Berbahagialah orang yang tidak mengikut nasihat orang jahat, tidak mengikut contoh orang yang berdosa, atau bergaul dengan orang yang menghina Allah, tetapi suka mentaati Taurat TUHAN dan merenungkannya siang dan malam. Mereka berjaya dalam segala usaha; mereka seperti pokok yang yang ditanam di tepi sungai yang berbuah pada musimnya, dan tidak layu pada daunnya.
– Mazmur 1:1-3
Ungkapan ‘berbahagialah’ dituliskan di bahagian pertama dalam bentuk majmuk tetapi objeknya iaitu ‘orang’; dalam bentuk tunggal. Jika dihuraikan dalam bahasa seharian, pemazmur ingin menyatakan bahawa ada orang yang sangat berbahagia iaitu orang yang suka mentaati Tuarat TUHAN dan merenungkan Taurat TUHAN siang dan malam. Kumpulan orang yang mentaati serta merenungkan Tuarat siang dan malam adalah orang yang mengenal TUHAN dengan lebih baik dan orang itu adalah individu-individu yang taat kepada TUHAN. Orang-orang ini secara individu boleh difahami secara tunggal tetapi apabila dikelompokkan, maka mereka adalah sebuah kumpulan orang yang digelar ‘orang percaya’; atau dalam konteks masa kini kita ketahui sebagai orang Kristian. Kata ‘berbahagialah’ juga boleh difahami sebagai ‘dihormatilah’ atau ‘makmurlah’ (Matius 5:3-15). Maka, pemazmur juga ingin menyatakan bahawa orang yang setia dan mengenal TUHAN akan diberkati oleh TUHAN dan sentiasa mendapatkan perlindungan sehingga makmur hidupnya di dalam penjagaan TUHAN.
Sesungguhnya, mazmur ini adalah benar; tidak akan ada orang yang mampu menikmati kebahagiaan (penghormatan dan kemakmuran) yang sebenarnya jika manusia itu tidak mengenal TUHAN dan tidak setia kepada TUHAN! Manusia boleh sahaja memiliki semua harta yang ada di dunia ini tetapi jika tidak memiliki TUHAN yang benar, hidupnya akan sentiasa dalam ketakutan, kegelisahan bahkan kehancuran. Kehidupannya tidak lebih dari sekadar sebuah kertas yang terlukis banyak hiasan (kekayaan, kejayaan dan tingkat sosial) tetapi ia hanya sekadar hiasan. Hiasan-hiasan yang diperolehi dengan usaha keras manusia itu sendiri tanpa pemberkatan daripada TUHAN lalu semuanya itu akan lenyap tanpa dikira sebagai sebuah usaha yang menyenangkan hati TUHAN, maka akibat fatal akan manusia itu hadapi. Ini kerana manusia sesungguhnya akan mati dan akhir daripada hidup mereka adalah bertemu dengan TUHAN sebagai HAKIM. Jika selama hidup manusia itu tidak pernah mengenal TUHAN, apatah lagi setia kepada TUHAN, maka kehidupan selepas kematian akan berakhir dengan kebinasaan kekal iaitu di perapian neraka. Tetapi, jika hiasan hidup kita adalah terlukis kerana pemberkatan daripada TUHAN, maka ia pasti wujud kerana kita telah setia dan mengenal-Nya dengan sungguh-sungguh. Maka, ketika kita bertemu dengan HAKIM yang satu, iaitu TUHAN YESUS KRISTUS maka nescaya hidup kita akan kekal abadi bersama-Nya di Syurga yang kekal (Yohanes 18:36; Kisah Rasul-rasul 10:42).
Orang yang berjalan dengan kumpulan yang menghina Allah dan berkarakter jahat adalah kumpulan manusia yang sering mempertikaikan keilahian Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat, menafikan kekuasaan Allah yang disembah oleh bangsa Israel sebagai satu-satunya Allah yang memerintah dunia ini secara benar atau mungkin saja kumpulan manusia yang memang tidak mempercayai wujudnya kasih sejati yang berasal daripada Syurga iaitu kasih Yesus Kristus (Yohanes 3:16). Pemazmur cuba untuk menjelaskan kepada bangsa Israel yang menyanyikan mazmur ini agar berhati-hati dengan kumpulan manusia yang melakukan segala hal yang bertentangan dengan Tuarat TUHAN serta manusia yang memiliki karakter jahat dalam hati mereka. Orang-orang seperti ini adalah orang yang dikeji oleh TUHAN kerana penolakan mereka terhadap kasih TUHAN secara sengaja!
Sebaliknya, jadilah seorang yang penuh dengan kemakmuran dan kebahagiaan. Mazmur 1:3 menjelaskan bahawa orang yang setia dan mengenal Allah dengan sungguh-sungguh ibarat pokok yang ditanam di tepi sungai. Pokok yang tumbuh di tepi sungai akan menikmati sumber air yang sepenuhnya dan pasti tidak akan kekurangan zat yang perlu untuk tumbuh sihat sehingga menghasilkan buah pada musimnya dan daunnya sentiasa segar. Jika manusia setia dan mengasihi Allah diibaratkan sebagai pokok yang tertanam, maka TUHAN adalah SUMBER pokok itu dan sumber yang diibaratkan sebagai sungai yang mengalir oleh pemazmur adalah TUHAN sendiri. Dalam konteks bangsa Israel dan zaman Perjanjian Lama, pasti Yahweh iaitu Allah yang menuntun bangsa Israel menjadi bangsa terpilih adalah SUMBER yang benar sebagai TUHAN. Sedangkan pada zaman Perjanjian Baru, Yesus Kristus adalah SUMBER yang memberikan hidup kepada manusia yang menerima-Nya sebagai TUHAN dan PENYELAMAT! Kedua-dua peribadi ini adalah peribadi sama tetapi wujud di konteks masa, budaya dan wujud yang berbeza. Di luar SUMBER ini, manusia tidak akan dapat menikmati kebahagiaan. Manusia hanya akan mengalami kenikmatan sementara yang dunia tawarkan, sedangkan akhirnya mereka akan dimasukkan ke dalam perapian neraka.
Jika hari ini saudara-saudari mengerti akan mesej daripada renungan ini, maka saudara-saudari pasti tahu bahawa mengikuti Yesus Kristus dengan taat dan penuh kasih, serta menjadikan Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat, akan menjadikan hidup di dunia ini sangat bererti dan tidak sia-sia. Dunia dan manusia pada hari ini sudah cukup menderita dengan ancaman penyakit berbahaya dan pergolakan hidup akibat ketamakan ahli politik negara di seluruh dunia. Jika selama ini kesengsaraan mampu membunuh ribuan malahan jutaan manusia, kedatangan kedua kali Yesus Kristus sebagai HAKIM lebih menggerunkan lagi. Ini kerana tidak akan ada satu manusia pun yang terkecuali daripada diperhadapkan kepada-Nya untuk dipertimbangkan sama ada diberikan hukuman atau ganjaran. Bagi mereka yang setia dan taat kepada Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat, maka mereka akan menikmati Syurga. Tetapi bagi mereka yang menolak Yesus Kristus, hidup mereka selamanya akan berada di perapian neraka! Pilihlah pada hari ini bagaimana anda mahu hidup selamanya selepas dunia ini hancur. Pemazmur berkata bahawa mereka yang setia dan mengenal TUHAN akan berbahagia dan mereka akan sentiasa berhasil kerana diperkenankan oleh TUHAN dalam segala langkah hidup mereka. Pilihlah Yesus Kristus maka engkau akan hidup selamanya. Haleluyah!
Kebahagiaan yang sejati adalah apabila memiliki Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat.
Kekayaan yang sebenar adalah apabila memiliki dari Yesus Kristus seumur hidup kita.
Kehormatan yang tertinggi adalah apabila HAKIM yang benar itu memuji kesetiaan kepada firman-Nya.
– HT Ram Jonathan®