Apabila Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, “Lihatlah orang ini! Dia rakus pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa!” Walaupun demikian kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan orang yang menerima kebijaksanaan itu.
– Matius 11:19

Dalam Matius 11:15, Yesus berfirman, “Jika kamu bertelinga, dengarlah!”. Ini jelas untuk memberikan penekanan kepada ayat-ayat yang akan menyusul selepas itu iaitu bermula ayat 16. Antara konteks pembelajaran oleh Yesus kita boleh tanggapi adalah dalam ayat 16-19, mengenai kedudukan Yohanes yang benar di hadapan Allah walaupun masyarakat Yahudi meragui pelayanan kerasulan yang dipegangnya (ayat 14, Yesus membandingkan Yohanes dan Elia yang diketahui sebagai nabi) selama itu. Sehingga akhirnya Yesus menyedari bahawa kumpulan manusia yang berada di sekitar-Nya merupakan kumpulan yang sangat lemah pengenalan akan Tuhan yang mereka sembah dan akibatnya mereka sentiasa memperlekeh pelayanan Yohanes dan Yesus. Sehingga Yesus memberikan polemik berbentuk soalan untuk membandingkan masyarakat Yahudi itu dengan anak-anak kecil (ay 16). Anak kecil yang tidak mampu berfikir secara jelas peranan diri mereka dalam permianan yang telah dipilih. Yesus memberikan kisah perumpamaan kanak-kanak yang bermain untuk majlis perkahwinan dan upacara pengkebumian; di mana kanak-kanak itu bermain muzik tetapi tidak dapat dihayati oleh tetamu yang hadir. Demikianlah Yesus membandingkan masyarakat Yahudi yang melihat Yohanes sebagai orang yang tidak jelas dengan apa yang dilakukan oleh Yohanes dan diri-Nya kepada masyarakat Yahudi pada masa itu. Bahkan, masyarakat Yahudi melihat Yesus seperti pemabuk, dan bersahabat dengan orang berdosa ketika dalam pelayanan-Nya semata-mata untuk menunjukkan sikap penolakan mereka terhadap pelayanan-Nya. Dalam erti kata lain, apapun yang dilakukan oleh Yohanes dan Yesus, semuanya adalah salah di mata orang Yahudi. Yesus menyatakan orang yang benar di hadapan Allah adalah orang yang dipakai Allah melalui kepelbagaian cara tetapi diberikan kebijaksanaan oleh Allah! Namun, penghargaan Yesus berikan kepada Yohanes dan pelayanan yang telah dirintisnya sebelum Dia datang ke dunia ini sesuai yang dinubuatkan oleh dalam kitab Maleakhi 3:1. Yohanes datang mendahului-Nya dan hidup dengan cara berbeza, sementara Yesus datang dengan pendekatan berbeza tetapi memiliki misi sama iaitu memenangkan jiwa yang hancur oleh dosa.

Menjadi Kristian sentiasa menuntut kita untuk tampil berbeza berbanding orang lain di dunia yang luas ini. Sering kali kita dicabar untuk menuruti suara majoriti meskipun kita tahu ia bertentangan dengan prinsip kebenaran firman Tuhan dan ajaran Kristus. Kita mahu bergaul dengan orang lain dan memaksa diri untuk mengikuti budaya mereka meskipun kita tahu budaya itu tidak benar dan tidak memberikan kelebihan kepada pertumbuhan sihat kerohanian kita. Kita mahu diakui oleh orang lain sehingga kita berusaha menyenangkan mereka. Tetapi, adakah anda ikhlas dalam menjalani kehidupan seperti itu? Pertanyaan lebih tepat mungkin, adakah Tuhan dimuliakan melalui keputusan anda seperti itu? Yohanes mungkin dilihat seorang pembaptis sahaja dan tidak menonjol sebagai rasul yang melayani dengan mukjizat kebangunan rohani besar-besaran seperti yang dilakukan oleh para murid Yesus dan oleh Yesus sendiri. Tetapi, Allah memang sudah merancang dari awal bagaimana Yohanes bekerja. Allah telah memilih Yohanes mendahului Yesus dalam membawakan kebenaran Injil kepada masyarakat Yahudi. Sehingga akhirnya ramai yang menerima Tuhan melalui pelayanan Yohanes dan Yesus meneruskan pelayanan itu dengan cara yang lain sesuai dengan misi penyelamatan seluruh manusia di dunia ini. Pelayanan Yohanes kelihatannya bersifat lokal sahaja iaitu di kalangan bangsa Yahudi, sementara Yesus bersifat global apabila keselamatan yang Dia telah kerjakan membebaskan manusia di seluruh dunia dari dosa. Tetapi, Yohanes dan Yesus keduanya adalah utusan Allah untuk membawakan Injil.

Ketika kita menjadi Kristian, kita memiliki peranan yang berbeza atau difahami sebagai memiliki peranan yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Itu tidak bermakna bahawa ada di antara kita yang lebih utama dan lebih rendah taraf pelayanan. Kita melayani untuk Tuhan dan kerana Tuhan. Bukan untuk status peribadi atau untuk menyenangkan orang lain di mana sahaja. Kita melayani bertujuan untuk menyenangkan Tuhan. Pemahaman ‘melayani’ yang lebih luas maknanya iaitu membawakan hidup kita sebagai utusan misi Allah; melayani yang membawa maksud bahawa kita tidak hidup untuk diri sendiri melainkan untuk kemuliaan Tuhan. Sehingga akhirnya bersama rakan, saudara, keluarga dan orang asing, kita tetap akan menjadi utusan Allah di dalam dunia ini. Jika Yohanes menjadi bahan ejekan masyarakat Yahudi, Yesus juga menjadi ejekan bahkan dibunuh oleh masyarakat Yahudi. Itulah risiko-risiko yang kita hadapi dalam pelayanan kita; nyawa kita sentiasa berhadapan dengan ancaman. Melayani bukan mudah, tetapi kerana kita telah dibenarkan oleh Allah, maka kita diberikan kebijaksanaan oleh Allah untuk melalui semuanya itu. Pada musim Kovid-19 yang sedang dalam tempoh PKPP ini, ramai dari kita tersekat dalam kehidupan yang biasa kita lakukan. Masih ramai yang menganggur akibat daripada masalah majikan yang tidak mampu mengupah pekerja. Tetapi, ada satu yang tidak pernah berubah; pelayanan kita. Kita tidak akan pernah berhenti melayani meskipun corak kehidupan sedang mengalami perubahan. Pendekatan pelayanan boleh saja berbeza tetapi peranan kita sebagai utusan Tuhan tidak pernah berubah. Maka, milikilah motivasi untuk meneruskan hidup hari ini, bukan untuk menyenangkan orang lain, tetapi untuk memuliakan Tuhan. Seperti yang dilakukan Yesus, demikian juga Dia ajarkan (Matius 6:33), “Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu.” Haleluyah!

Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu
melalui Kristus Yesus. Terpujilah Allah dan Bapa kita selama-lamanya!
Amin.
(Filipi 4:19)

– HT Ram Jonathan®