongan rohani. Kesombongan rohani yang sudah dilakukan oleh orang-orang Israel dan Yahudi ketika Allah memilih mereka menjadi umat-Nya. Mereka berlagak sombong dan mendabik dada kerana Allah menyertai mereka. Tetapi, sebaliknya mereka menentang Allah dan tidak berusaha menghormati Allah dalam segala hal yang dituntut Allah. Mereka juga menyalibkan Yesus kerana menganggap Yesus bukan Tuhan! Jika kita tunduk berdoa dan berdialog intim dengan Allah, kita pasti akan menjadi serupa seperti Paulus dan para murid Yesus yang lain. Bersekutu dengan Allah kerana menyedari mereka tidak memiliki apa-apa kelebihan selain memiliki Yesus dalam hidup. Sehingga akhirnya kerana kerendahan hati mereka, pelayanan dan hidup mereka berhasil walau dimana sahaja mereka berada.
Jika kita berdoa atau melayani kerana kita mahu dilihat popular, berimpak atau berpengaruh, buanglah mentaliti seperti itu. Mentaliti Farisi dan Saduki adalah seperti itu dan akhirnya mereka bukan bertujuan memuliakan Tuhan dalam pelayanan meskipun aktif dalam aktiviti keagamaan mereka. Jika kita mempelajari firman Tuhan dan menggunakannya secara membuta tuli tanpa mempelajari prinsip memahami yang betul, maka kita sudah menjadi seperti Farisi dan Saduki yang menghafal dan membaca seluruh kitab Taurat tetapi masih buta rohani meskipun Yesus yang mereka sedang tunggu (dan kaji di dalam kitab Taurat) sudah berada di depan mereka. Semua kesombongan ini berlaku kerana keinginan mereka untuk lebih dihormati, lebih popular dan mahu ditakuti! Percayalah bahawa golongan Kristian yang bersikap seperti Farisi dan Saduki ada di dalam gereja masa kini dan tidak sedikit daripada mereka berbangga dengan hidup seperti itu. Jangan menjadi seperti mereka. Ketahuilah bahawa kita dipanggil untuk memberitakan Berita Baik bukan kerana kita tahu lebih banyak atau lebih berpengalaman, tetapi kita dipanggil kerana Allah yang telah mewartakan kita sebagai layak! Bukan kerana kita lebih popular di dunia ini maka kita berimpak memberitakan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat, tetapi kerana Yesus sendiri sudah menang mengalahkan maut dan menebus manusia di seluruh dunia ini. Haleluyah!
Semua ker’na anug’rah-Nya,
dib’rikan kepada kita,
semua anug’rah-Nya bagi kita,
bila kita dipakai-Nya! – Jeffry S. Tjandra
Amin.
– HT Ram Jonathan®