Lalu Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Oleh sebab engkau telah minta kebijaksanaan dan bukan umur panjang, atau kekayaan, ataupun kematian musuhmu, Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun.
– 1 Raja-Raja 3:11-12

Raja Salomo dikenali sebagai raja yang telah berjaya menakluki banyak kerajaan musuh bahkan berjaya mempertahankan kerajaannya sendiri daripada di rampas oleh musuh (1 Raj 2:13-46). Disebabkan tuntutan tanggungjawab yang sangat tinggi, maka Salomo sentiasa mengutamakan kekuatan pentadbiran dengan usaha untuk terus mengukuhkan takhta dan pemerintahnya. Ia merupakan prioriti Salomo dan ia telah menjadi motivasi utama Salomo dalam kehidupannya sebagai raja bagi Israel. Namun, dalam bab 3 ini, kita mendapat bahawa melalui mimpi Salomo telah menyedari bahawa semua kuasa dan takhta yang dia miliki bukan berasal dari kekuatannya melainkan kasih kurnia daripada TUHAN, kerana dia sebenarnya masih belum layak (kerana sangat muda) untuk menjadi raja yang berkuasa tetapi kerana perkenaan TUHAN maka dia memerintah dengan penuh kekuasaan (1 Raj 3:5-8). Ketika Salomo menyedari bahawa semua yang dia miliki dalam kepimpinannya adalah dari TUHAN semata-mata, dia akhirnya memohon hikmat kepada Tuhan; tapi bukan bertujuan untuk menjadi bijaksana tanpa memerlukan TUHAN lagi melainkan supaya dia lebih dekat dengan TUHAN dalam kehidupannya (1 Raj 3:9). TUHAN menunaikan doa Salomo kerana TUHAN tahu bahawa apa yang diingini Salomo adalah hikmat daripada TUHAN yang sekaligus akan membuat dia sentiasa berkomunikasi dengan TUHAN. Jika sebelumnya, prioriti Salomo adalah mengukuhkan kuasa dan kerajaannya dengan kekuatan tenteranya, tetapi seketika dia sedar bahawa semua itu adalah kurnia TUHAN, dia membetulkan kembali motivasi hidupnya iaitu berhikmat dan berjalan intim bersama TUHAN. Meskipun akhirnya Salomo mulai jatuh dalam dosa akibat kerakusannya dalam strategi pemerintahan secara damai iaitu mengahwini ramai puteri (termasuk memiliki gundik yang ramai) dari kerajaan lain untuk tujuan penyatuan kerajaan, tetapi hikmat dan kerinduannya untuk berjalan bersama TUHAN harus menjadi motivasi untuk kita diteladani.

Ramai tokoh ilmuan dan tokoh perniagaan yang berjaya di dunia ini merupakan manusia yang tidak mempercayai TUHAN sebagai sumber hikmat atau Penyelamat semua manusia. Mereka memilih untuk membentuk prinsip hidup sendiri dan akhirnya menjadi panutan orang ramai di seluruh dunia.Tetapi, ketika Kovid-19 menerpa dan melumpuhkan seluruh dunia, berita mengenai perniagaan muflis di sana sini. Berita bunuh diri berlaku akibat hilang pengharapan akibat Kovid-19 juga beredar di sana ini. Tidak kurang juga berita kebodohan masyarakat di beberapa buah negara maju yang menentang langkah pencegahan yang kerajaan mereka berikan kerana menganggap ia hanya permainan politik, tetapi akhirnya meragut lebih dari 500 ribu nyawa (laporan sehingga 29 Jun 2020). Manusia berfikir bahawa hikmat yang mereka miliki hasil logik dan akademik adalah yang terbaik; mereka berfikir bahawa suara majoriti sentiasa benar dan harus didengar oleh orang lain; mereka berpendapat bahawa fikiran dan idea manusia adalah baik tanpa memerlukan penyertaan TUHAN. Mereka adalah golongan yang menolak hikmat dari TUHAN dan golongan yang tidak mementingkan hubungan intim dengan TUHAN. Akhirnya manusia seperti ini sentiasa menjadi penyebab kepada kehancuran masyarakat.

Berapa ramai diantara kita yang masih bergantung kepada hikmat pengertian sendiri dalam mengatur hidup selama ini? Amsal 1:7 berkata bahawa, “Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar.” Kunci kepada hikmat dari TUHAN adalah apabila kita terlebih dahulu menghormati TUHAN. Takut yang dimaksudkan lebih menyokong kepada tindakan hormat kepada TUHAN dan bukannya takut kerana ngeri atau seram di hadapan TUHAN seperti melihat hantu atau hal menakutkan. Ternyata bahawa jika kita mahu berjalan bersama TUHAN, kita juga akan diberikan hikmat oleh TUHAN. Kita perlu menyedari bahawa hikmat dari TUHAN tidak dapat ditandingi oleh manusia tanpa TUHAN di dunia ini. Manusia lain boleh sahaja memiliki segudang sijil pencapaian akademik dan penghargaan, tetapi jika tidak memiliki hikmat dari TUHAN, mereka tidak akan pernah lebih baik dari kita yang memiliki hikmat daripada TUHAN! 1 Raja-Raja 3:12 membuktikan bahawa hikmat TUHAN jauh melebihi semua hikmat yang ada dan akan ada di dunia ini. TUHAN sendiri berjanji bahawa hikmat yang DIA berikan adalah hikmat yang tidak akan dimiliki oleh orang yang berada di luar kasih-Nya.

Tidak ada pilihan lain selain daripada memiliki Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat kita. Tanpa memiliki Yesus sebagai TUHAN dan Penyelamat kita, maka tidak mungkin kita akan mendapat hikmat daripada TUHAN. Selain hikmat yang datang daripada TUHAN, tanpa keintiman kita dengan TUHAN dalam perjalanan hidup kita; hidup ini tidak akan pernah bererti. Hanya bererti untuk pertunjukkan di dunia sementara ini sahaja. Tetapi, jika kita memiliki TUHAN; hidup ini bererti kerana akhirnya kita dipimpin oleh TUHAN dengan hikmat-Nya, bahkan berjalan bersama TUHAN dalam pimpinan-Nya. Haleluyah!

Yesus Kristus.
Hikmat dan pengertian yang sempurna hanya dari-Mu.
Perlindungan dan penyertaan yang kekal hanya di dalam-Mu.
Anugerahkan aku hidup berkemenangan.
Limpahkan aku hidup berkeriangan.
Aku mahu iring Engkau seumur hidup ku!
Amin.

– HT Ram Jonathan®