Berbahagialah mereka yang telah Engkau pilih, mereka yang Engkau bawa tinggal di Rumah-Mu. Kami akan dipuaskan dengan segala yang baik di Rumah-Mu, berkat-Mu untuk kami di kediaman-Mu yang suci.
– Mazmur 65:5

Indahnya nyanyian syukur umat Allah kerana walaupun mereka berdosa, Allah tetap mengampunkan mereka bahkan mengabulkan doa-doa mereka (ay 3-4). Allah tetap memberikan berkat hidup kepada mereka dengan bukti bahawa mereka masih menikmati keindahan gunung dan luatan (ayat 7, 8 sebagai gambaran alam semesta di bawah kekuasaan Allah) dan pastinya juga menikmati sumber makanan dan minuman. Semuanya itu dari berkat Allah yang sentiasa mahu bersekutu dengan mereka. Allah dengan sengaja memilih untuk bersekutu dengan mereka sepanjang masa kerana belas kasihan dan kasih-Nya yang berlimpah kepada mereka. Allah juga menunjukkan kasih-Nya kepada mereka dengan membuktikan bahawa hujan mengalir mengairi tanah sehingga subur, memelihara tanaman yang mereka tanam berbuah lebat sehingga mereka tetap bersukacita kerana menikmati hasil tanaman untuk kelangsungan kehidupan mereka (ay 11-13). Kidung pujian ini sangat sesuai dengan musim menuai hasil tanaman sebagai lagu ucapan syukur untuk berkat pemeliharaan Tuhan kepada mereka. Namun demikian, kidung pujian ini juga sangat sesuai untuk dipelajari bahawa Allah berdaulat dalam tindakan-Nya tanpa perlu dipengaruhi oleh tindakan manusia.

Allah berdaulat kerana Allah itu Maha Adil. Ketika Allah memilih dan membuat keputusan, Allah tidak akan dapat dipengaruhi oleh sesiapapun. Ketika itulah, pemazmur ini menyedari bahawa mereka adalah orang berbahagia kerana telah dipilih Allah untuk menjadi keluarga-Nya dan tinggal di Rumah-Nya. Sebagai manusia, kita boleh sahaja mengundang seseorang untuk datang ke rumah sebagai tetamu. Tetapi, jika kita mengundang dan menawarkan peluang kepada mereka untuk tinggal bersama-sama dengan kita, maka kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Allah dengan sengaja memilih bangsa Israel sebagai ahli keluarga dalam Rumah-Nya kerana mengasihi mereka. Bukan sahaja meraka diundang menjadi ahli keluarga, mereka juga diberikan kepuasan yang tiada tandingan ketika berada di Rumah Allah. Betapa bahagianya mereka apabila berada di Rumah Allah.

Sejauh mana kita memahami status kita di dalam Allah? Adakah kita masih merasakan bahawa kita adalah orang luar dan bukannya ahli keluarga Allah? Jika kita berfikir bahawa kita adalah orang luar, kemungkinan yang boleh difahami adalah kita belum sungguh-sungguh serius mahu menjadi ahli keluarga Allah. Kita belum sungguh-sungguh dalam iman kita dan dalam tindakan kita untuk bersifat tindak sebagai ahli keluarga Allah. Jika kita bersetuju bahawa kita adalah keluarga Allah, maka kita tahu peranan kita sebagai ahli keluarga. Kita tidak akan menyakiti hati sesama keluarga kerana kita dituntut untuk saling mengasihi (Yoh 13:34). Perintah untuk saling mengasihi adalah perintah muktamad daripada Yesus sendiri kita murid-murid bertanya tentang hukum yang terutama. Kita tidak akan melanggar perintah Allah sebagai pemilik Rumah dan ketua Rumah ini. Seperti Yesus mengasihi umat-Nya, demikian juga kita sebagai umat dituntut untuk menunjukkan kasih kepada sesama kita. Itulah gambaran kehidupan sebagai sebuah keluarga di Rumah Allah.

Jika selama ini, kita melihat Allah sebagai Maha Adil dan tahu bahawa Allah membenci dosa, maka hukuman sepatutnya yang kita terima adalah maut dan kekekalan penyeksaan di dalam nereka. Tetapi Allah menunjukkan pengampunan dan pemulihan kepada umat Israel, demikian juga Allah mahu memberikan pengampuan dan pemulihan kepada semua kita. Jika dahulu, Allah membawakan pengampunan dan pemulihan kepada umat-Nya melalui nabi dan raja, ketika ini kita telah ditebus oleh Yesus dengan darah-Nya yang mahal. Jika anda belum tahu bahawa Yesus sudah menebus anda dari dosa, anda perlu tahu sekarang bahawa anda berhak menikmati penebusan itu. Namun, malangnya jika anda tidak mahu menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi anda. Kerana jika anda menolak Yesus, maka anda akan tersingkir daripada menerima anugerah pengampunan itu. Jika anda menolak Yesus, anda bukan sahaja tersingkir tetapi juga gagal untuk mendapat peluang masuk ke Rumah-Nya. Selain daripada gagal masuk dan tinggal di Rumah Allah, anda hanya ada satu tempat tinggal sahaja iaitu suatu tempat yang penuh dengan penyeksaan kekal selamanya! Milikilah ketetapan seperti Yosua ketika orang lain mulai menolak Allah (Yosua 24:15). Yosua berkata, “Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesapotomia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.” Jika hari ini kamu mendengar berita bahawa Yesus Kristus adalah TUHAN dan kamu masih mengeraskan hati untuk mengabdikan diri kepada-Nya, maka kamu tidak akan dapat tinggal di Rumah Allah selama-lamanya. Pilihan ada di tangan mu. Mahu hidup dalam kekekalan bersama Yesus Kristus atau hidup dalam penyeksaan yang kekal. Bagi ku dan keluarga ku, aku memilih untuk diam di Rumah-Nya! Haleluyah!

“Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.”

“Batu ini saksi kita. Batu ini telah mendengar segala firman TUHAN kepada kita. Oleh itu batu ini menjadi saksi terhadap kamu untuk mengingatkan kamu supaya tidak melawan Allah kamu.”

Amin.

– HT Ram Jonathan®