Aku berkenan menyatakan diri kepada orang tidak memohon kehadiran-Ku. Aku berkenan ditemui orang yang tidak mencari-Ku. Kepada bangsa yang tidak memanggil nama-Ku, Aku berkata, “Ini Aku, ini Aku!”
– Yesaya 65:1

Bab 65 merupakan bab kedua terakhir untuk kitab Yesaya dan ayat 1 merupakan satu janji Allah bahawa sejauh langit dan bumi akan terus berkembang dari zaman ke zaman, Allah akan mengutus Penyelamat yang dinubuatkan oleh nabi Yesaya di dalam kitab ini. Dalam ayat 1, kita dapat menikmati janji daripada Allah bahawa Dia berkenan menyatakan diri-Nya kepada orang yang tidak mencari-Nya bahkan menyatakan diri-Nya kepada bangsa yang tidak menyembah-Nya sebelum itu. Malah jika kita meneruskan pembacaan pada ayat 2, Allah berkata bahawa Dia menolak bangsa Israel kerana mereka sombong dan durjana terhadap Allah. Seterusnya dalam ayat 3 sehingga 7, Allah menyenaraikan kejahatan dan kedurjanaan daripada bangsa Israel di hadapan-Nya. Tetapi Allah berjanji akan membangkitkan keturunan dari Yakub yang akan diberkati dan berjanji mengutus Penyelamat kepada bangsa-bangsa di bumi ini (ayat 9-10). Demikianlah Allah berkenan menyatakan diri-Nya kepada manusia di seluruh bumi dan bukan lagi hanya kepada Israel sahaja!

Demikianlah kehebatan Allah yang kita kenal di dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian. Hanya Allah bagi orang Kristian sahaja yang memperkenalkan diri-Nya kepada semua manusia dan seluruh bangsa di dunia ini dengan cara yang unik dan sukar diterima akal manusia. Allah yang telah menggenapi janji-Nya bahawa Dia akan datang ke dunia untuk mengadakan permusuhan dengan iblis dan menang untuk menebus manusia daripada cengkaman maut (Kejadian 3:14-15). Allah yang datang ke dunia dan mengambil rupa manusia bahkan hidup sebagai seorang manusia di kalangan bangsa berdosa. Allah yang menjadi manusia dan memberikan cahaya pengharapan kepada manusia (Yohanes 1:1-5). Hanya Allah yang Kristian muliakan sahaja yang rela ditangkap dan disalibkan lalu mati tetapi akhirnya bangkit pada hari ketiga untuk menyatakan kemuliaan-Nya sebagai Allah sejati; Dia adalah Yesus Kristus. Allah berkenan menyatakan diri-Nya kepada anda dan saya kerana mahu menyelamatkan kita daripada maut kekal.

Persoalan asli yang kita perlu soroti bersama adalah sama iaitu: ADAKAH KITA MENERIMA ALLAH DALAM HIDUP KITA ATAU SOMBONG SEPERTI BANGSA ISRAEL? Jika ada di antara kita mengakui bahawa penyataan Allah dalam hidupnya telah dia terima dan hidup sesuai dengan kehendak Allah, maka kita adalah kumpulan manusia yang telah menerima perkenan Allah dan kita akan menikmati janji-janji yang telah tersedia untuk kita. Allah berjanji bahawa Dia akan sentiasa menyertai kita, melindungi kita bahkan menyediakan tempat untuk kita di kerajaan-Nya yang kekal. Allah berjanji bahawa apabila Dia datang kedua kalinya ke dunia ini untuk menghakimi dan menghukum manusia, kita yang telah menerima diri-Nya di dalam hidup kita akan diangkat masuk ke dalam keraajaan-Nya yang kekal! Tetapi jika ada di antara anda yang menolak bahawa satu-satunya Allah yang benar adalah Allah yang menjelma menjadi manusia iaitu Yesus Kristus, maka anda adalah manusia yang sangat malang dan mungkin akan sangat menyesal kerana anda tidak akan mendapat janji perlindungan daripada Allah, bahkan tidak mendapat tempat di dalam kerajaan-Nya. Mahukah anda hidup malang seperti itu?

Jika anda mahu menolak perkenan Allah melalui peribadi Yesus Kristus, maka anda akan sangat malang. Sama seperti yang Allah telah nyatakan di dalam Yesaya 65:1-7, bahawa kutukan dosa akan menyertai mereka sepanjang masa dan kebahagiaan kekal tidak akan tinggal tetap bersama-sama mereka. Anda mungkin berkata bahawa anda tidak perlukan Allah, tidak perlukan Yesus Kristus selama berada di dunia ini kerana anda boleh berusaha sendiri untuk kebahagiaan diri dan keluarga. Tetapi, itu adalah penyataan bangsa Israel dan akhirnya mereka sentiasa dimusnahkan oleh musuh dan dikutuki oleh Allah. Tetapi, anda masih ada peluang untuk menikmati perkenan Allah kerana Dia adil dan penuh kasih. Tangan-Nya sentiasa terhulur dan menyatakan diri-Nya kepada anda. Seperti dalam ayat 16 berkata bahawa berkat kemurahan Allah akan menyertai sesiapa sahaja yang memohon kepada-Nya. Hanya mereka yang menerima pelawaan Allah sahaja yang memiliki kelayakan untuk memohon berkat kemurahan-Nya. Serahkanlah diri dan jiwamu kepada Allah, selama Dia berkenan menyatakan diri-Nya kepada anda! Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El RamĀ®