Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu dikuatkan. Kerana Kristus mengasihi kamu, kamu dihiburkan. Kamu dipimpin oleh Roh Allah, dan kamu saling mengasihi serta saling berbelas kasihan. Aku berharap saudara semua dapat benar-benar menyenangkan hatiku dengan hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama.
– Filipi 2:1-2

Gagasan pengajaran Paulus yang ditujukan kepada jemaah di Filipi dalam bab 2 menjelaskan mengenai karakter jemaah Kristian yang harus meneladani Kristus. Paulus dalam petikan firman Tuhan ini berusaha mengemukakan suatu alasan yang kukuh untuk orang Kristian saling bersatu dalam bermasyarakat di kota Filipi. Dalam ayat 1-2, Paulus memberikan penekanan akan betapa pentingnya jemaah Kristian untuk hidup bersatu dengan Kristus, mengasihi sesama dan memiliki tujuan hidup yang sama. Dalam erti kata lain, Paulus mengajarkan jemaah Kristian di Filipi untuk mengelakkan diri daripada memililki sikap sombong, ego, mementingkan diri sendiri bahkan menjatuhkan sesama mereka. Paulus mahu jemaah Kristian di Filipi untuk mengosongkan diri mereka daripada karakter manusiawi yang tidak sesuai kepada karakter baharu yang sesuai dengan teladan Kristus. Itulah makanya Paulus memulai penulisannya dengan ajakan kepada jemaah Kristian di Filipi untuk hidup bersatu dengan Kristus. Tanpa kesatuan hidup dengan Kristus, karakter-karakter mereka hanya sekadar amalan sesama tetapi tidak memuliakan Kristus.

Hidup bersatu dengan Kristus merupakan tuntutan terawal dalam memiliki karakter yang terpuji. Hidup bersatu dengan Kristus bermakna hidup kita memiliki tujuan yang sama dengan Kristus dari segi karakter kehidupan dan visi kehidupan. Karakter Kristus yang terunggul adalah mengasihi Allah Bapa, mengasihi manusia bahkan mengasihi dunia sehingga visi Kristus dalam sikap mengasihi itu adalah agar keselamatan nyata diterima oleh manusia dan dunia (Yohanes 3:16-18). Demikianlah dasar daripada karakter dan visi yang Kristus miliki selama Dia hidup di dunia ini. Jika jemaah Kristian di Filipi dituntut untuk hidup bersatu dengan Kristus, maka mereka juga perlu memiliki karakter mengasihi dengan visi memberitakan Injil kepada manusia yang ada di kota Filipi. Teladan hidup bersatu dalam kasih dan bersatu dalam fikiran adalah prinsip yang sangat penting dalam meneruskan legasi Kristus di dalam hidup jemaah Kristian. Perpecahan hanya akan menghancurkan kesatuan gereja, keluarga dan masyarakat. Perpecahan hanya membawa kepada lebih banyak dosa. Maka, Paulus menuntut jemaah Kristian di Filipi untuk hidup bersatu. Firman Tuhan ini juga berdialog dengan kita pada masa kini. Anda dan saya harus hidup bersatu dengan Kristus sehingga kehidupan kita sebagai jemaah Kristian terserlah keunikannya iaitu hidup saling mengasihi dan bervisi bagi kemuliaan Kristus.

Kemelut politik antara teladan paling mudah untuk memahami akibat daripada sebuah perpecahan. Jika ia adalah politik melibatkan parti politik, tidak semua pemimpin sesebuah parti atau gabungan parti memiliki kesatuan visi dan fikiran yang sama, bahkan ada yang bersatu tanpa memiliki sikap mengasihi antara satu sama lain; buktinya ramai ahli politik yang berpindah kesetiaan ke parti lain demi menunaikan visinya. Jika ianya adalah politik dalam ruang pekerjaan, ramai pekerja saling ‘memijak’ antara satu sama lain semata-mata mencapai visi peribadi mereka sendiri. Menjadi Kristian tidak seharusnya memiliki sikap perpecahan; perpecahan tidak seharusnya memecah-belah kesatuan hidup kita sebagai orang Kristian. Peribahasa yang sering digunakan, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, merupakan peribahasa yang memberikan gambaran bahawa kesatuan yang kukuh akan menjadi kekuatan, sedangkan perpecahan hanya mengakibatkan kejatuhan.

Hidup bersatu dengan Kristus juga memberikan notasi kepada jemaah Kristian untuk memiliki kesatuan hati. Selain daripada menjadi teladan dalam kehidupan harian, kesatuan hati menggerakkan motivasi jemaah Kristian untuk memuliakan Tuhan dan sentiasa menyenangkan hati Tuhan. Ketika Yesus mengajar para murid-Nya untuk berdoa, satu daripada ajaran-Nya adalah mentaati kehendak Bapa (Matius 6: 10), “Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati.” Kesatuan yang terjadi di antara Yesus dan Bapa menunjukkan bahawa tujuan Yesus adalah memuliakan nama Bapa di dalam hidup-Nya. Seperti bait sebuah lagu, “yang terutama didalam hidup ini memuliakan nama-Mu”, maka sangat wajar untuk kita terus belajar menanamkan karakter hidup bersatu dengan Kristus agar kita sentiasa memuliakan-Nya.

Hidup bersatu dengan Kristus juga menuntut jemaah Kristian untuk hidup seia dan sekata dalam fikiran serta tujuan hidup. Fikiran manusia adalah antara yang paling rumit dan sukar difahami. Tetapi, sebagai jemaah Kristian, kita harus memiliki prinsip bahawa apapun yang ada di dalam fikiran kita, pastikan ia adalah bersumber dari kebenaran firman Tuhan dan dikuasai oleh kebenaran firman Tuhan. Sangat menyedihkan jika kita adalah Kristian tapi prinsip hidup kita tidak menggambarkan kebenaran firman Tuhan yang bertumbuh sihat didalamnya! Firman Tuhan dan kebenaran-Nya itulah yang mempersatukan kita dengan Kristus kerana firman Tuhan adalah kebenaran daripada Tuhan dan setiap kebenaran firman Tuhan harus menjadi prinsip kehidupan kita. Jika kita mempraktikkan kesatuan fikiran dan tujuan seperti ini, kita sedang hidup bersatu dengan Kristus!

Aku ingin hidup bersatu dengan Kristus!
Aku ingin hidup berjalan bersama Kristus!
Aku ingin hidup sesuai dengan firman kudus!
Aku ingin hidup seiring kebenaran firman kudus!
Amin!

– HT Ram Jonathan®