Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.
– Roma 5:5

Setelah Paulus menjelaskan dengan contoh yang relevan daripada kitab Taurat mengenai pembenaran oleh iman, pengajarannya diteruskan lagi dengan menjelaskan praktik iman. Perikop awal Roma 5:1-5 merupakan penerapan pertama mengenai pembenaran oleh iman iaitu buah-buah dari iman itu sendiri. Ayat 1-5 menyatakan bahawa segala keuntungan orang Kristian yang dibenarkan oleh iman di dalam Yesus Kristus seharusnya difahami sebagai bertujuan untuk mendorong orang Kristian untuk bertekun dalam hidup kemudian melaksanakan kewajipan kita sebagai orang beriman. Itulah sebabnya Paulus dalam permulaan bab ini menggunakan pernyataan “oleh yang demikian” kerana dia mahu kita belajar buah daripada iman yang dibenarkan oleh Yesus Kristus yang telah kita miliki dan mungkin yang anda akan miliki sekiranya anda belum memiliki iman yang benar iaitu daripada Yesus Kristus.

Buah dari iman yang pertama adalah kita memiliki persekutuan damai dengan Allah (ayat 1). Hanya melalui iman benar di dalam Yesus Kristus sahaja yang akan menjadikan hubungan atau persekutuan antara kita dan Allah berada dalam keadaan damai. Jika kita tidak memiliki iman yang benar di dalam Yesus Kristus, maka kita tidak akan memiliki persekutuan damai dengan Allah sebaliknya kita masih memiliki perseteruan hukuman dengan Allah. Roma 5:10 berkata bahawa kita sememangnya seteru atau musuh Allah sebelum kita memilih untuk beriman kepada Yesus Kristus dan hanya melalui darah-Nya kita telah disucikan lalu diperdamaikan dengan Allah dan akhirnya memiliki persekutuan damai dengan Allah. Begitu pentingnya pembenaran iman yang dibawakan oleh Yesus Kristus kepada manusia di dunia ini. Allah tidak pernah hilang kekuasaan-Nya tanpa manusia di syurga, tetapi kita akan hilang kehidupan kekal yang bahagia jika kita tidak memiliki Allah. Kerana itu, Paulus menekankan bahawa buah daripada pembenaran iman yang harus kita ketahui adalah persekutuan damai dengan Allah. Ini bermakna bahawa anda dan saya tidak terhalang untuk bertemu dengan Allah bahkan kita bebas memohon berkat demi berkat kepada Allah kerana kita adalah umat kesayangan-Nya.

Buah iman benar yang kedua adalah penerimaan kemuliaan daripada Allah (ayat 2). Oleh kerana kita memiliki iman benar oleh Yesus Kristus, maka wajarlah kita memiliki sukacita berlimpah kerana akhirnya kita bukan sahaja memiliki persekutuan dengan Allah, tetapi Allah berkenan untuk mengurniakan kemuliaan-Nya kepada kita! Kemuliaan dari Allah adalah sangat jauh berharga melebihi segala anugerah diraja yang ada di seluruh dunia kerana Allah yang kita sembah adalah Allah dari segala allah, Raja atas segala raja dan mahakuasa dari segala yang berkuasa. Kurnia kemuliaan yang Allah berikan kepada kita bukan seperti kurniaan yang ditawarkan di dunia ini iaitu hasil usaha keras kita sendiri, melainkan hasil usaha Yesus Kristus yang telah menebus kita daripada dosa dan membawa kita duduk dekat dengan Allah di atas takhta-Nya sehingga setiap kita yang berada di dalam kerajaan Allah layak secara langsung menerima kemuliaan-Nya. Kemuliaan yang tidak akan pernah habis nilainya iaitu keselamatan kekal. Apabila Yesus Kristus datang kedua kalinya ke dunia ini, kita yang beriman kepada-Nya akan menerima kemuliaan kekal itu seperti dicatatkan dalam 1 Yohanes 3:2 dan 2 Petrus 1:4, bahawa kita akan menerima anugerah paling berharga daripada Allah. Anugerah kemuliaan ini hanya dapat dinikmati oleh umat Allah yang beriman kepada Yesus Kristus. Jika ada yang beriman kepada allah dan tuhan-tuhan lain selain Yesus Kristus, maka mereka tidak akan menerima anugerah kemuliaan ini. Itulah sebabnya anda harus memiliki Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi anda, agar anda mendapat kemuliaan ini.

Selain daripada dua buah iman ini, Paulus juga menyatakan jaminan dari Yesus Kristus kepada semua orang Kristian yang memiliki iman yang benar bahawa kita akan memiliki ketabahan selama hidup di dunia ini sebagai orang Kristian. Jika dilihat dalam konteks kehidupan awal orang Kristian pada abad ketiga dan gereja-gereja awal, maka wajarlah buah daripada iman yang benar adalah bertahan dalam penderitaan (ayat 3). Ini kerana orang-orang Kristian dan gereja awal sentiasa dicabar oleh pemerintah politik dan orang berpegang kepercayaan tradisi dalam bentuk penyeksaan dan pengucilan. Agama Kristian dianggap sebagai ajaran sesat lalu penganutnya diugut bunuh dan disingkirkan daripada komuniti mereka sendiri. Penderitaan seperti ini boleh sahaja menjadikan orang Kristian hidup sangat miskin, berpenyakit atau juga memiliki tekanan jiwa. Tetapi, berita sukacita yang menghibur kita sebagai orang Kristian moden adalah para Kristian awal sehingga saat ini tidak pantang menyerah kalah dalam mempertahankan iman benar mereka! Kekuatan bertahan iman ini bukan hasil usaha kita sendiri tetapi kerana ia merupakan buah daripada pembenaran iman kita semua. Kita tidak pernah melihat Yesus Kristus di hadapan mata kita secara fizikal, tetapi kita beriman kepada-Nya dengan sungguh. Ia bukan iman secara akademik atau logik akal tetapi kerana Roh Kudus yang ada dalam hati kita telah membawa kita memiliki pengabdian benar kepada Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita! Itulah sebabnya orang Kristian tidak kisah dipinggirkan dari komuniti yang sesat kerana dimana sahaja kita ditempatkan, kita akan bercahaya dan menjadi garam kepada mereka. Semua adalah hasil usaha Yesus Kristus yang telah menebus kita daripada dosa.

Akibat daripada ketabahan seperti inilah maka kita akhirnya memiliki karakter yang berbeza daripada orang yang tidak memiliki iman benar. Kita memiliki nilai budi pekerti yang tinggi kerana kita menunjukkan kasih kepada Allah, kepada sesama bahkan kepada musuh. Kita sentiasa menghadirkan damai sejahtera di mana sahaja kita berada kerana kita tahu sesungguhnya budi pekerti akan membawa harapan yang murni daripada syurga untuk manusia di dunia ini. Oleh itu, marilah kita semakin bertekun memelihara iman benar yang telah kita miliki oleh kerana pengorbanan Yesus Kristus. Marilah kita memiliki buah iman yang benar agar kita tetap berkongsi buah-blah iman ini kepada orang yang masih belum memiliki-Nya. Sehingga nama Tuhan kita, Yesus Kristus dimuliakan. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El RamĀ®