“Belajarlah Menikmati”

263

Melihat sahaja lebih baik daripada mengikut nafsu yang sentiasa berubah-ubah. Ini juga kesia-siaan dan menjaring angin.

Apa sahaja yang wujud, sudah lama disebut namanya. Memang sudah diketahui manusia tidak mampu bertikai dengan yang lebih berkuasa daripadanya.
– Pengkhutbah 6:9-10

Dalam kitab hikmat ini, Qohelet mempersembahkan penemuan bahawa manusia di dunia sentiasa memiliki musibah kerana mereka masih berada di bumi. Qohelet menggunakan persamaan “di bawah matahari” dalam ayat 1 untuk menunjukkan bahawa musibah yang berlaku adalah semasa manusia masih berada di bumi. Jika membaca keseluruhan Pengkhutbah 6, maka kita sedar bahawa Qohelet memberikan beberapa gambaran musibah yang dihadapi oleh manusia selama berada di dunia ini. Pertama, musibah bagi orang kaya yang memiliki banyak harta tetapi dia tidak dapat menikmati kebahagiaan dalam menikmati kekayaannya (ayat 1). Kemudian gambaran kedua adalah keluarga yang memiliki ramai anak dan berumur panjang tetapi tidak puas dengan kehidupan berkeluarga bahkan ketika dia meninggal dunia, ahli keluarganya tidak menguburkannya secara terhormat (ayat 3-6). Selain itu, Qohelet juga menggunakan gambaran manusia yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimilikinya, bahkan sentiasa rasa tidak cukup sehingga berkerja keras memuaskan kedagingannya (ayat 7-9). Ketiga-tiga gambaran ini menunjukkan bahawa manusia memiliki sesuatu tetapi mereka tidak menikmati apa yang mereka miliki. Mereka bukan sekadar tidak menikmati, malahan mereka tidak merasakan kebahagiaan meskipun memiliki semuanya itu! Qohelet menyatakan bahawa itu semua usaha manusia telah menjadi sia-sia.

Hidup yang penuh dengan kesia-siaan oleh manusia yang berusaha untuk mengumpul harta di dunia sehingga ‘membanting tulang', tetapi memiliki kekejian, kelicikan bahkan tamak; mereka tidak akan menikmati kekayaan yang mereka bina dengan penuh kebahagiaan. Malahan bagi orang kaya yang merasakan mereka memiliki ramai anak dan rakan-rakan, dia tetap tidak merasa damai dan bahagia kerana dia tahu anak-anaknya tidak menunjukkan hormat kepadanya. Malahan orang sekitar yang mengakui diri sebagai sahabat juga sebenarnya hanya mahu mengambil kesempatan di atas kekayaannya, Qohelet menyatakan hidup orang seperti ini adalah menyedihkan dan sangat buruk (ayat 2). Kehidupan berhikmat dan kaya seperti ini tidak sama dengan kehidupan yang digambarkan oleh kitab Amsal 3:16, “Di tangan kanannya umur panjang, di tangan kirinya kekayaan dan kehormatan”. Kehidupan sewajarnya bagi seorang kaya adalah dihormati dan memiliki umur yang panjang. Tetapi Qohelet dalam Pengkhutbah 6 menyatakan sebaliknya iaitu orang kaya yang berumur panjang tidak di hormati. Mengapakah orang kaya tersebut tidak dihormati? Mungkin kerana dia adalah orang kaya yang sangat tamak, bersikap keji termasuk kepada ahli keluarga dan mementingkan diri. Tidak seperti si kaya dalam Amsal 3:16 yang menikmati berkat kekayaannya dengan penuh hormat dan bersyukur!

Sejauh manakah anda dan saya menikmati apa yang kita miliki dalam hidup ini? Kita mungkin memiliki berkat berbeza antara satu sama lain, mungkin memiliki ukuran berkat yang tersendiri, tetapi adakah kita sudah menikmati berkat-berkat itu dengan penuh ucapan syukur kepada Tuhan? Adakah kita sudah menikmati berkat-berkat itu dengan sukacita penuh? Ramai manusia di dunia inii berusaha untuk membandingkan dirinya dengan orang lain; dari segi fizikal, kekayaan dan pencapaian. Sehingga mereka berusaha menandingi orang tersebut dengan harapan mereka lebih berjaya. Tetapi, di tengah perjalanan mengejar sasaran mereka, sungguh menyedihkan kerana mereka tidak menikmati proses-proses serta berkat yang menyertai mereka dengan penuh bahagia. Orang seperti ini adalah orang yang tidak tahu mengucap syukur dengan apa yang mereka miliki, sehingga mereka hanya akan berasa puas apabila dapat melebihi pencapaian orang lain! Bukankah manusia seperti itu sungguh menyedihkan. Ada ramai ibubapa atau anak-anak yang mengejar hal-hal seperti itu sehingga mereka lupa untuk meletakkan nilai harmoni dan nilai rohani dalam kehidupan mereka. Akhirnya mereka jatuh dalam dosa demi mengejar cita-cita dan mengabaikan kasih terhadap sesama. Jika mereka adalah orang Kristian, maka sia-sia sahaja kehidupan rohani mereka kerana telah disingkirkan dari hakikat kehidupan!

Pengkhutbah 1:9 berkata, “Tiada apa-apa pun yang baru di bawah matahari.” Masalah, cabaran, berkat dan peluang yang manusia miliki di bumi ini adalah sesuatu yang Tuhan telah ketahui dari dulu, sekarang dan selamanya. Ini kerana, dunia dan waktu serta segala isi dunia adalah milik Tuhan. Maka, Tuhan tahu setiap masalah, cabaran, berkat dan peluang yang kita miliki. Tidak ada yang baharu bagi Tuhan! Untuk itulah kita tidak boleh berkata bahawa hanya kita yang pernah menghadapi hal-hal tertentu, kerana hal-hal tertentu itu sebenarnya sudah seringkali di alami oleh manusia selama hidup di dunia ini. Oleh sebab itulah, sebagai seorang Kristian, kita dituntut untuk menghormati Tuhan dengan cara menunjukkan penghormatan kita melalui ucapan syukur, kasih terhadap sesama dan melayani Tuhan serta sesama manusia. Jika kita mengumpul harta demi kemegahan sendiri dan bukan utnuk menghormati Tuhan, maka Qohelet berkata bahawa hidup manusia seperti itu adalah buruk dan menyedihkan. Apa yang ada di tangan kita? Kurnia rohani, berkat rohani, kemampuan sederhana atau kekurangan kita? Belajarlah menikmati semua itu dalam hidup kita! Di sebalik apa yang kita miliki, ada manusia lain yang memerlukan huluran tangan kita untuk membantu mereka. Sebaliknya juga, kita memerlukan orang lain untuk menghulurkan tangan mereka membantu kita. Selama kita hidup di dunia ini, kejarlah kebahagiaan dan belajarlah menikmati apa yang kita miliki. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®