Bolehkah orang Kristian meminum arak atau wain?

13789

Mungkin kamu ragu-ragu terhadap agama Kristian dalam banyak hal. Apakah yang Alkitab menyatakan tentang pelbagai perkara di dalam hidup? Mengapakah corak kehidupan orang Kristian nampak seperti tidak terlaras berbanding dengan agama lain? Kan hidup akan menjadi lebih senang kalau perintah-perintah diberi dalam semua aspek kehidupan, dari segi pemakanan, berpakaian, bergaul dengan orang, perkahwinan, pergaulan dengan keluarga dan kawan-kawan, dan banyak lagi.

Semua pergumulan dan soalan kamu boleh dijawab dengan kata-kata Yesus sendiri di dalam Perintah yang Terutama, iaitu “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu. Inilah perintah yang terutama dan terpenting. Perintah kedua sama pentingnya: Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini” (Matius 22:37-38; Markus 12:28-31; Lukas 10:25-28).

Merujuk kepada pertanyaan jika orang Kristian berdosa apabila seseorang minum arak atau wain, terdapat beberapa ayat Alkitab yang menggalakkan manusia supaya jangan minum arak di dalam konteks yang tertentu, tetapi bukan secara keseluruhan untuk semua orang (Imamat 10:9; Bilangan 6:3Hakim-hakim 13:4,7,14; 1 Samuel 1:15; Amsal 20:1; 31:4,6; Yesaya 5:11,22; 24:9; 28:7; 29:9; 56:12; Mikha 2:11; Lukas 1:15).

Dari segi konteks, salah satu contoh adalah larangan di dalam Lukas 1:15 yang menyatakan “Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum win atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah.” ‘Dia’ di sini merujuk secara khas kepada Yohanes Pembaptis sahaja, dan bukan saranan untuk semua orang Kristian. Ini kerana Allah mempunyai rencana yang besar untuk Yohanes Pembaptis. Di dalam Ulangan 6, jelas dinyatakan mereka yang mengekhaskan diri bagi TUHAN sebagai orang Nazir sahaja yang dilarang meminum wain dan minuman keras.

Namun demikian, Alkitab juga tidak melarang umat Kristian daripada minum bir, wain atau sebarang jenis minuman yang mengandungi alkohol. Ulangan 14:26 menggalakkan umat Israel supaya membeli makanan dan minuman seperti wain dan minuman keras supaya bersukacita meraikan kebaikan TUHAN di dalam hadirat-Nya. Yang Kristian diarahkan adalah jangan menjadi mabuk (Efesus 5:18). Ini kerana seseorang yang berada dalam keadaan mabuk biasanya akan diikuti dengan kesan buruknya yang lain (Amsal 23:29-35). Tambahan pula, umat Kristian juga diarahkan supaya tidak membenarkan badan mereka dikawal oleh sesuatu yang bukan daripada Allah (1 Korintus 6:12; 2 Petrus 2:19). Kristian juga tidak boleh menjadi batu sandungan kepada orang lain (1 Korintus 8:9-13). Berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, seseorang yang minum arak tidak akan menjadi contoh yang bagus untuk memuliakan Allah (1 Korintus 10:31). Bak kata pepatah, “Mencegah lebih baik daripada merawat.”

Perlu diingati bahawa Yesus sendiri menukar air kepada wain, dan nampaknya Dia juga minum wain sewaktu kenduri di Kana (Yohanes 2:1-11, Matius 26:29). Pada zaman Perjanjian Baru, air yang orang biasa minum berasal daripada telaga dan berkemungkinan besar air tersebut tidak bersih. Indah Water Konsortium belum wujud lagi, jadi tanpa kaedah sanitasi moden, air dicemari oleh bakteria, virus dan bahan-bahan lain. Ini sebabnya lebih banyak orang minum wain daripada air pada zaman Yesus kerana ia lebih bersih dan sihat. Di dalam 1 Timotius 5:23 juga, Paulus menggalakkan Timotius supaya minum sedikit wain dan bukan bergantung pada air sahaja kerana keadaan perut Timotius yang peka. 

“Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu. Inilah perintah yang terutama dan terpenting. Perintah kedua sama pentingnya: Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.”

Kesimpulannya, umat Kristian dibenarkan minum arak/alkohol tetapi tidak digalakkan berbuat demikian kecuali untuk tujuan kesihatan seperti kes Timotius. Perbuatan minum alkohol itu tidak dianggap sebagai dosa, tetapi ia mungkin memberi peluang untuk seseorang yang tidak pandai mengawal diri terjerumus ke dalam lembah dosa setelah meminum arak melebihi tahap toleransinya. Pendek kata, mengikut prinsip yang diberi dalam Alkitab, seorang Kristian yang menahan diri daripada minum arak dapat menyenangkan hati Allah dengan lebih senang lagi berbanding dengan Kristian yang minum arak.