Memilih versi Alkitab yang paling baik merupakan sesuatu yang mencabar. Ia boleh disamakan dengan soalan, “Gerai nasi kandar manakah yang paling sedap?” Jawapannya tergantung kepada jenis lauk yang anda suka serta kriteria yang digunakan untuk menilai kelazatan nasi kandar tersebut. Setiap versi Alkitab mematuhi prinsip-prinsip penterjemahan yang tertentu yang boleh diperhatikan setelah diterbit. Ada versi yang mengikut prinsip harfiah, di mana penterjemah tersebut cuba dengan sedaya upaya untuk menggantikan perkataan bahasa Ibrani dan Yunani dengan padanan dalam bahasa moden. Ada pula versi yang dinamik, ataupun menyampaikan makna yang sama dalam bahasa moden walaupun perkataan yang digunakan mungkin jauh berbeza. Tiada satu versi yang lebih baik daripada yang lain, satu mungkin lebih sesuai untuk dipelajari, manakala yang lain lebih sesuai untuk dibaca di kalangan orang ramai. Tiada satu versi yang mampu memuaskan semua murid Yesus – ada yang mempunyai tahap pemahaman sekolah rendah sahaja, ada pula yang lebih cenderung kepada tahap mahasiswa.
Di dalam hal penterjemahan, ia tidak boleh diukur mengikut undang-undang bidang sains. Tidak wujudnya kesempurnaan di antara dua bahasa, di semua perkataan dalam satu bahasa boleh dipadankan dengan perkataan dalam bahasa yang lain. Selain daripada itu, setiap bahasa mengandungi kiasan, simpulan bahasa dan peribahasa sendiri, jadi keadaan begini memang sukar untuk diterjermahkan. Lebih-lebih lagi, terdapat faktor-faktor dari segi sejarah dan budaya yang mungkin mempengaruhi konotasi perkataan sehingga ia tidak boleh diterjemah.
Satu contoh yang diutarakan dalam bahasa Inggeris mungkin menolong anda memahami kerumitan yang terlibat dalam hal penterjemahan. Bayangkan anda mempunyai seorang kawan yang terlibat dalam produksi lakonan. Di dalam Bahasa Malaysia, kita biasanya berkata, “Selamat berjaya!”, tetapi dalam Bahasa Inggeris, simpulan bahasa “Break a leg” dipakai. Kalau simpula bahasa tersebut diterjemahkan secara harfiah kepada Bahasa Malaysia, seseorang akan berkata, “Patahkan kaki anda.” Jadi, menggunakan frasa “Selamat berjaya!” lebih sesuai dalam konteks tersebut, ataupun penterjemah boleh menyimpan simpulan bahasa asal tetapi menyelit nota kaki yang memberitahu makna sebenar.
Contoh tersebut menunjukkan bahawa penterjemahan secara harfiah tidak bermaksud ia penterjemahan yang paling tepat. Lebih-lebih lagi apabila penterjemahan tersebut ingin menyampaikan maksud sebenar teks asal di dalam bahasa zaman sekarang kepada pembaca, tafsiran subjektif perlu ditekankan. Bukan itu sahaja, tetapi tahap pemahaman akan menjadi isu. Penterjemahan tepat secara harfiah akan menjadikan teks tersebut susah difahami. Versi Alkitab yang lebih senang difahami dalam bahasa moden secara am mengandungi jumlah penterjemahan secara harfiah yang kurang.
Kebanyakan penterjemahan Alkitab perlu mengekalkan keseimbangan dari sudut harfiah dan dinamik (cara menyampaikan maksud sesuatu petikan dengan cara pembaca moden boleh memahaminya walaupun perkataan tambahan yang tidak wujud dalam teks asal diselitkan). Terdapat pelbagai versi Alkitab dalam Bahasa Inggeris serta Bahasa Malaysia yang anda boleh membeli. Versi Alkitab yang paling mantap biasanya diterjemahkan oleh kumpulan cendekiawan evangelikal dan telah ditinjau oleh kumpulan yang lain. Untuk versi Bahasa Inggeris, berikut adalah beberapa penterjemahan yang terkenal dan terbaik:
Alkitab Versi King James dikira sebagai buku yang paling penting dalam dunia Bahasa Inggeris, di mana ia telah membentuk cara pertuturan Bahasa Inggeris untuk berkurun-kurun. Banyak orang membaca Alkitab Versi King James sewaktu membesar dan sehingga hari ini, mereka masih menghargai corak penterjemahan yang digunakan. Seorang pernah berkata, “Alkitab Versi King James adalah seindah dan senang dibaca seperti karya Shakespeare.” Untuk sesetengah orang, memahami Bahasa Inggeris yang dipakai pada zaman Ratu Elizabeth mungkin agak mencabar, tetapi tiada salahnya untuk menerima cabaran dan belajar dari situasi tersebut. Alkitab Versi King James Baru adalah penterjemahan yang lebih senang dibaca, di mana banyak daripada istilah-istilah kuno digantikan dengan istilah moden. Kedua-dua Alkitab Versi King James dan Alkitab Versi King James Baru dikira sebagai penterjemahan “harfiah”.
Alkitab New American Standard (NASB) cuba mengikuti corak teks asal sedekat mungkin sambil memastikan ia senang dibaca dalam Bahasa Inggeris. Alkitab NASB sangat popular di kalangan pelajar sekolah Alkitab untuk 20-30 tahun dari tahun 1980-an sampai awal 2000. Namun begitu, ada yang berasa bahawa Alkitab NASB susah untuk difahami, terutamanya mereka yang tidak ada minat untuk mempelajari Alkitab dengan lebih mendalam lagi. English Standard Version (ESV) telah mengambil alih tempat NASB sebagai Alkitab yang diterjemahkan secara harfiah namun masih senang difahami.
Alkitab New International Version (NIV) pula dikatakan sebagai penterjemahan yang dinamik. Matlamat utama para penterjemah adalah untuk menyampaikan maksud sebenar teks asal dalam Bahasa Inggeris yang senang difahami, walaupun ini melibatkan penggunaan perkataan yang berbeza. Oleh itu, tidak hairan melihat NIV menjadi versi Alkitab yang laris di pasaran sehingga hari ini. Untuk Alkitab Versi New Living Translation (NLT), ia dikira sebagai versi yang paling dinamik di antara semua penterjemahan zaman moden. Sewaktu ia diterbit, jumlah jualan Alkitab NLT amat laris, tetapi momentum awal tidak berterusan.
Terdapat lagi satu versi Alkitab yang berdasarkan Internet, iaitu New English Translation (NET). Ia juga boleh didapati dalam bentuk buku. Alkitab NET mengandungi banyak nota-nota tentang penterjemahan yang dipakai. Walaupun Alkitab moden yang lain (ESV, NIV, NLT, dll) dikaji semula setiap sepuluh tahun, Alkitab NET sentiasa dikaji dan disemak semula apabila perlu.
- Benarkah Alkitab Pernah Dipalsukan?
- Anda Boleh Mempercayai Kandungan Alkitab!
- Percanggahan Dalam Alkitab?
- Kepentingan Mendalami Alkitab Mengikut Konteks
Jika anda ingin membaca Alkitab sepintas lalu, penterjemahan dinamik seperti NLT ataupun NIV lebih sesuai. Untuk golongan yang ingin mendalami Alkitab, penterjemahan yang berlandaskan harfiah seperti NASB, ESV, atau NET disyorkan. Apabila anda mengaji satu petikan, satu tabiat baik yang digalakkan termasuk membaca petikan yang sama dalam versi berlainan, iaitu yang harfiah dan yang dinamik. Jika anda bertemu dengan tempat di mana pembacaan petikan tersebut nampaknya berlainan, anda harus melakukan kajian yang lebih mendalam lagi untuk menentukan jenis penterjemahan yang dipakai. Tidak dinafikan bahawa rujukan terhadap bahasa teks asal akan menolong, tetapi untuk mereka yang tidak memahami bahasa Ibrani ataupun Yunani, Alkitab NET serta tafsiran-tafsiran yang lain adalah pilihan yang baik juga. Tafsiran yang berwibawa bukan sahaja memberitahu maksud petikan tersebut, malah ia memberi keterangan tentang bukti untuk pelbagai pilihan serta sebab mengapa pentafsir tersebut membuat pilihan yang tertentu. Seseorang haru mengelakkan diri daripada bergantung kepada pentafsiran ataupun butir-butir doktrin yang berdasarkan satu penterjemahan untuk satu perkataan atau frasa sahaja. Seseorang juga harus mengelakkan diri daripada sikap mencari tafsiran yang menyokong pendirian peribadi.
Mendiang Eugene Peterson yang menulis The Message serta Kenneth Taylor yang menulis The Living Bible merupakan dua buah Alkitab yang memakai bahasa komtemporari. Kedua-dua ini adalah hasil kerja individu dan bukan jawatankuasa, jadi versi Alkitab tersebut mungkin mempunyai kecenderungan untuk kesilapan dan pemandangan berat sebelah terhadap isu-isu tertentu. Apabila membaca The Message dan The Living Bible, anda harus ingat bahawa penterjemahan tersebut adalah pemahaman seorang manusia terhadap teks asal ataupun parafrasa peribadi. Anda digalakkan memilih salah satu versi yang bukan The Message dan The Living Bible sebagai Alkitab peribadi anda.
Alkitab New Revised Standard Version (NRSV) adalah versi Alkitab yang paling popular di kalangan cendekiawan Alkitab yang bukan evangelikal. Para evangelikal biasanya tidak memakai Alkitab NRSV, kerana mereka berpandangan bahawa kumpulan penterjemahan tersebut tidak mengabdikan diri kepada kewibawaan teks Alkitab asal. Namun demikian, mereka adalah cendekiawan yang cekap dalam bidang bahasa alkitabiah.
Kesimpulannya, pilihan versi Alkitab yang paling tepat adalah pilihan yang subjektif. Untuk pengajian, kami mengsyorkan Alkitab NASB, ESV, dan NET, serta perbandingan dengan NIV ataupun NLT. Tiada juga apa-apa masalah kalau seseorang memilih KJV ataupun NKJV untuk bacaan harian mereka, tetapi perbandingan dengan versi lain boleh menolong anda matang dalam iman anda. Untuk aneka ragam, mungkin anda boleh memilih versi yang berlainan setiap tahun.
Setiap penterjemahan Alkitab di lakukan dengan hati yang ikhlas oleh para cendekiawan yang berwibawa, dan boleh diambil kira sebagai penterjemahan yang tepat. Pada masa yang sama, kesarjanaan manusia bukannya sempurna, jadi usaha penterjemahan harus dikemaskinikan dari semasa ke semasa mengikuti arus perubahan bahasa.