Datang Dan Nikmati Kebahagiaan

270

Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Yesus lalu berkata, “Diberkatilah orang yang akan dijamu dalam kerajaan Allah.”
“Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.”
– Lukas 14:15, 24

Perumpamaan ini adalah mengenai seorang yang mengadakan perjamuan besar dan berusaha untuk mengundang tetamu-tetamu yang dia rasakan layak untuk dijemput. Namun, semua jemputan yang diundang memilih untuk menolak dengan alasan-alasan mereka (ayat 18-20). Tuan yang mendengar bahawa para undangannya menolak sangat marah dan akhirnya menyuruh hambanya untuk memanggil orang miskin dan cacat datang ke jamuan (ayat 21). Meskipun golongan miskin dan cacat sudah datang ke jamuan tersebut, masih banyak ruang duduk yang kosong sehingga tuan itu memerintahkan hambanya untuk memanggil sesiapa sahaja yang dia temui di lorong-lorong dan jalan raya untuk datang ke jamuan tersebut. Ini merupakan sebuah gambaran bahawa Allah mempunyai kerinduan terdalam untuk memberikan undangan keselamatan kepada seluruh umat-Nya, tanpa meletakkan syarat sama ada membayar sejumlah wang, segudang gelaran hormat atau pangkat. Syarat utama adalah memenuhi undangan-Nya iaitu datang kepada-Nya. Bukan sahaja undangan Allah akan memberikan kebahagian kekal tetapi ayat 24 berkata, “menikmati jamuan” yang bermakna bahawa akan ada berkat-berkat tercurah kepada mereka yang datang kepada Allah. Jamuan ini diadakan oleh seorang yang sangat murah hati dan tidak memaksa orang yang menolak undangannya. Kunci kepada jemputan tersebut terletak di tangan tetamu sendiri. Demikian juga undangan keselamatan daripada Allah iaitu tidak ada paksaan kepada seluruh manusia kerana ia adalah pilihan masing-masing.

Bagaimana dengan saudara-saudari sekalian? Sudahkah anda menerima anda menerima undangan daripada Yesus Kristus dalam hidup anda? Firman Tuhan berkata bahawa kita harus sedar diri kita adalah berdosa dan memerlukan pertolongan daripada Tuhan (Roma 3:23). Hanya melalui penebusan oleh darah Yesus Kristus, maka manusia iaitu anda dan saya dapat diselamatkan daripada hukuman maut (Roma 3:24). Menerima Yesus Kristus dengan iman adalah syarat utama untuk kita mendapat keselamatan daripada-Nya. Jangan berdalih untuk menolak keselamatan daripada Yesus Kristus. Jangan terlalu berfikir mengenai kesenangan dunia yang sedang anda nikmati akan hilang jika menyerahkan hidup kepada Yesus Kristus. Jika kesenangan duniawi ini dinikmati hasil daripada menjatuhkan orang lain, atau hasil daripada usaha anda sendiri tanpa mengenal sumber berkat dan mengakui sumber berkat tersebut sebagai Tuhan dan Penyelamat anda, maka akhir hidup anda hanyalah sia-sia. Apa gunanya menikmati seluruh kesenangan dunia tetapi kehilangan jiwa lalu dihukum di perapian neraka. Kerana itu, sujudlah di hadapan Yesus Kristus dan mohon kepada-Nya untuk menerima anda sebagai anak-Nya.

Jika kita melihat semula kepada ayat 24, Yesus berkata bahawa “tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.” Mereka yang dijemput secara khusus pada awalnya iaitu individu-individu yang terdapat di dalam ayat 18-20, mereka semua menolak undangan dan tidak akan menikmati apapun dari jamuan tersebut. Sementara dalam erti kata lain, mereka yang datang ke jamuan tersebut iaitu pada miskin, cacat dan orang awam yang ada di jalan raya dan lorong-lorong pula akan menikmati jamuan dan berkat dari jamuan tersebut. Jika anda tergolong dalam kumpulan manusia yang berdalih untuk menolak undangan daripada Tuhan, maka sudah pasti anda akan hilang berkat keselamatan kekal daripada-Nya, sedangkan manusia lain yang datang dan menerima undangan keselamatan ini akan menikmati berkat keselamatan tersebut. Namun, bukan sahaja undangan keselamatan kekal yang akan dinikmati oleh anak-anak Tuhan, malahan berkat-berkat kehidupan juga akan mengalir di dalam hidup mereka.

Setiap mereka yang menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, mereka akan mendapat kelegaan daripada pelbagai masalah. Matius 11:28-30 berkata bahawa kuk yang diberikan oleh Yesus Kristus itu ringan, kerana Yesus Kristus akan bersama-sama dengan kita untuk memikul masalah-masalah yang kita hadapi. Manusia yang tidak memiliki Yesus Kristus juga dibantu oleh individu lain atau tuhan-tuhan lain, tetapi ingatlah bahawa mereka semua tidak memiliki kasih dan kekuatan kekal abadi seperti Yesus Kristus. Selain itu, kita juga akan diundang untuk terlibat sama menjayakan pekerjaan-pekerjaan Tuhan di dunia ini. Kita sebagai anak-anak Tuhan akan dilibatkan untuk membawa jiwa-jiwa yang masih terhilang untuk dipulihkan dan tanggungjawab kita adalah besar kerana kita adalah pasukan dari keluarga Allah sendiri (Roma 10:14-15). Jika kita bekerja, maka kita akan mendapat upah iaitu upah kehidupan kekal (Yohanes 3:16) dan kekuatan karakter manusiawi yang melebihi manusia lain kerana Roh Kudus ada dalam hidup kita (Roma 12:1-2; Lukas 9:23).

Oleh itu, sebagai anak-anak Tuhan yang telah diselamatkan ketika menerima undangan keselamatan daripada-Nya, kekal setialah kepada Tuhan dalam membaca firman-Nya, setia berdoa, mengasihi Allah dan sesama sepenuh hati dan taat beribadat kepada-Nya sentiasa. Jika bukan kerana kasih kurnia daripada Allah melalui Yesus Kristus, anda dan saya pasti akan diseksa di api neraka kelak. Tetapi kerana anda dan saya sudah hidup sebagai anak-anak Allah, maka jalanilah hidup dengan penuh takut akan Tuhan, nikmatilah kebahagiaan yang ditawarkan oleh-Nya selama kita hidup di dunia ini. Bagi anda yang masih ragu-ragu mengenai iman percaya kepada siapa yang anda sembah, hanya ada satu Tuhan dan hanya ada satu jalan keselamatan; Yesus Kristus adalah Tuhan dan hanya Yesus Kristus satu-satunya jalan keselamatan. Jangan sia-siakan masa anda mencari alasan untuk menepis jemputan daripada Yesus Kristus. Terimalah Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, maka anda akan menikmati berkat rohani daripada-Nya. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®