“Aku akan memberi mereka kemuliaan yang Kau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu.”

“Aku ada di dalam mereka dan Engkau ada di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku.”
– Yohanes 17:22-23

Kedua-dua ayat ini merupakan sebahagian daripada doa Yesus untuk para murid dan seluruh Kristian yang beriman kepada-Nya. Setelah berdoa bagi kekudusan (ayat 1-19), Yesus lalu meneruskan syafaat-Nya demi kesatuan seluruh umat Kristian. Dalam ayat 20 berkata, “untuk semua orang percaya” yang membawa makna bahawa semua pengikut Yesus termasuk wanita, kanak-kanak, orang tua, janda, miskin, berpenyakit dan seluruh umat yang mengikut-Nya dari seluruh pelusuk dunia pada waktu itu adalah didoakan oleh Yesus. Bahkan, bukan sahaja seluruh umat Kristian pada masa zaman Yesus berada di dunia tetapi juga seluruh orang Kristian yang hidup dari generasi ke generasi yang seterusnya sehinggalah kepada anda dan saya saat ini. Yesus mahu memberikan ‘kemuliaan’ yang Dia telah miliki daripada Allah lalu diwariskan kepada seluruh orang Kristian. Kemuliaan yang dimiliki oleh Yesus pada masa itu adalah kehidupan-Nya yang merupakan pelayanan yang rela mengorbankan diri dan kematian di kayu salib untuk menebus dosa manusia. Maka, kemuliaan itu ingin diberikan kepada seluruh umat Kristian iaitu dengan praktik kehidupan kita sebagai pengikut Kristus yang melayani dengan penuh kerendahan hati dan rela memikul salib setiap hari. Kerendahan hati dan rela memikul salib merupakan dua karakter kemuliaan kehidupan yang telah Yesus tunjukkan kepada kita dan Dia mahu kita memilikinya. Ini bermakna bahawa dengan kedua karakter inilah, anda dan saya sebenarnya dapat mengalami kesatuan sejati dengan Allah. Namun, kita hanya akan bersatu sepenuhnya dengan Allah apabila kita memiliki kesatuan dengan Yesus (Aku di dalam mereka), kesatuan Yesus dengan Bapa (Engkau di dalam-Ku) sehingga apabila kita benar-benar mengakui kesatuan Yesus dan Bapa wujud dalam hidup kita, maka kita baru layak menggelar diri kita telah bersatu sepenuhnya dengan Yesus!

Kesatuan sempurna ini akan menghasilkan keyakinan di hati semua orang percaya bahawa Allah yang telah mengutus Yesus seperti yang tercatat dalam ayat 21. Ketika anda dan saya mengakui fakta bahawa Yesus di utus oleh Allah, maka kita bukan sekadar mengakuinya di dalam alam roh dan kata-kata dari mulut kita; kita seharusnya menyatakan semua pengakuan itu dalam tindakan peribadi kita. Cara pertama menyatakannya adalah dengan memiliki kerendahan hati sama seperti Yesus yang memiliki kerendahan hati. Ketika Yesus mulai melayani di kalangan bangsa Yahudi, Dia ditolak bahkan telah disasarkan untuk dibunuh. Ketika Yesus mulai mengajar kelompok bukan Yahudi dan pemimpin-pemimpin agama lain, maka komplot untuk membunuh Dia semakin kukuh dan akhirnya terjadilah penangkapan, penyeksaan dan akhirnya pembunuhan kepada Yesus. Namun, dari semua penindasan yang Yesus alami, Dia tetap merendahkan hati-Nya dan tidak menentang sama sekali walaupun sebagai Tuhan yang berkuasa, Dia sebenarnya mudah untuk melepaskan diri dan membalas mereka semua dengan sangat kejam. Tetapi Yesus memilih untuk menguasai diri-Nya sendiri dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tidak mengadili mereka yang mengadili-Nya secara manusia bahkan membiarkan diri-Nya disalibkan. Demikianlah tingkat kerendahan hati peribadi yang kita imani sebagai Tuhan dan Penyelamat kita. Sangat merendahkan hati kerana Dia tahu sesungguhnya bahawa Dia berada di pihak yang benar. Oleh itu, kita juga harus meneladani kerendahan hati Yesus dalam situasi yang kita rasakan kita boleh menentang mereka yang mahu mencari masalah dengan kita. Kita juga harus rendah hati sesama jemaah agar kita berlumba-lumba untuk melayani di antara satu sama lain. Mereka yang memiliki kesombongan akan sangat sukar untuk melayani di antara satu sama lain dengan karakter yang memuliakan Tuhan; sebaliknya hanya memiliki fokus untuk menuntut pujian dan penghargaan daripada orang sekeliling sahaja. Marilah kita tetap belajar untuk merendahkan hati terhadap sesama, mencerminkan karakter Yesus yang telah diwarisi daripada Allah dan ia akan membawa kita kepada kesatuan yang sempurna.

Selain daripada itu, karakter kesempurnaan yang kedua adalah kerelaan untuk memikul salib-Nya. Yesus tanpa berdolak-dalih setia memikul salib-Nya bahkan setia sehingga mati di kayu salib. Karakter setia memikul salib ini bukanlah praktik secara langsung yang diperintahkan oleh Yesus kepada kita; Yesus tidak memerintahkan kita untuk memikul sebuah salib yang besar lalu memberikan diri kita untuk dipakukan di atas salib tersebut. Yesus mahu mendidik kita makna kayu salib yang dipikul-Nya adalah kesetiaan kepada perintah Allah dalam kehidupan anda dan saya. Yesus mahu mengajar kita bahawa kayu salib bercakap mengenai usaha sungguh-sungguh daripada kita untuk menolak keinginan daging yang membawa kepada kerosakan iman kita sendiri. Kayu salib bercakap mengenai usaha kita yang diteguhkan dan dipimpin oleh Roh Kudus untuk terus menerus setia kepada perintah kasih Yesus di dalam kehidupan kita, meskipun dunia mungkin menawarkan kesenangan tetapi kita memilih untuk setia kepada perintah kasih Yesus.

Melalui doa syafaat oleh Yesus, kita tahu bahawa kerinduan terdalam Yesus untuk setiap Kristian adalah agar kita bersatu dengan-Nya dan kita juga saling bersatu sebagai sebuah keluarga Allah. Maka, peliharalah kesatuan yang diberikan oleh Yesus di dalam hidup kita. Firman Tuhan sangat cukup sempurna untuk kita pelajari dan patuhi kerana Firman Tuhan adalah isi hati Allah sendiri untuk jemaah-Nya agar bersatu sepenuhnya dengan Allah. Janganlah kita menjadi penghancur gereja, jangan menjadi virus dalam persekutuan ibadat dan jangan menjadi benih yang merosakkan benih kasih dalam kerohanian umat Tuhan. Marilah kita berusaha untuk hidup bersatu dengan Yesus kerana hanya Yesus yang telah mengasihi kita sepenuhnya di dunia ini. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®