“Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?
Mengapa kau resah gelisah?
Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya,
Penyelamatku dan Allahku.”
– Mazmur 43:5

Meskipun mazmur ini tidak mempunyai tajuk secara khusus ketika di tulis, tetapi jika ditelusuri bait-bait dari ayat 1 sehingga 5, maka kita ketahui betapa pemazmur sangat yakin akan penyertaan Allah di dalam perjuangan hidupnya. Jika kita dapat ibaratkan seperti sejenis penyakit yang menyerang dalam tubuh kita, maka pemazmur ini tidak meragui bahawa ada ubat yang telah terbukti mampu memberikan kesembuhan kepadanya. Daud iaitu sang pemazmur begitu jelas bahawa Allah sentiasa bersama-sama dengannya dalam segala keadaan. Dalam ayat 1-2, Daud mengadu kejahatan-kejahatan yang menimpanya akibat oleh perbuatan para musuh. Sehingga dalam ayat 3-4, Daud menyatakan kerinduannya untuk dapat beribadah dengan tenang kepada Allah seperti dahulu iaitu ketika dia tidak perlu risau akan keselamatan dirinya kerana Allah menjaganya. Daud ingin melayani Allah seperti dahulu iaitu bermain kecapi dan memuji Allah tanpa rasa risau keadaan sekelilingnya. Semua kerinduan Daud kelihatan sangat dipengaruhi oleh keadaan semasanya iaitu sentiasa berhadapan dengan kejahatan-kejahatan dari pihak musuh dan ini membuatkan jiwanya tidak tenteram. Itulah sebabnya Daud menggunakan pembalikan psikologi (reverse psychology) terhadap dirinya sendiri di dalam ayat 5 apabila dia berkata untuk apa jiwanya gelisah sedangkan dia ada Allah yang menjadi Penyelamatnya; dia hanya mahu fokus untuk memuji Allah dalam setiap situasi hidupnya!

Hidup manusia di dunia ini sentiasa di warnai dengan suasana yang ‘unik’; ada masanya kita dapat menikmati warna tersebut dengan sangat tenang dan mampu tersenyum, namun ada ketikanya kita hanya mampu berdoa, bahkan terkadang hanya mampu menitiskan airmata dan berdiam diri. Dunia tidak pernah indah kerana dunia dikuasai oleh roh-roh kejahatan yang telah diusir oleh Allah akibat memberontak kepada-Nya. Maka, manusia iaitu anda dan saya yang merupakan ciptaan Tuhan sentiasa berhadapan dengan ancaman daripada musuh Allah sendiri iaitu si iblis. Iblis sangat benci melihat manusia yang berharap kepada Allah serta memandang rendah kepadanya. Maka itulah sebabnya iblis sentiasa berusaha meniru tindakan-tindakan ilahi Allah lalu ditawarkan kepada anda dan saya, malangnya hasil daripada tindakan yang ditawarkan iblis menuju ke jurang maut. Ada masanya, kita gagal menolak tawaran si iblis lalu jatuh dalam dosa. Jika si iblis gagal menggoda kita secara peribadi, maka kadangkala digunakannya keadaan persekitaran seperti keluarga, rakan-rakan, keadaan semasa dunia dan emosi tidak stabil kita sendiri sebagai alat untuknya membawa kita masuk dalam perengkap dosa. ‘Musuh-musuh’ kita bukanlah melawan darah dan daging secara manusiawi, tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh ibis di udara (Efesus 6:12). Maka kita harus sedar bahawa dunia ini tidak menawarkan jaminan keselamatan untuk kita. Kita mungkin berkata bahawa kita memiliki pekerjaan yang baik, keluarga yang harmoni, komuniti yang saling memahami atau juga kesihatan yang memuaskan; namun semua itu hanya bersifat sementara dan tidak menjamin walau sedikitpun keselamatan kita secara nyata. Hanya Yesus Kristus, iaitu Tuhan dan Penyelamat sahaja yang menjamin keselamatan dan ketenangan kepada kita sepenuhnya! Yesus Kristus berjanji bahawa perintah yang diberikan kepada kita adalah ringan, malah Dia sendiri akan memikulnya bersama-sama kita (Matius 11:29-30). Jika kita tidak bersandar penuh kepada Yesus Kristus, maka jiwa kita sentiasa mengalami kegelisahan meskipun kelihatanya sempurna dari luaran.

Ketika Daud dalam pergumulan emosi dan rohani, berhadapan dengan musuh-musuh di sekelilingnya, Daud berdoa agar Allah memberikan keadilan kepadanya dan memohon Allah agar membelanya di hadapan para musuh (ayat 1). Kita sebagai manusia yang beriman kepada Yesus Kristus juga seharusnya memiliki permohonan doa seperti Daud. Kita tidak patut menyingkirkan kasih kita ketika iblis menghadapkan godaan kepada kita, apatah lagi jika godaan itu dalam bentuk yang berupaya menimbulkan kebencian, kemarahan atau tindakan kekerasan fizikal. Kita harus tetap menunjukkan kasih kepada mereka tetapi dalam masa yang sama, mohonlah kepada Allah agar kita diberikan keadilan dan dibela oleh Allah sendiri. Jika Allah dipihak kita, siapakah yang dapat melawan kita? Tidak ada! Maka itu, berharaplah kepada Allah dan nantikanlah pembelaan-Nya yang sempurna. Jangan bertindak sesuka hati berdasarkan logik akal manusawi kita sendiri, kerana kemungkinan besar semua itu dapat dimanupilasi oleh si iblis. Berharaplah kepada Allah, maka hidup kita pasti kekal aman dan selamat. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®